Thursday, May 30, 2013

BAHASA MELAYU DI TENGAH-TENGAH METROPOLITAN

Seharusnya, kisah pada kali ini, ada gambar. Malangnya, tiada. Tetapi, saya mahu juga ceritakan kisah ini.

Saya terlewat sebulan untuk pembaharuan lesen syarikat LEGASI OAKHEART. Maka, hari ini, sebelum bertambah jadi dua bulan kelewatan, sebelum Jun memunculkan wajah di lawang tahun 2013, saya dan suami ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (selepas ini SSM) bersebelahan KL Sentral, untuk memperbaharui lesen; termasuk lesen syarikat suami, AL HAFIZ CONSULTANTS.

Walaupun pejabat SSM masih di bangunan bersebelahan bangunan KL Sentral, pejabatnya sudah berpindah tempat ke ruang pejabat di sebelah pejabat lamanya. Jadi, kalau ada yang mahu ke SSM untuk mendaftarkan syarikat atau memperbaharui lesen, sila panjangkan langkah anda dari lobi lama ke bahagian sebelah bangunan yang sama.

Masuk sahaja lif, saya terus 'Wah!' sebab suara robot perempuan cakap "Naik ke atas. Naik ke atas." --- Cuma... Naik... Memang ke atas kan? Ada pula naik tapi ke bawah? Nak bagi jadi sedap, mungkin.


Robot itu bertutur dalam Bahasa Melayu! Dan, punat-punat pada lif tersebut ayat-ayatnya, dalam bahasa Melayu dan bahasa TUNGGAL di situ. Inilah sebab mengapa kisah ini perlu ada gambar. Saya rasa tersangat ralat sebab tiada kamera pada waktu itu.

Nampak perkara ini mungkin kecil untuk diperkatakan atau dikagumi. Tapi apalah erti hidup di negara sendiri, kalau negara sendiri ini menggunakan bahasa negara yang pernah menjajahnya? Dan, siap berbangga-bangga dengan bahasa itu? Saya tidak menolak untuk mempelajari bahasa asing. Belajarlah, kerana setiap bahasa itu Tuhan yang ciptakan. Saya sendiri kadang-kadang menggunakan bahasa Inggeris dan kadang-kadang cuba-cuba bertutur (sangat) sedikit dalam bahasa Mandarin dengan kawan-kawan berbangsa Cina. Tetapi, tidaklah perlu untuk menukar diri sendiri sepenuhnya menjadi seorang 'penjajah'. --- Tak payah duduk Malaysia lah kalau gitu. Encik Wan a.k.a Awang Goneng pun boleh pekat cakap Terengganu lagi walaupun 33 tahun menetap di London! Isteri beliau, Kak Teh a.k.a Puan Zaharah Othman pun cakap slanga Kedah pekat. Apa ceritanya?

Saya melihat Allah menciptakan bahasa untuk manusia, sebagai suatu jambatan perkenalan sesama bangsa dan bukan untuk meruntuhkan bangsa itu sendiri. Dan bahasa itulah juga diciptakan sebagai ujian paling getir daripada Allah untuk sesebuah bangsa dalam memperkukuhkan identitinya. Maka, siapakah antara kalian yang benar kuat dalam mengimani bahasa bangsa sendiri?

Saya berbangga dengan SSM!  Di tengah-tengah metropolitan, ketika kebanyakan bangunan, namanya terus memperkayakan bahasa penjajah, dan jalan-jalan ditukar nama juga dalam bahasa penjajah sepenuhnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, masih kekal dengan identiti bangsa Malaysia --- Walaupun, ada dwibahasa juga pada nama syarikat (saya dan SSM sendiri), sekurang-kurangnya, bahasa Melayu masihlah wujud pada namanya. --- Suami saya, saya tak tahu kenapa beliau gunakan bahasa Inggeris penuh untuk syarikat rundingan kewangan beliau. Silalah tanya beliau sendiri. Tapi, saya fikir, waktu beliau hendak mulakan perniagaan, beliau tersangat muda, jadi kurang kesedaran.

Oleh sebab itu, sesiapa yang memang ada, sudah ada atau baru sebentar tadi ada, kesedaran terhadap tanggungjawabnya dalam memelihara dan memulihara diri sendiri sebagai bangsa yang ada bahasa sendiri, bahasa Melayu, terus, kuatkan iman anda!

Baiklah!


Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.



*Patut, pada beg kain Dewan Bahasa dan Pustaka, bukan setakat tulis, 'Masalah berbahasa Melayu?' tapi kena letak juga, 'Masihkah malu berbahasa sendiri?'. Orang yang malu dengan diri sendiri biasanya orang yang tiada keyakinan diri. Harap maklum dan mohon terasa.

Wednesday, May 29, 2013

WAKTU-WAKTU AWAL DI KOTA LONDON

My May was a very hectic month. Was. Sesudah tugasan kuliah yang terakhir dihantar pagi tadi. Jadi, hari ini, saya kelapangan dan saya mahu kongsikan pengalaman kali pertama menjejakkan kaki di bumi penjarah Tanah Melayu, Kota Inggeris, Kota London. Ya, walaupun saya sudah jatuh sayang pada kota London, suatu sejarah takkan pernah terlupus begitu sahaja.

Baiklah, saya dan para KEMBARA tiba di Lapangan Terbang Heathrow, pada 10 Mac 2013, sekitar pukul 7 pagi. Ketika itu, suhu serendah 2 darjah celcius. Belum sangat rendah kerana saya dan KEMBARA pernah mengalami suhu negatif pada hari turunnya salji. Usai melepasi pakcik imigresen yang terkejut mendengar saya seorang pelajar, datang ke London dan bercuti selama 10 hari di sana, kami pun menunggu Encik Wan Ahmad Hulaimi, a.k.a  Awang Goneng. --- Pakcik Imigresen tanya dengan mata sederhana beliak "Student? 10 days vacation?". Saya angguk. Mesti dalam hati dia cakap "Kayanya pelajar Malaysia dapat cuti di London 10 hari" Hehehe... Pakcik, sebenarnya saya ditaja oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia datang mengembara, buat kajian di London. Sah, masa itu juga kena hantar balik Malaysia!

Dari dalam perut kapal terbang


Sebelum ke bahagian imigresen, saya dan KEMBARA ketemu sesuatu yang tidak ada di KLIA, Malaysia, dan Shamsul Amin, teruja lebih dengan perkara ini.

Saya melihat ini sebagai penghargaan terhadap seni.

Saya terfikir, tidakkah boleh KLIA ada beberapa set gong, paling tidak, untuk menunjukkan lambang seni dan kebudayaan sebuah negara yang bernama Malaysia? Paling tidak. Dan sebenarnya, masuk sahaja Lapangan Terbang Heathrow, anda akan melihat wajah Shakespeare pada dindingnya. Saya mengeluh-ngeluh melihatkan hal ini sambil berfikir-fikir tentang nasib sasterawan di Malaysia.

Ketika menunggu Encik Wan, setelah dijamu makan dan minum yang rasanya selang 3 jam sekali dalam perut kapal terbang Emirates, sampai nak tidur pun tak lelap-lelap, mulalah diri buat perangai nak buang air. Please take note. Di London, tandasnya tiada paip air. Jadi, anda semua perlu bersiap-sedia dengan botol air mineral, untuk tadah air di sinki, dan bawa masuk ke dalam tandas pilihan hati. Lagi besar botol air mineral anda, lagi bagus.

Selain daripada tisu dan tuala wanita - Kondom.


KEMBARA menunggu tidaklah lama. Encik Wan datang, dan kami pun ambil gambar dua-tiga keping, kemudian kami terus keluar dari lapangan terbang, untuk ke tempat penginapan, di Holiday Villa Hotel, di Leinster Garden, Bayswater. Sementara menunggu coaster, kami masing-masing menghembus-hembus udara dari mulut. Maka, berkepul-kepullah udara dingin keluar, bagai asap rokok (yang membunuh si perokok dan mangsa pembunuhan si perokok) --- Penulis-penulis lelaki yang menyertai KEMBARA, semuanya tidak merokok. Alhamdulillah...

Itu permulaannya saya dan geng KEMBARA di kota London. Bersambunglah nanti kisah ini.

10.3.2013 - 9.17 am (London)


*Merindui waktu-waktu kembara di Kota London, malam ini. Psstt...Kalau kita ke sana lagi, bersama-sama orang lain, pengalaman yang pertama ini, tak akan mampu tergantikan dengan waktu yang lainnya.

Monday, May 20, 2013

DARIPADA AL-JAHIZ KE DALAM FIKIR





PESONA BUKU (RM 15)

AL- JAHIZ berkata:
Buku itu diam apabila
engkau mengehendaki (ia) diam.
Ia tidak akan mengganggu kalau engkau sedang bekerja, tetapi bila engkau berasa kesepian, ia akan menjadi temanmu yang baik.
Engkau tidak perlu marah terhadapnya dan juga tidak akan berkecil hati.
Ia adalah teman yang tidak menipu
atau bermuka dua.


PESONA BUKU
SHAHAROM TM SULAIMAN
2013 

*Al- Jahiz, sasterawan yang hidup pada kurun ke-8 dan ke-9. 
Kitab Al-Hayawan merupakan karya beliau yang paling terkenal.
 

Sunday, May 19, 2013

DARIPADA PEPATAH ARAB KE DALAM FIKIR (I)


Sayidah Mu'izzah : CINTA PUNYA PELBAGAI WARNA, akrilik di atas kanvas


Jika engkau berikan hatimu yang utuh itu kepada kekasih hatimu,
pasti dia akan menghancurkannya.
Tetapi jika kau berikan hatimu 
yang berkecai sekalipun,
kepada Tuhanmu
pasti Dia akan mencantumkannya kembali.



Petikan yang disalin sewaktu zaman persekolahan


Saturday, May 18, 2013

DARIPADA AWANG GONENG KE DALAM FIKIR (I)


Awang Goneng by Datuk Lat



Every amazing things didn't start 
with the government or society 
but personal passion



Awang Goneng (Wan Ahmad Hulaimi)
13 Mac 2013
Bayswater, London



Tuesday, May 14, 2013

DARIPADA IBUNDA KE DALAM FIKIR (II)



 
Tuti Indra Malaon sebagai Ibu Rakhim


Ibunda kepada cucu: 
 "Kaya itu hak, terkenal itu hak,tetapi 
belum pasti menjadikan orang itu bahagia"



Filem Ibunda (1986)
Teguh Karya
Indonesia 


Friday, May 10, 2013

DARI MANA DATANGNYA BUKU?


Ada orang tanya, saya suka beli buku di mana? Ada juga yang tanya, dari mana saya dapatkan buku-buku? Ada juga yang kata "Kau ni, jumpa saja bukunya." Saya ceritakan sedikit sebanyak tentang saya dan kekasih hati, buku. Setakat yang ingat.


(1) Biasanya saya suka beli buku di MPH di Mid Valley, Popular di Wangsa Walk, Kinokuniya di KLCC dan BookXcess di AmCorp Mall. Tapi, kalau nampak buku yang menarik, di gerai tepi jalan pun saya beli.

(2) Hadiah daripada penulis. Biasanya saya tukar dengan buku saya sendiri.


(3) Hadiah daripada keluarga, terutamanya suami dan kawan-kawan. Mereka tahu saya gila buku. Hadiah perkahwinan pun saya ada dapat hadiah buku.

(4) Melancong atau mengembara. Walaupun ke Cameron Highlands yang banyak jual sayur-mayur, buah-buahan dan bunga-bungaan, saya tetap buru buku. Contoh, antologi cerpen Cerita Malam Pertama karya Lutfi Ishak, saya beli dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands. Saya percaya, orang yang mencari sahaja yang akan menemui apa yang dicarinya.

(5) Editor yang akan 'melepaskan' buku-buku beliau. Bahagian ini saya suka sebab saya boleh selongkar kotak buku beliau sesuka hati. Tapi, lepas tu, kenalah kemas sendiri.

(6) Ada satu cara lagi. Tanya : Nak lagi tak buku ni? Ada lebih? Kalau ada, nak beli. Ada yang berjaya saya beli. Ada yang berjaya dapat percuma. Bergantung pada untung nasib. Dan tengok juga siapa orang yang kita tanya itu. Kalau dah tak ada, reda dan pasrah.





Antara hadiah buku yang saya dapat: Buah tangan dari Bologna Children's Book Fair 2013 (BCBF). Saya difahamkan, sebelum ini, BCBF mengeluarkan direktori sahaja. Tetapi edisi ulang tahun yang ke-50 pada tahun ini, buku istimewa yang mengandungi esei/artikel mengenai sejarah BCBF dan keistimewaan buku kanak-kanak, telah diterbitkan. Buku ini mempunyai banyak gambar yang cantik dan comel.



--- Dua tabiat yang saya tak dapat kikis dari kecil :

(1) Berlama-lamaan di kedai buku. Lama-lama di kedai buku juga boleh memberi penemuan buku-buku lain yang mungkin kita tak cari dan tak pernah tahu kewujudannya. Antara kedai buku yang saya suka berlama-lamaan, Kinokuniya KLCC dan MPH Mid Valley. Sorga dunia!

(2) Kedekut buku. Sebab waktu budak dulu, buku selalu hilang bila bagi pinjam pada kawan. Jadi, masih paranoid.


(3) Sanggup ikat perut untuk buku tanpa banyak merungut atau menyoal. Sejak sekolah, pada waktu kawan-kawan kumpul duit untuk beli top up telefon bimbit atau ke kafe siber, saya 'perabih' duit untuk buku. Waktu kawan-kawan dah ada akaun Friendster, saya masih tak punya satu pun. Saya tenggelam dengan buku. Akaun Friendster saya wujud pada hujung waktu Friendster hendak pupus. Kawan baik saya sendiri mengejek. Tapi, ya, saya peduli apa?


Tapi, saya cumalah seorang penggila buku. Belum sampai tahap ahli buku. Rasanya, sampai mati pun saya tak dapat nak capai tahap tersebut. Apa-apapun, baca sajalah! Yang penting, ilmu dan keseronokan mendapat pengalaman luar biasa daripada sesebuah buku itu dapat kita nikmati.


---- Kata-kata seorang kawan pustakawan ketika sekolah : Kadang-kadang, berkawan dengan buku lebih baik. Buku tak pernah menyakitkan hati.


Tuesday, May 7, 2013

FROM NICK VUJICIC TO THINK (I)




RM 39.90 at Popular Bookstore.


Challenge rise up and knock me flat on occasion. 
Yet I know that where I am weak, God is strong, 
and when we put faith into action, 
we are unstoppable.


Nick Vujicic
Unstoppable, 2012 



Faith on me is Islam. And, yeah, Allah is great!
 

Monday, May 6, 2013

DARIPADA IBUNDA KE DALAM FIKIR (I)




Kamu bawa peranan sendiri belum tentu, 
mahu bawa peranan macam-macam. 
-Dialog antara Zulfikar (Alex Komang) dan isterinya (Ayu Azhari)


Filem Ibunda (1986)
Teguh Karya
Indonesia


Kadang-kadang, kita mahu jadi macam-macam, mahu jadi segalanya. Tetapi kita selalu lupa, menjadi diri sendiri itu lebih utama. Dan untuk jadi diri sendiri, pertamanya, ke mana-mana pun, jati diri harus dibawa. 

FROM FRANCIS BACON TO THINK (I)


Histories make men wise ; poets, 
witty ; the mathematics, 
subtile ; natural philosophy, deep ; moral, 
grave ; logic and rhetoric, able to contend


Francis Bacon (1561-1626) ,
Academician, Lawyer, Political Leader, Scientist, Academic Author
London, England


Sunday, May 5, 2013

DARI PBAKL 2013 DENGAN CINTA

Ada banyak perkara yang saya ingin kongsikan tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL 2013). Tapi, sekarang, saya fikir, lebih baik untuk berkongsi kisah melalui gambar sementelah saya sendiri berasa letih fizikal sepanjang seminggu PBAKL 2013.



Wafa Awla,salah seorang penulis LEGASI OAKHEART dan Encik Khair Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Tiada Encik Khair, maka, tiadalah naskhah Cantuman Mimpi dan Retrospeksi di gerai ITBM di PBAKL 2013. Terima kasih Encik Khair!



Kerendahan hati Sasterawan Negara ke-12, Dato Baha Zain. Apabila saya dan suami menghampiri beliau, beliau bangun dan menjemput kami duduk di kerusi yang beliau sedang duduk. Sewaktu kami mahu ambil gambar, beliau berkata kepada saya "Eh, tak apa! Duduklah." sebab saya segan, sasterawan negara berikan tempat duduknya kepada saya, penulis baru lagi muda. Selain daripada Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Dato' Baha Zain juga merupakan sasterawan negara yang turut memiliki naskhah Cantuman Mimpi dan Retrospeksi. Beliau juga meminta tandatangan kami yang entah sesiapa pun kalau hendak dibandingkan dengan taraf Sasterawan Negara Malaysia yang beliau sandang. Terima kasih atas sokongan terhadap kami, penulis muda di Legasi Oakheart!


Encik Armin Azhari, bekas editor majalah Pelita Bahasa, Tunas Cipta dan Dewan Ekonomi yang membeli buku-buku Legasi Oakheart sejak buku yang pertama iaitu Antologi Puisi ELEGAN. Terima kasih Encik Armin!


Kak Teh (Puan Zaharah Othman) dan Encik Wan (Encik Wan Ahmad Hulaimi a.k.a Awang Goneng) balik Malaysia! Yeay! Kak Teh dan Encik Wan sudah 33 tahun bermastautin di Kota London. Merekalah ibu dan ayah kembara kami 10 bersaudara di Kota London.


Dapat tandatangan Encik Wan lagi. Kali ini untuk buku Growing Up in Trengganu. Sewaktu di London, beliau sudah tandatangani buku A Map of Trengganu.


Kami, Legasi Oakheart buat gerai ITBM macam pasar borong jual Cantuman Mimpi dan Retrospeksi.Kebiasaannya kami memang buat begini, ikut rentak jual para petugas ITBM di PBAKL. Mereka jerit, kami pun jerit. Mereka laung, kami pun laung. Kadang-kadang, tak payah jerit atau laung, kami diberi mikrofon. Seronok!

LEGASI OAKHEART, penulis-penulis muda yang diberi ruang di SOFA PUTIH ITBM untuk Gebang Naskhah Legasi Oakheart.Gebang Naskhah akan menemui anda di beberapa tempat lagi selepas ini. Gambar ketika agenda SOFA PUTIH akan dikongsikan di blog LEGASI OAKHEART.


Mesyuarat di SOFA PUTIH ITBM. LEGASI OAKHEART memang suka macam ni. Bengkel ikut dan kat mana-mana, atas lantai depan bank, mesyuarat pun ikut suka hati kat ruang SOFA PUTIH ITBM. Bergelimpang pun kami okey je.


Paling puas hati, CANTUMAN MIMPI adalah hot item di gerai ITBM sejak memegang tempat kedua paling laris. Stok pun semakin sikit dan bakinya akan dibawa ke Pesta Buku Selangor nanti. Puas hati kerana CANTUMAN MIMPI baru sahaja 2 minggu diterbitkan. Alhamdulillah...


RETROSPEKSI, agak lambat jadi TOP 10, tapi, alhamdulillah... Kurang-kurang TOP 10 juga. Ramai cakap, sukakan puisi-puisi dalam RETROSPEKSI sebab mudah difahami.


ANTI REALITI juga agak perlahan jualannya. Tapi, dengar-dengar komen daripada pembaca, mereka suka puisi-puisi ANTI REALITI sebab mudah difahami dan rasa jujur. Sama seperti halnya kepada pembaca RETROSPEKSI.


PERKARA YANG TERAKHIR DAN TAK ADA GAMBAR : PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2013 DITAMATKAN AWAL SEHARI ATAS SEBAB PILIHAN RAYA UMUM KE-13.

Apa-apapun, PBAKL 2013, diakhiri dengan perasaan puas hati dan gembira! Mungkin ia sekadar kejayaan peribadi, tapi inilah sejalur perjalanan hidup saya. Terima kasih, kepada semua yang menyokong LEGASI OAKHEART, ITBM yang sudi menjalinkan kerjasama dengan kami, para pembeli dan pembaca naskhah-naskhah CANTUMAN MIMPI, RETROSPEKSI dan ANTI REALITI, nama-nama mereka tak dapat saya sebutkan semuanya. Yang paling utama, terima kasih Tuhan!