Wednesday, July 1, 2015

SARELGAZ : DONGENG YANG TIDAK ADA SATU PUN SIA-SIA



Pinjam gambar daripada IG Legasi Oakheart

Hujung Mei, saya temukan sebuah kumpulan cerpen yang menawan hati pada waktu membacanya di muka surat yang pertama. Seawal muka surat pertama itulah yang membuatkan saya memutuskan untuk terus membaca SARELGAZ yang ditulis oleh Sungging Raga, penulis kelahiran Jawa Timur yang seusia saya.

Keseluruhan kumpulan cerpen ini memberikan kesan tersendiri untuk setiap cerita. Misalnya cerpen Nehalenia, iaitu kisah cinta Chiodos yang putus cinta dengan Nalea atas sebab kehendak orang tua yang mahukan Nalea mengahwini jejaka pilihan mereka. Kemudian Chidos dirapati oleh Nehalenia kekasihnya dari dunia hantu, dan putus lagi atas sebab yang sama. Chiodos jadi merungut sendiri, apakah dia harus akur pada cinta jalur novel picisan berkali-kali? Sehingga akhir cerita, dia dirapati pula oleh Buaya, kekasihnya dari dunia binatang. Jadi cinta yang sejati seharusnya datang dari dunia yang mana? Pada saya tentulah cinta yang datang dari Tuhan. It's very interesting on how Sungging wrote this story. Ia bukan sekadar cerita tetapi memiliki falsafahnya yang tersendiri.

Trigonometri yang menjadi kulit penceritaan Hipotenusa

Disebabkan Sungging Raga, menurut pengenalan penulis di belakang buku ini, adalah seorang graduan jurusan Matematik, kumpulan cerpennya ternyata tidak lari dari ilmu yang dipelajarinya itu. Cerpen Hipotenusa memberikan suatu impak peribadi kepada saya apabila saya mencari tujuan Sungging menggunakan konsep trigonometri dalam cerpen ini. Hipotenus lah yang kemudian membawa saya memahami tujuan Sungging menggunakan nama Oxymora untuk wataknya yang lahir separuh iblis dan separuh manusia. Oxymora di sini adalah suatu sifat pertentangan yang ada dalam sesuatu. Kalau dalam bahasa Inggeris, yang selalu kita dengar seperti 'bitter sweet'. Jadi dalam cerpen ini, Oxymora adalah 'iblis manusia' atau 'manusia iblis'; pembaca akan ditinggalkan untuk sendiri mencari jawapan Oxymora memilih menjadi yang mana antara kedua-duanya.

Sungging juga mengkritik orang-orang yang cepat membuat persepsi yang kemudiannya membawa kepada tindakan-tindakan yang bodoh. Hal ini ada dikritik dalam beberapa buah cerpennya seperti dalam Alesia, Dongeng Balas Dendam, Sebuah Patung Menangis, Bidadari Serayu dan Isara. Malah cerpen-cerpen ini sebenarnya membawa maksud yang lebih dalam daripada hanya tentang persepsi buru-buru. Dan sejauh apa kita dirancukan oleh keadaan. Sebagai contoh Dongeng Balas Dendam mengisahkan dua kampung yang berperang hanya disebabkan sejarah bohong, yang baru dijumpai, ditulis oleh pemimpin mereka beribu tahun dulu. Pemimpin-pemimpin mereka dikatakan bermusuh walhal kedua-duanya adalah sepasang kekasih. Jadi, siapakah yang menulis sejarah bangsa kita sebenarnya? Orang yang benar atau yang bobrok? 

Tidak ada satu cerpen pun yang harus pembaca tinggalkan dalam SARELGAZ. Tidak adil bagi penulis dan penerbit kalau saya bedah seluruh cerpennya. Ia harus dibaca. Sebab cerpen-cerpen yang tidak diulas seperti Sepertiga Malam Terakhir, Gadis Pelukis Mimpi, Laut Kesedihan, Surat Dari Janelle, Sarelgaz, Abnormabilla, Persugihan Zombie, Sifat Sedih Hujan turut merupakan cerpen-cerpen yang menjanjikan. 

SARELGAZ oleh Sungging Rasa adalah kumpulan cerpen lima bintang yang wajib dimiliki. Ia membawa pembaca ke sebuah dunia magika yang sinis, segar dan tidak jauh dari akar realiti, penuh falsafah tanpa mengabaikan penceritaan yang baik. Tahniah Sungging Raga. Tidak ada satu cerpen pun yang ditulis dengan sia-sia.


**Kumpulan cerpen SARELGAZ karya Sungging Raga boleh dibeli di Katalog Oakheart

Friday, January 30, 2015

SIAPA ‘ANAK ITIK YANG HODOH’ DALAM SASTERA MALAYSIA?



Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf pernah menulis dalam jurnal beliau Human Rights and National Literature: A Comparative Study of the Experience in Malaysia, Thailand and Philippines bahawa “The development and position of a national literature is subjective. It depends on perceptions of those who evaluate it”. Artikel ini membincangkan soal fungsi sastera yang menjalankan amanah hak asasi manusia. Bahawa dunia sastera Malaysia tidak seimbang dalam menjalankan fungsinya terhadap amanah tersebut. Sastera kita malah sebenarnya tidak berjaya menjalankan fungsi penyatuan kaum sekalipun. Benar. Kita selalu ada Seminar Sastera Pelbagai Kaum yang diadakan setahun sekali. Kita bicarakan karya yang ditulis oleh penulis daripada kaum Melayu, India, Cina, Orang Asli dan lain-lain. Sesudah itu, apakah masih sastera kita berfungsi sebagai alat penyatuan sebagaimana karya-karya ini dibicarakan di atas satu pentas yang sama di dalam dewan seminar? Yang meraikan sastera bahasa Melayu masih lagi majoriti Melayu. Sastera bahasa Cina dengan kaum Cina. Sastera bahasa India dengan kaum India. Dan Orang Asli di mana? Dari sudut hak asasi terhadap linguistik pun, sastera Malaysia masih tidak dapat menjalankan amanah dengan sepenuhnya.
 
Sesuatu tahun akan menyaksikan akan ada sesebuah syarikat penerbitan yang akan menakluki pasaran buku melalui jumlah terbitan dan jumlah jualan yang secara tak langsung mewakili jumlah pembaca. Akan ada syarikat penerbitan yang dihormati dan dikeji kemudiannya atas sebab-sebab tertentu. Pasaran ini akan berganti-ganti kedudukannya. Saya yakin, ramai antara penulis dan penerbit menyedari akan hal ini. Kalau ada yang berkata bahawa saya seorang penulis dan tidak perlu ambil tahu akan hal begini, ia akan menjadi satu perkara yang ‘sangat tak dapat dibantu’. Sebab, seorang penulis perlu peka dengan keadaan semasa bidang penerbitan. Jika tidak, dia hanya tahu rasa ‘mengandungkan’ karyanya sahaja. Dia tidak akan tahu pengalaman ‘membela’ karya tersebut.

Malah penulis harus tahu apa sahaja yang berlaku dalam masyarakatnya. Jika tidak, dia sendiri belum menjadi penulis yang dapat mewakili masyarakatnya. Hal ini perlu ditanyakan kepada diri sendiri sejauh mana kita, sebagai seorang penulis sudah mampu menjadi wakil masyarakat. Persoalan yang selalu saya tanyakan juga kepada diri sendiri dan jawapannya saya sendiri masih belum mampu atas faktor konsistensi, dan terjunan yang sebenar-benarnya ke dalam masyarakat saya yang sakit. Sebab selalu ia menyentuh yang sihat dan separa sakit. Tangan saya belum sampai sepenuhnya kepada golongan fakir miskin, gelandangan, anak-anak yatim, remaja-remaja bermasalah, golongan minoriti dan sebagainya. Setakat membaca isu ini di akhbar atau buku, masih belum dikira sebagai menyentuh dengan sepenuhnya. Sebab itu ada kata-kata yang menyatakan “Yang cerdik buku, biasanya bodoh kehidupan.” Ada penulis yang mampu, dan ada yang tidak. 

Tiada sesiapapun yang dapat menghalang untuk seseorang itu berfikir tentang anugerah dan hadiah. Cuma, sekali lagi, tanyakan kepada diri, untuk apa menjadi seorang penulis? Hobi? Suka-suka? Atau memang mengejar anugerah dan hadiah? Atau memang benar ikhlas untuk mewakili masyarakat sebagai seorang pendidik atau penegak keadilan atau setidak-tidaknya menjadi perakam. Sejauh mana pula kita berani menentang kebobrokan? Atau kita penulis yang muluk-muluk, menyembah organisasi atau orang-orang tertentu? Atau kita adalah penulis majoriti begitu begini yang mengikut orang lain kerana majoriti orang berbuat begitu dan begini? 

Ada perkara yang lebih besar yang perlu untuk para penulis di Malaysia sedar selain daripada membicarakan soal siapa Sasterawan Negara Wanita Pertama? Atau Sasterawan Negara Bukan Melayu? Atau siapa yang menang hadiah paling banyak? Atau mengira berapa banyak karya yang telah diterbitkan sepanjang tahun dan menulisnya sebagai status di FB atau Twitter atau apa sahaja media sosial. Kita masih melihat kelompok penulis yang sama dalam sastera arus perdana yang bergerak perlahan. Jumlah penerbitan yang mencanak tidak dapat mewakili pergerakan sastera sepenuhnya. Ia akan berbalik kepada soal kualiti karya. Mahu atau tidak kita harus akui, kuantiti kerap juga membunuh kualiti.

Hans Christian Anderson, penulis dari Denmark, telah menuliskan The Ugly Duckling lama dahulu. Kita pula masih mencari ‘Anak Itik Yang Hodoh’ dalam sastera Malaysia. Itu yang sebenarnya perlu kita cari. ‘Anak itik’ yang disalahertikan kerana hanya dia agak berbeza daripada itik-itik yang lain. Suaranya lain. Bentuknya lain. Tetapi dia benar dengan dirinya. Oleh sebab itu, dia meninggalkan itik-itik itu dan tahu diri bahawa dia bukan itik. Dia adalah angsa yang apabila dewasa, menjadi cantik dan murni. Yang hidup, bukan kerana dia melobi sesiapa bahkan tidak melobi ibu itik pun supaya menerimanya. Tidak melobi ibu itik hanya untuk menjaga perutnya sendiri. Yang hidup bukan untuk disebut-sebut namanya tetapi diakui kerana kebenarannya yang ikhlas. Dan soalan pesimis, kerana manusia ada bahagian itu dalam diri, apakah penantian kita akan berhasil? Jadi, siapa ‘Anak Itik Yang Hodoh’ dalam kolam sastera kita?

Monday, May 5, 2014

OLIVIA BINFIELD : TAK PERNAH TERLIHAT DI MALAYSIA

Aku 'terjumpa' Olivia Binfield secara tidak sengaja. Sejak awal tahun ini, selain mengikuti hasil-hasil seni di Instagram aku terlalu gemar melihat prodigi baru di Youtube terutamanya kanak-kanak. Dan di Youtube, aku kenal Olivia yang berumur 7 tahun. Beliau membaca puisi yang ditulis sendiri dalam rancangan Britain's Got Talent, berjudul Endangered Animal dan di lehernya terbelit seekor ular yang gemuk dan besar , bernama Lucy.

Aku tepuk tangan seorang diri mendengar mesej yang disampaikan oleh si kecil ini. Puisinya penuh mesej yang pintar dan global. Sinikal dan dekat sekali dengan realiti. Juga jarang sekali disedari oleh anak-anak seusianya di Malaysia. Bahkan orang dewasa juga masih ada yang menulis puisi yang tidak universal, syok sendiri, dan hanya dia sahaja yang faham. Tidak pernah aku lihat atau dengar kanak-kanak seusia ini di Malaysia membaca puisi yang sebegitu; dikarang sendiri dengan pemikiran yang matang dan dipuisikan dengan berkesan. Aku terfikir, mungkin juga ibu atau bapanya yang membantu Olivia menulis puisi sebagus itu. Aku tepuk tangan sekali lagi. Jika benar, ternyata ibu dan bapanya sangat mengenali potensi Olivia. Tidak ada salahnya jika Olivia dibantu. Memang kanak-kanak, bakatnya memerlukan bantuan dan sokongan ibu dan bapa.

Berbeza sekali jika di Malaysia,kebanyakan ibu bapa tidak menyokong anak-anak yang mahu menulis puisi. Apatah lagi kalau anak-anak yang memilih ke bidang sastera itu memang dianggap pelajar kelas bawahan. Pelajar kelas atasan adalah pelajar kelas sains. Minta maaf, itu perangai dungu di Malaysia yang entah bila akan dibebat.

Aku terus teringat akan sekumpulan anak-anak kecil di National Gallery lewat kembaraku di Kota London. Mereka serombongan menghadap lukisan pelukis-pelukis terkenal dunia di sana sambil mendengar dengan khusyuk sekali penerangan tentang lukisan tersebut. Serius, aku yang berdiri tidak jauh dari mereka terpempan seketika melihat keadaan itu. Dan aku terus rasa malu apabila memikirkan keadaan di Malaysia.

Olivia Binfield, meskipun bukan asalnya dari tanah airku, aku bangga melihatnya. Namun sejauh mana pula aku mampu berbangga kerana beliau bukan rakyatku sendiri. Malah yang dipuisikan itu bukan bahasa kebangsaanku. Dan sejauh mana pula aku dapat berasa kagum kerana dalam masa yang sama aku terpaksa menghadap kekeliruan bangsa sendiri dalam meletakkan sastera yang memiliki seluruh jati diri.

Kini Olivia berusia 10 tahun, mengikut kiraan aku. Masih menulis puisi. Dan masih memperjuangkan apa yang dipercayainya. Perjuangannya global dan rohaniah (kerana jarang yang sedar, bahawa mengasihani binatang juga adalah sebahagian daripada amanah oleh Tuhan. Ingat rukuk sujud atas sejadah saja amanah Tuhan?). 

Olivia, di tangannya ada perjuangan. Semoga terus berkilauan sinarnya.





*Olivia Binfield juga memiliki sebuah laman sesawang yang menyiarkan puisi-puisinya. 
Boleh klik di sini Olivia Binfield


Wednesday, February 26, 2014

POMPEII : SELAKNAT-LAKNAT MANUSIA

Pompeii agak menarik apabila difikir-fikirkan kembali selepas sedikit hampa menontonnya malam kelmarin. Seperti biasa, aku tidak akan persoalkan sinematografi kerana seperti yang aku katakan, cerita adalah nombor satu dan cerita yang akan tentukan sinematografi itu akan menjadi apa untuk difilemkan. Akan ada orang yang tidak setuju. Aku tahu dan pasti kerana itu perkara yang biasa. Terpulang. Tak ada salah
benarnya dan aku hormati hal itu. Apapun cerita dan sinematografi adalah dua benda yang tidak boleh dipisahkan. Kalau digaduhkan pun, kedua-duanya masih perlu untuk sesebuah filem.

Persoalan pertama yang ada dalam kepala ketika menonton Pompeii adalah "Kenapa wira ini dilukis sebegitu gagah tetapi masih diperhambakan dan dia rela?". Aku fikir itu tidak relevan untuk watak Milo atau The Celt lakonan Kit Harington yang sasa dan kacak. Dia boleh sahaja membunuh seluruh tentera yang ada untuk bebas seperti yang dilakukan kemudiannya. Ini sesuatu yang bagus untuk sebuah filem kerana inilah gam di kerusi penonton. Sesuatu yang bahaya juga jika ada penonton yang berasa jengkel dengan perwatakan sebegitu. 20 minit yang pertama bagaikan fungsi slide show power point. Laju dan terus kepada pokoknya yang akan diperjelaskan pada minit kedua dan ketiga.

Pompeii dibina dengan beberapa kata kunci yakni politik dan hak asasi manusia. Maka wujudlah Pompeii di tangan Paul W.S. Anderson yang masih mengekal ciri-ciri social chaos seperti yang yang berlaku dalam karyanya, Resident Evil dan Death Race. Kekalutan sosial dimulakan dengan politik yang kalut apabila permulaan kisah (selepas pembukaannya dengan imej manusia batu yang bergelimpangan dan kata-kata yang lara) adalah penghapusan bangsa. Puak Celtic yang dianggap sebagai minoriti pemberontak dihapus sama sekali dari muka bumi. Hanya Milo, yang masih kecil, selamat atas kebijaksanaannya sendiri (atau kebodohan askar-askar pemerintah). Milo menyaksikan mayat ibu dan bapanya bergantungan di pokok. Pada matanya ada suatu rasa yang berbaur; dendam dan sedih. Milo meninggalkan seluruh mayat puak Celtic tetapi kemudiannya ditangkap, dibesarkan sebagai hamba (yang gagah kerana dapat menumpaskan 4 orang lawan yang sasa dengan sekali harung) dan dibawa ke Pompeii. Maka persoalan tentang perwatakan berlegar dalam kepala.

Di Pompeii, Milo berkenalan dengan seorang hamba juga seorang gladiator bernama Atticus (Adewale Akinnuoye-Agbaje). Senator Corvus (Kiefer Sutherland) dari Rome yang bersifat syaitan datang ke Pompeii, cuba untuk bermain politik dengan berkahwin dengan Cassia (Emily Browning). Maka, ditonjolkan keadaan para pembesar yang gemar berhibur, berfoya-foya dan licik. Atticus dan Milo dibawa ke parti, dan terpaksa berdiri untuk 'diperhatikan'. Ini adalah sexual innuendo yang cukup menggambarkan selera seks golongan status quo tersebut. Perhambaan di Pompeii merangkumi segala perhambaan manusia baik dari segi tenaga, seks, malah nyawa kerana pada hari seterusnya, Atticus dan Milo akan berlawan di arena untuk pertarungan kalah mati. Lenyaplah segala maruah yang ada pada diri seorang manusia di Pompeii.

Dalam pada kebobrokan sosial itu, gunung berapi yang lama diam kembali meletuskan asap-asap kecil di lohong lavanya. Pada hari pertarungan di arena, perlawanan bertukar menjadi suatu pembunuhan hamba tetapi dimenangi oleh Atticus dan Milo yang bekerjasama apabila Atticus yang dijanjikan kemerdekaan sekiranya menang, menyedari bahawa kerajaan Rome memang munafik. Dan, pada hari tersebutlah, setelah Milo mematahkan tongkat kebesaran Rome, meludahnya, dan dia dijatuhkan hukuman bunuh, gunung berapi yang diam itu menghamburkan lava dari kawahnya. 

Keterkaitan yang cantik antara Milo dan gunung berapi adalah kedua-duanya berperwatakan senyap, kemudian meletus dan akhirnya meletup. Inilah sebab kenapa cerita harus didahulukan berbanding sinematografi. Cerita akan menentukan mise-en-scene dan membawa kepada sinematografi yang bagus kalau pembikinnya mahir tentang mise-en-scene, berdasarkan simbol dan semiotik yang ada dalam cerita. Milo dan gunung berapi pula menggambarkan gejolak jiwa golongan minoriti yang sering disalahsangkakan (Milo dipanggil sebagai 'binatang buas' sedangkan dia tidak begitu. Dia hanya seorang lelaki kacak yang gagah) dan diperhambakan (Pompeii mengeksploitasi tanah tempat tegaknya gunung berapi). Ini menjadikan perwatakannya relevan dilukis sebegitu.


Sebuah kerajaan yang korup seperti Rome dan Pompeii, menafikan kebebasan seluruh rakyat dengan mengeksploit mereka secukupnya, menyalah anggap golongan minoriti (Oh ya, Corvus tidak senang dengan jelingan rakyat Pompeii ketika melalui pasar dan Severus menyatakan bahawa rakyatnya adalah golongan minoriti yang berontak kerana rancangan kerjasama mereka) seharusnya tidak wujud langsung di muka bumi ini. Lalu, di akhir cerita, Pompeii musnah sama sekali oleh lava yang menggelegak. Tiada yang hidup di Pompeii termasuklah Milo dan Cassia, hero dan heroinnya. Hatta manusia yang cuba lari melalui pelabuhan pun ditolak oleh tsunami kembali ke Pompeii dan mati. Yang terlepas hanyalah seekor kuda putih yang comot milik Cassia. Inilah selaknat-laknat bangsa manusia yang tarafnya lebih hina daripada seekor kuda yang terkadang 'histeria' dengan gempa bumi yang sesekali menggegar sebagai suatu ingatan balasan bencana.

Babak ketika Milo ingin melepaskan Cassia sendirian dengan kudanya kerana kuda itu tidak mampu menampung berat dua orang manusia cukup mengingatkan aku kepada Jack dan Rose dalam filem Titanic ketika sekeping papan tidak mampu menampung berat mereka berdua. Malah filem Titanic juga adalah sebuah kritikan sosial. Apa yang berlaku dalam Pompeii adalah 'keadilan' kerana Milo dan Cassia mati bersama-sama ditenggelami lava sebaliknya dalam Titanic, hanya Jack yang mati dan tenggelam ke dasar laut lalu meninggalkan Rose bersendirian.

Status quo atau minoriti, di Pompeii, kematian mereka secara fizikal adalah sama tetapi secara rohaninya, golongan hamba mati dengan kemerdekaan yang penuh sedangkan pemerintah yang korup mati dengan penuh kehinaan. Cukup jelas dengan kematian Cassia dan Milo yang digambarkan penuh cinta, Atticus yang mati dengan berdarjat jika dibandingkan dengan kematian Corvus yang merayu agar tidak digari pada kereta kuda dan Proculus (Sasha Roiz) yang terpaksa merayu agar Atticus tidak membunuhnya. Corvus dan Proculus sebenarnya mati sebagai hamba.

Politik yang kalut dan kotor, kemabukan pemerintah yang perasan lebih berkuasa daripada Tuhan, juga hak manusia yang dicipta Tuhan sebagai makhluk yang merdeka memunculkan Pompeii, meskipun tidaklah begitu menarik di layar, memiliki sebuah cerita yang sebenarnya hebat.


PENGARAH: Paul W.S. Anderson.
LAKON LAYAR: Janet Scott Batchler, Lee Batchler, Paul W.S. Anderson, Michael Robert Johnson.
PELAKON: Kit Harington, Emily Browning, Adewale Akinnouye-Agbaje, Kiefer Sutherland, Jared Harris,
Carrie Anne-Moss, Jessica Lucas, Sasha Roiz.

Thursday, January 16, 2014

THE SECRET LIFE OF WALTER MITTY: RAHASIA PALING SENYAP

Seperti biasa, aku tidak akan sentuh tentang sinematografi. Itu teknik. Di Malaysia, dalam industri filem, orang mendahulukan teknik berbanding falsafah ataupun hikmah dan aku tidak mahu terjebak meskipun tanpa sinematografi, apalah ertinya juga sebuah filem.

Aku lebih mencintai subteks dan simbol yang bergerak dalam sesebuah filem. Dan bagi aku, filem harus seperti Sudoku. Mencabar teknik sekaligus mencabar minda. Skills and brain. Kedua-duanya harus saling melengkapi.

The Secret Life of Walter Mitty, cerita yang ringkas tetapi masih menjadikan aku sebagai seorang penonton yang harus membawa otak ke dalam panggung. Sinematografinya, secara ringkas, kerana aku tak mahu terjebak, aku petik sahaja kata-kata Sean O'Connell (Sean Penn) , kurang lebih : Benda yang cantik, tidak perlu untuk cuba menarik perhatian.

Walter Mitty (Ben Stiller) , meletakkan seorang lelaki yang sedikit berusia dengan mimpi-mimpinya. Berangan, kata orang kita. Dream, kata orang putih. Mimpi, secara terusnya. Setiap manusia pasti memiliki mimpi, sama ada mahu menafikan atau mengiyakan, yeah, kita semua hidup di dalam mimpi. Masa itu seperti mimpi. Semalam seperti mimpi. Sekarang juga seperti mimpi yang dengan penuh kesedaran, untuk hari esok, ia tidak lagi wujud. Dan hari esok juga adalah mimpi. Tulat dan masa depan, apatah lagi. Lalu, itu manusia yang bernama Walter Mitty, bermimpi dan bermimpi. Segala-galanya hebat dan terkadang tak terjangkau dek akal.

Filem ini memiliki asas psikologi yang cantik. Mimpi tentang cinta menjadi pembukaan kisah hidup Mitty di mata kita. Memang manusia lahir atas dasar cinta. Cinta yang suci. Cinta yang palsu. Cinta yang ragu-ragu. Itulah asas hidup. Mitty lahir dengan cinta yang ragu-ragu.  Dia ragu-ragu untu mendapatkan cinta Cheryl (Kristen Wiig), lalu mencintai perempuan itu dari jauh dan cuba mendapatkannya juga dari jauh yakni menerusi agen pencari jodoh di internet. Itu premis cerita ini. Dia ingin mendapatkan cinta dalam hidup.

Realiti bagi Mitty hanya kerjanya yang memproses gambar-gambar yang dibidik oleh Sean O'Connell sebagai sampul majalah LIFE. Aku merasakan sesuatu tentang kerja Mitty kerana Mitty adalah orang yang bertanggungjawab untuk membawa karya-karya Sean ke muka masyarakat. Oleh itu, kerjanya harus hati-hati dan teliti. Dalam bidang perbukuan, aku fikir tanggungjawab sebagai seorang editor adalah 'menjaga' karya sehingga selamat tiba kepada masyarakat. Itu yang aku rasa sebagai seorang penulis bebas dan editor majalah LEGASI. Tangan editor mampu melindung dan membinasakan karya orang lain.

Mitty tidak pernah melepaskan mimpi. Mimpinya selalu bersama-sama Cheryl dan selalu dibangunkan dengan penuh kehebatan. Mimpi itu akhirnya perlahan-lahan sampai di tangan Tuhan melalui negatif filem bernombor 25 yang dikirimkan oleh Sean. Mitty kehilangan negatif filem tersebut dan negatif itu merupakan penentuan sama ada dia masih bekerja di syarikat yang menerbitkan majalah LIFE ataupun dipecat. Hal ini demikian kerana, Sean, menerusi telegramnya mengatakan bahawa negatif itu merupakan mahakaryanya untuk sampul majalah LIFE terbitan terakhir sementelah majalah tersebut akan ditukarkan daripada buku yang sebenar kepada buku atas talian. Tetapi, yang dikirim Sean adalah negatif lain dan sebuah dompet. Akibat daripada pertukaran itu, ramai pekerja di pelbagai jabatan yang mengusahakan majalah LIFE, bakal dipecat. Ini kehidupan semasa. Zaman sedang cuba untu menjadikan e-book sebagai suatu kegilaan.Teknologi bakal mengganti manusia. Atau sebenarnya teknologi memang sudah menggantikan manusia. Kita boleh melihat kegilaan USA dan Jepun mengusahakan robot seks yang di luar fitrah itu. Kehidupan kemanusiaan telah berubah menjadi parah dan semakin tidak dihargai. Subteks ini untuk sebuah kehidupan adalah sangat cantik.

Mitty kemudiannya terpaksa 'keluar' mencari Sean untuk mendapatkan Negatif 25. Sean seorang jurugambar nomad. Alamatnya tidak tetap. Identitinya sangat misteri. Oleh sebab itu, Mitty akhirnya memiliki alasan untuk mendekati Cheryl kerana terpaksa mendapatkan bantuan Cheryl bagi menjejaki Sean. Mitty tidak lagi jauh daripada Cheryl. Tanpa dia sedar, Tuhan mula mengabulkan mimpinya.


Beberapa keping gambar yang dicuci oleh Mitty daripada negatif filem yang dikirim oleh Sean, menjadi petunjuk. Negatif 25 dan Sean O' Connell memaksa Mitty untuk ke Greenland dan Iceland, tempat-tempat yang tidak pernah dikunjunginya. Malah tempat-tempat itu mengembalikan diri Mitty yang sebenarnya yakni, sewaktu muda, Mitty seorang skaterboy yang sangat berbakat dan menjuarai beberapa kejohanan. The truth is, he's a rugged man. Mitty merentas laut dan melawan jerung. Mendaki gunung dan menuruni lembah. Mengharung salji dan liar kehidupan luar daripada normalnya. Berbeza dengan karakternya sebelum keluar dari Los Angeles. Namun, kesusahan itu tidak membawa Mitty kepada Sean secara berdepan. Lalu, lewat SMS teman pejabat yang bakal dipecat jika pengarahnya tidak menemui Mitty memaksa Mitty untuk pulang ke LA.

Kepulangannya mendatangkan kekecewaan. Mitty dipecat kerana gagal memproses negatif 25. Kekecewaan berganda apabila Mitty mendapati bekas suami Cheryl ada di rumah wanita itu. Dan, kekecewannya juga adalah disebabkan oleh kegagalan menemui Sean. Kekecewaan itu membuatkan Mitty membuang dompet yang dihadiahkan oleh Sean ke dalam tong sampah. Dia kemudiannya duduk meneliti sekeping gambar dan tiba-tiba, dia mendapati imej gambar yang dikirim Sean itu menyamai imej gurisan yang terdapat pada piano peninggalan mendiang bapanya. Cantik! Piano yang sewal cerita diusung ke hulu ke hilir memberi fungsinya yang mantap. Inilah yang dikatakan sebagai the Ordeal! Tiada pembaziran dan ia membawa Mitty kembali kepada usaha menyelesaikan misteri tentang Sean dan negatif 25.

Mitty terbang ke Afghanistan dan merentas Banjaran Himalaya dan menemui Sean di sana. Malang sekali apabila Sean memberitahu bahawa negatif 25 itu berada di dalam dompet pemberiannya yang telah dibuang oleh Mitty. Mitty, sekali lagi, pulang ke LA tanpa negatif 25.

Piano yang bukan sekadar prop terpaksa dijual kerana masalah kewangan keluarga. Dan, tadaaa! Ibu Mitty yang prihatin telah mengutip dompet pemberian Sean daripada tong sampah. Suatu elemen suspen diterapkan dengan kreatif dan berkesan. Mitty telah menyerahkan negatif 25 untuk majalah LIFE isu terakhir tanpa melihat imejnya. Aku jadi tertunggu-tunggu, bimbang dan tertanya-tanya apakah memang aku tidak akan dapat melihat imej tersebut?

Mitty kemudiannya ke pejabat LIFE sekali lagi untuk menguruskan hal pemecatannya dan dia terserempak dengan Cheryl dan perempuan itu menerangkan bahawa dia dan bekas suaminya tidak akan berbaik semula. Mitty dan Cheryl mula berjalan menuju ke pusat bandar. Hari itu adalah hari majalah LIFE terbitan terakhir dipasarkan. Aku mula teruja untuk melihat mahakarya Sean O' Connor. Bravo! Mahakaryanya adalah gambar Mitty yang sedang meneliti gambar-gambar yang telah dibidik oleh Sean. Mitty sebagai seorang manusia adalah sebuah mahakarya.

Mahakarya Tuhan adalah manusia. Manusia dicipta untuk hidup. Dan untuk hidup, rahsianya adalah mimpi. Dengan mimpi, kita mengembara ke setiap pelosok kehebatan diri yang mahu kita lakukan dan menjadikannya tidak hanya terpendam sebagai keinginan tetapi turut berombak dalam fikiran. Lalu mimpi menjadi zahir sehingga kita rasakan ianya masih mimpi setelah kita melaksanakannya. Kita selalu fikir, kita tidak mampu sedangkan kemampuan kita terkadang hanya tidak menyentuh rasa yakin diri malah melebihi kepercayaan sendiri. Dan, selalu kita tidak sedar. Mimpi adalah doa paling senyap. Diam-diam, ia pergi kepada Tuhan. Kadang-kadang, yang tak terjangkau di fikiran pun mampu makbul sebagai kenyataan.

Mitty adalah mahakarya. Kita?
Versi 1947


PENGARAH: Ben Stiller
LAKON LAYAR: Steve Conrad
PELAKON: Ben Stiller, Kristen Wiig, Shirley Maclaine, Adam Scott, Katherine Hahn, Sean Penn.
ADAPTASI: The Secret Life of Walter Mitty oleh James Thurber (1939)

Wednesday, December 18, 2013

KOLUMPO: MINI NARATIF YANG BRAVO!

Aku beritahu Sherry al-Hadad "Kak Sherry. Saya dah tonton Kolumpo! Saya suka!"

Dia gelak kemudian membalas " Oh, jangan percaya itu ya. Lakonan semata-mata. Jangan terpengaruh."

Ya, aku suka Kolumpo. Filem-filem pendek yang berpadu di bawah jenama Kolumpo ini memang merangsang fikiran. Itu perkara pertama yang aku kesan. Sebelum jauh aku menaip, aku harus minta maaf kerana aku lupa tajuk ketiga-tiga filem tersebut kerana aku ke panggung untuk filem itu sebagai seorang penonton. Bukan seperti sebelumnya aku ke panggung untuk bertugas menulis ulasan. Aku memang berniat untuk ke sana sebagai seorang penonton tanpa perlu mencatat dalam gelap.

Filem PERTAMA, arahan Bront Palare, bermula dengan ketibaan Rahul (Azad Jazmin) dari India di KLIA. Kemudiannya, Rahul bertemu dengan seorang pemandu 'teksi' (Sabri Yunus) yang menipu wangnya sebanyak RM250 setelah mereka tiba di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Aku suka dialog Sabri Yunus "...after this you can see building-building-building sebuilding-buildingnya." Sinis! Aku suka dengan kesinisan itu walaupun aku benci betul dengan watak tersebut kerana sampai hati menipu manusia yang naif sungguh air mukanya. Jadi, aku kira Sabri Yunus berjaya dengan watak tersebut.

Malang bertimpa-timpa, Rahul yang datang secara halal, menjadi pendatang haram apabila syarikat yang kononnya menawarkan pekerjaan telah ditutup, ditipu oleh seorang tauke kedai mamak, dirampas pasportnya, dipotong upahnya sehingga tiada upah langsung dan disumbat pula ke dalam sebuah rumah yang tersangat sempit dan daif bersama-sama pendatang-pendatang lain yang hampir 20 orang kesemuanya. Aku suka lukisan wajah-wajah pendatang pada kentang yang menjadi makanan mereka sehari-hari. Aku sedih dan rasa berdosa apabila melihat pendatang-pendatang itu makan nasi putih berlaukkan kari dan kentang semata-mata. Aku gelak apabila pendatang-pendatang tersebut mandi, 'berfalsafah', dan saling menuduh. Aku fikir itu keadaan politik kita sekarang dan, ya, keadaan masyarakat kita juga sebenarnya.

Aku suka mise-en-scene yang ada dalam filem tersebut. Aku tertanya pada waktu menonton "Aku fikir aku suka frame filem ini. Siapa D.O.P dia eh?" Aku suka penggunaan 'kentang-kentang berwajah' yang berterabur sewaktu diserbu polis. Kentang itulah mereka kerana 30 tahun mereka di Kuala Lumpur, kentang itulah yang menjadi darah daging mereka. Aku suka apabila Azad Jazmin dikejar oleh Azhan Rani, kemudian terlanggar Farid Kamil yang melihat lokasi penggambaran bersama-sama Sara Ali dan Sara Ali memarahi Farid Kamil "Ni siapa sebenarnya direktor ni? Inilah masalah kalau pelakon nak jadi pengarah!" Aku gelak kerana aku fikir, ini 'jawapan' daripada Bront Palare kerana dia seorang pelakon yang mengarahkan filem tersebut. Sebelum orang lain menuduh, Bront sudah meletakkan tuduhan daripada dirinya kepada dirinya sendiri. Aku tahu, ada orang bising tentang filem yang diarahkan oleh pelakon. Pada aku, tiada masalah dengan hal pelakon menjadi pengarah. Industri filem Malaysia ada ramai pelakon yang menjadi pengarah. Siap ada auteurisme!

Penghujung filem tersebut, ada imej burung-burung merpati dalam bingkai. Kalau itu dilambangkan sebagai kebebasan, aku kira itu klise. Tapi aku suka imej kapal terbang yang diambil penuh dari bawah. Oh, cubalah lihat sayap kapal terbang itu. Aku lebih rasakan kebebasan pada imej tersebut.

Secara keseluruhannya, filem ini di tangan Bront Palare yang 'menjelma' sebagai seorang pengarah, memberi cukup perspektif yang positif untuk aku menunggu filem arahan beliau yang seterusnya.


FILEM KEDUA, arahan Rozi Izma juga memiliki sentuhannya tersendiri. Kisah seorang perempuan berbangsa Cina yang berusia, tidak berkahwin, memiliki seorang ibu yang selalu berusaha mencarikan jodoh untuknya dan dia selalu mengelak untuk menjawab panggilan telefon ibunya itu. Gina (Nell Ng) kemudian bertemu  Nek Wok (Ruminah Sidek). Aku tak perlu perkatakan lakonan Ruminah Sidek. Bagi aku beliau cukup hebat untuk watak-watak apapun. Apabila berlakon, aku langsung lupa beliau adalah Ruminah Sidek dan aku kira, diri beliau juga 'hilang' dalam watak yang dibawa. Nek Wok, seorang perempuan tua yang mengidap Anterograde Amnesia yakni gagal menyimpan memori baru akibat sesebuah kejadian yang traumatik tetapi masih menyimpan memori sebelum kejadian tersebut. Hal di sini adalah hal rumah yang digadaikan untuk pembangunan tetapi pembangunan tersebut tergendala kerana bekas tapak rumah Nek Wok 'gersang-segersang-gersangnya' walaupun ada serumpun tebu dipinggir kawasan. Aku fikir, ini imej untuk peribahasa seperti 'menanam tebu di pinggir bibir'.

Tipisnya, filem ini mengenai seorang anak perempuan yang ada masalah dengan jodoh dan ibunya berusaha kuat mencarikannya jodoh. Kemudian, Nek Wok muncul sebagai bayangan ibunya dan memberikan keinsafan agar Gina tidak lagi 'menderhaka'. Halus! Aku tepuk tangan juga untuk filem ini kerana berjaya mengkritik 'pembangunan' Kuala Lumpur yang suka 'menanam tebu di pinggir bibir', kejam dan traumatik. Segala-galanya ada pada Nek Wok tetapi terima kasih juga untuk Gina yang membawa kebaikan di penghujung cerita.

FILEM KETIGA, aku suka sebab ada Sharifah Amani. Watak yang dibawanya kali ini, selain daripada cameo dalam filem pertama, cukup misteri. Seorang perempuan yang bernama Siti Nur Hayy, yang jatuh entah dari planet mana tiba-tiba meminta Hafidd (Amirul Ariff) menemaninya yang baru putus cinta pada tengah malam. Aku cakap "Perempuan ini gila! Kalau aku, tak akan semudah itu mendekati lelaki, mengajaknya bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur." Yeah, inilah Siti Nur Hay yang tidak menghukum orang. Aku menerimanya walaupun gila. Bukan kerana dia Sharifah Amani tetapi sebab dia Siti Nur Hayy yang tidak menghukum itu. 

Hafidd, seorang pemuda yang mencari kebaikan. Tetapi dalam mencari kebaikan itu, dia mudah menghukum orang. Melihat itu salah dan ini salah. Jadi kebenaran dan kebaikan pada manusia sebenarnya apa dan di mana? Tetapi, dalam masa yang sama, Hafidd sering membela dirinya dengan soalan-soalan "Salahkah aku jika aku tidak pandai main bola? Salahkah aku tidak suka bergaduh? Salahkah aku begitu dan begini?" Itu ironi yang biasa ada dalam diri kebanyakan kita; kita selalu betul, orang lain selalu salah.



Siti Nur Hayy datang menunjukkan bahawa sebagai seorang manusia yang tidak tahu hati budi manusia lain, dan semestinya manusia lain tidak mudah mengenali hati budi kita, tugas menghukum itu bukan kerja kita. Siti Nur Hayy membawa Hafidd mengenali peniaga steamboat berbangsa Cina, membeli steamboat itu dan makan dengan selamba. Hafidd menjeling. Menurut kefahaman aku, jelingan itu disebabkan oleh bangsa peniaga tersebut. Nah, filem ini adalah ujian psikologi penonton itu sendiri. Cuba fikir balik, ketika menonton filem ini, apa yang difikir tentang peniaga tersebut? Mesti ada yang kata, hei, orang Islam tak boleh makan makanan orang Cina! Aku, pada awalnya begitu. Oh, psikologiku sebagai seorang Melayu-Islam-Malaysia tipikal! Memang jika ikut hukum halal-haram, bimbang ada unsur-unsur syubhah. Tetapi, minta ampun. Aku berdosa kerana buruk sangka terlalu cepat. Mana tahu, peniaga Cina itu Cina-Islam? Ada kita tanya; pak cik Muslim? Siti Nur Hayy tidak bertanya kerana pertama, dia mesra dengan Kuala Lumpur. Kedua, dia adalah medium ujian psikologi itu. Terima kasih! Aku tidak lulus ujian pertama.

Kemudian, mereka bertemu Sherry (Sherry al-Hadad) yang mabuk di bahu jalan. Aku gelak melihat Sherry al-Hadad kerana aku kenal beliau sebagai tutor aku yang serius dengan kerja 'tutoring' untuk latihan Randai. Kali pertama aku melihat beliau berlakon pun adalah dalam filem pendek Puntong terbitan syarikat aku adik-beradik; Legasi Oakheart dengan Produksi Bawah Tanah dan wataknya masih watak yang serius. Kali ini, aku lihat wataknya lucu. Ada sesuatu dengan watak lucu ini. Hafidd memandang serong terhadap Sherry yang mabuk dan dia menegaskan kepada Siti Nur Hayy bahawa dia tidak mahu teman wanita yang tidak senonoh begitu. Baginya, tidak senonoh itu tidak baik. Siti Nur Hay terus memulangkan buah paku keras dengan pertanyaan " Habis, kita ni baik sangat?" Ya, kita ni baik sangat?

Siti Nur Hay kemudiannya membawa Hafidd bertemu Nurul Atikah Bin Abdul Rahman yang berdandan, berbaju merah, bersuara garau dan menunggu pelanggan di perhentian bas. Dengan perawakannya yang begitu; wah, pelacur bapuk! Aku kata dalam hati. Nurul Atikah sedih kerana tiada pelanggan. Siti Nur Hayy memberi pendapat bahawa Nurul Atikah harus menukar rambut palsunya. Sebelum itu, Siti Nur Hayy sempat bercanda bahawa Hafidd adalah pelanggan baru. Tetapi apabila Nurul Atikah cuba mendekati Hafidd, Siti Nur Hayy cepat-cepat membetulkan keadaan. Sebelum meminta diri, Nurul Atikah meminta Siti Nur Hayy berjanji untuk menemaninya membeli rambut palsu baru. Aku terkena dengan ujian ini. Nurul Atikah bin Abdul Rahman bukan pelacur bapuk! Dia tauke rambut palsu. Mainan psikologi pada baju merah dan perlakuan, memang menunjukkan dia pelacur bapuk. Seharusnya aku tidak terus menghukum dia sebagai seorang pelacur. Tapi, aku manusia. Tak akan sempurna dan tak akan tidak ada tanggapan pertama. 

Aku tepuk tangan apabila Siti Nur Hayy bercakap tentang wanita sebagai teman hidup dengan kiasan rusuk kiri. Hafidd tidak faham maksud rusuk kiri tersebut. Siti Nur Hay, membuka cardigan, menolak Hafidd dan berkata " Dia ni tak pergi sekolah agamalah!". Aku gelak dan tepuk tangan. Sinis! Sinis! Aku fikir, ini khas untuk orang-orang agama yang berasa dirinya suci-suci-suci-sesuci-sucinya. Aku puas hati kerana pada pihak aku yang hanya bertudung biasa, berselendang biasa yang pernah dipandang atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah ketika kali pertama menghadiri usrah oleh ustazah-ustazah yang bertudung labuh, dan ada yang siap berpurdah. Aku rasa dihina di khalayak begitu. Okey, aku shut down untuk kumpulan itu. Aku juga pernah disela sebagai seorang yang sekular kerana mempelajari undang-undang Barat sewaktu di UIA dulu oleh orang yang kuat sangatlah agamanya sedangkan aku juga belajar undang-undang Islam. Dan, aku juga pernah disela kerana tidak sukakan novel Islami yang penuh dengan tempelan ayat-ayat al-Quran, yang meletakkan watak protagonis sebagai malaikat dan watak antagonis sebagai ibu iblis dan dakwahnya keras. Lalu, penyela itu berkata bahawa mungkin aku bukan orang jemaah. Hah, nak berjemaah macam mana kalau sudah atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah begitu? Ini pengalaman aku yang diingatkan oleh Siti Nur Hayy. Memang, psikologi aku diuji secukup-cukupnya dalam filem arahan Sheikh Munasar ini.

Secara keseluruhannya, filem ini filem yang membawa mini naratif. Bukan sahaja mini naratif dalam 'diri' Kuala Lumpur, malah mini naratif dalam diri kita sendiri. Dan, aku ingat-ingat kembali, ini adalah filem Malaysia paling baik yang aku tonton pada tahun ini. Terima kasih, Kolumpo!




Monday, December 9, 2013

FROZEN: CINTA PEMERINTAH, KEKASIH DAN KELUARGA

Filem animasi muzikal ini terinspirasi oleh kisah The Snow Queen. Aku dapat lihat itu sebab inspirasinya ada pada watak ELSA yang lahir dengan magis ais pada kedua-dua belah tangannya. Cuma Snow Queen berperwatakan jahat. ELSA kemudiannya dikurung di dalam bilik sendiri setelah mencederakan adiknya, ANNA secara tidak sengaja.

Aku suka dengan falsafah yang dibawa dalam filem ini melalui minda,hati dan kuasa. Aku lupa nama bomoh trol itu tapi aku ingat intipati kata-katanya selepas ANNA dicederakan buat kali pertama. Katanya kurang lebih, ingatan dalam minda boleh dihilangkan tetapi isi hati tidak, sambil bomoh trol itu menghilangkan ingatan ANNA tentang magis yang ada pada ELSA. Jadi membesarlah ELSA keseorangan dengan ketakutan terhadap kuasanya sendiri. Oleh hal yang demikian, ANNA membesar dengan sangkaan bahawa ELSA memulaukannya.

ELSA kemudiannya ditabalkan sebagai seorang ratu setelah ayahanda dan bondanya mangkat. Titik plot pertamanya apabila ELSA memarahi ANNA yang ingin mengahwini PUTERA HANS yang baru satu malam dikenalinya. ELSA dengan tidak sengaja telah membekukan seluruh Arendelle dengan kemarahannya tanpa sengaja. Aku fikir, inilah sedikit perwatakan Snow Queen yang diletakkan dalam diri ELSA. ELSA kemudiannya melarikan diri ke kawasan pergunungan dan membina sebuah istana ais dengan kuasanya. ANNA pula berusaha mencari ELSA dan meninggalkan Arendelle di bawah pemerhatian PUTERA HANS. Sewaktu mencari ELSA, ANNA berkenalan dengan seorang pemuda yang kerjanya menjual ais,KRISTOFF dan rusanya, SVEN. Dan aku paling suka lagu LET IT GO. Permulaan lagunya sudah buat aku tertarik dan aku bisik kepada suami di sebelah "Sedap permulaan lagunya. Dengar." Muziknya kedengaran matang meskipun untuk sebuah filem animasi. Pada aku itu sesuatu yang bagus kerana muzik juga merupakan suatu medium pembelajaran ke arah kematangan.

Pertemuan ANNA dan ELSA telah menyebabkan ANNA diserang oleh ELSA sekali lagi tepat di jantung. Nah, bermula dengan serangan itu, penonton dibawa kepada suatu jalinan tentang hati dan kuasa. Kuasa ELSA yang perlahan-lahan membekukan jantung ANNA sehingga adiknya itu menuju maut, aku lihat sebagai suatu satira horace yang cantik yakni seorang pemerintah menggunakan kuasanya tanpa kawalan kemudian membunuh seluruh negaranya termasuk ahli keluarga sendiri sedangkan pada asalnya pemerintah itu dilahirkan sebagai seorang yang murni. Hal ini sama sahaja berlaku dalam kisah-kisah Shakespeare seperti Macbeth dan Hamlet  yang tersepit antara dua belah jiwa yang ada dalam diri. Juga sama takdirnya dengan Oedipus yang dikarang oleh Sophocles yang lahir dengan takdir yang tak dapat dielakkan sedangkan Oedipus bukanlah seorang yang jahat. Lapisan begini buat aku turut teringatkan satira tentang politik dalam The Gulliver's Travel oleh Jonathan Swift. Dan ELSA boleh sahaja bertukar menjadi Snow Queen kalau tidak ditangkap setelah pengsan ketika menyerang askar-askar yang datang ke istana aisnya. Aku terus terfikir, agaknya pemerintah yang mana mabuk kuasa harus 'dipengsan' sebelum jadi gila kuasa.

ANNA yang menjadi mangsa kuasa tanpa kawalan itu pula hanya dapat diselamatkan oleh kuasa cinta sejati. Yeah, kerap kali kita dengar cinta adalah kuasa paling-paling-paling besar di dunia. Kalau tidak kerana cinta, Tuhan pun akan biarkan manusia mati kelaparan. Tetapi itu tidak pula berlaku kerana Tuhan itu penuh cinta.

Cinta dalam filem ini memiliki twist  yang cantik sebab aku mati-mati ingat cinta KRISTOFF yang akan menyelamatkan ANNA setelah dikhianati oleh PUTERA HANS yang hanya mahu mengambil alih kuasa pemerintahan Arendelle. Ini satu lagi lambang manusia mabuk kuasa selain daripada DUKE OF WESELTON. ANNA yang beku ketika cuba menyelamatkan ELSA daripada dibunuh oleh PUTERA HANS dihidupkan dengan pelukan ELSA. Solusinya adalah cinta dan dalam filem ini cinta lelaki-perempuan diangkat dengan ringan tidak seperti kisah-kisah cinta puteri-puteri Disney seperti Cinderella, Snow White, Rapunzel, Sleeping Beauty yang masyhur itu.  Pertama, cinta seorang pemerintah kepada rakyatnya akan menyelamatkan seluruh negara. Kedua, cinta yang sederhana antara lelaki-perempuan dengan bukti pengorbanan yang kadang-kadang kita buta untuk menilainya. Ketiga, cinta antara keluarga.

Aku juga sukakan bit filem ini. Laju dan tepat. Oh ya, aku juga sukakan OLAF, si orang salji. Ya, OLAF, Some People Are Worth Melting For but as KRISTOFF said, sometime; Reindeer(s) are Better Than People. Rusa tak mabuk kuasa atau busuk hati. - Lagu pun sinis!

--- Teringin nak tonton yang dalam bahasa Melayu.