Sunday, June 9, 2013

BERBAHASA INGGERIS ITU 'SOMEBODY'?


RM 30


Seseorang berkata, "If you can speak well in English, you're somebody you know? If not, you're nothing...." 
 
Ini inti kolot fikiran manusia Melayu.

Saya amat terkesan dengan kata-kata manusia Melayu zaman kini yang menunjukkan bahawa apabila kita pandai berbahasa Inggeris maka kita adalah orang yang pandai. Saya terkesan kerana kata-kata ini adalah kata-kata 'tak ada keyakinan diri' manusia Melayu yang memandang rendah terhadap bahasanya sendiri, bangsanya sendiri, dan paling memalukan, dirinya sendiri yang sekali tengok pun mukanya adalah muka manusia berdarah Melayu. Saya terkesan dengan perasaan marah dan kecewa terhadap manusia jenis ini.

Saya tahu, akan ada alasan bahawa, oh, keluarga saya memang cakap bahasa Inggeris dengan saya. Oh, nenek saya orang British dulu. Oh, saja saya nak ajar anak supaya dia pandai bahasa lain juga. Saya menerima dengan hati yang terbuka walaupun mungkin ada yang tak masuk akal tetapi, itu bukan tiket untuk seorang Melayu merendah-rendahkan diri Melayunya sendiri. Itu sangat memalukan diri sendiri.

Apa kena-mengena bahasa dan kebijaksanaan? Apakah dengan mengagungkan bahasa penjajah, maka kita akan jadi lebih pandai? Menurut Dato' Dr. Hassan Ahmad,  dalam makalahnya yang bertajuk Maju Bangsa Majulah Bahasa (Ke Luar Jendela), sebetulnya  kemajuan bahasa itu bergantung pada kemajuan bangsa yang menggunakan bahasanya. Bukti yang menunjukkan bahasa akan maju sejajar dengan kemajuan bangsa adalah berdasarkan sejarah perkembangan bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu 1000 tahun dahulu, tidak sama dengan bahasa Melayu pada hari ini. Perbendaharaannya bertambah, penggunaannya lebih meluas dan fungsinya dalam bidang-bidang tertentu sudah berkembang.

Bahasa Melayu sendiri berada dalam lapangan terjemahan. Jika bahasa Melayu itu miskin dan mandul perbendaharaan katanya, tak akanlah ia menjadi salah satu bahasa terjemahan. Jika bahasa Melayu miskin dan mandul perbendaharaan katanya, itu menunjukkan bangsa Melayulah yang bodoh kerana tidak menyumbangkan apa-apa kepada perkembangan bahasanya sendiri. Bukan salah bahasa Melayu kerana bahasa digerakkan oleh bangsanya.

Selama perhubungan dunia yang berlaku sejak manusia sudah pandai mengembara, interaksi bahasa turut berlaku. Ada bahasa yang dipinjamkan kepada bahasa Melayu, dan ada bahasa Melayu yang dipinjamkan kepada bahasa asing. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana begitulah lumrah manusia diciptakan dan beginilah rangkaian tamadun. Hatta, manusia yang bisu dan pekak juga punya bahasa mereka sendiri melalui bahasa isyarat mereka. Maka, apakah hanya kerana mereka tidak boleh bercakap (bahasa Inggeris), atau tidak boleh mendengar (bahasa Inggeris), senang-senang sahaja kita kategorikan mereka dalam golongan orang yang tidak pandai sedangkan ada antara mereka sangat berjaya dalam kehidupan?

Setiap hari, secara jujurnya, hati saya sakit apabila melihat manusia Melayu mengagung-agungkan bahasa orang yang menjajah, membunuh dan merogol nenek moyang mereka suatu masa dulu, boleh merendah-rendahkan bangsa sendiri. Saya sekali lagi, tidak menafikan bahawa saya juga ada menggunakan bahasa Inggeris. Saya pelajar cemerlang dalam bahasa penjajah itu sewaktu di sekolah. Pendebat bahasa Inggeris yang mendapat gelaran Pendebat Terbaik. Kawan-kawan sekolah, terutamanya budak lelaki gemar panggil saya 'London' atau pun 'kamus'. Saya mendapat pujian daripada Prof. Syed Ahmad al-Sagoff, pensyarah undang-undang Tort ketika di UIAM kerana skrip jawapan saya paling minima kesilapan tatabahasanya dalam bahasa Inggeris --- UIAM mengajar undang-undang sivil dalam bahasa Inggeris. Tetapi saya rasakan itu semua cuma suatu kelebihan kecil dan itu adalah suatu kekosongan yang perlu diisi kerana saya punya diri sendiri. Saya punya bahasa sendiri. Ya, saya punya bahasa sendiri.

Tak ada orang boleh kata "Anak awak bijaksana berbahasa Inggeris." Yang ada hanya "Anak awak pandai berbahasa Inggeris." Kepandaian adalah fizikalnya. Kebijaksanaan itu rohaninya dan akalnya dan ia adalah suatu misteri yang akan terjawab sepanjang kehidupan. Persoalannya juga bukan, apa seseorang itu menjadi. Doktor? Pensyarah? Peguam? Ahli perniagaan? Siapa seseorang itu menjadi, itulah jawapan tentang kebijaksanaan.

Tolonglah, zaman manusia Melayu berfikir bahawa bercakap bahasa Inggeris itu lambang intelektual, sepatutnya sudah berlalu. Tolonglah keluar dari kesempitan fikiran sendiri.


*Kalau cakap bahasa Inggeris tapi pokok isinya macam sampah? Are you deserved to call yourself as somebody?



Friday, June 7, 2013

AFTER EARTH : LAGI SENTUHAN SHYAMALAN YANG TIDAK MENJADI





Seperti biasa, setiap kali menonton filem, saya selalu meletakkan harapan bahawa apabila saya keluar dari panggung, saya akan mendapat 'sesuatu' sama ada filem tersebut merupakan sebuah filem yang ringan mahupun berat. Saya tidak mendapat perasaan ini setelah menonton After Earth arahan M. Night Shyamalan.

Saya berikan sedikit ceritanya. Kitai, lakonan Jaden Smith dan Jeneral Cypher Raige (Will Smith) merupakan anak dan bapa yang mengalami kerenggangan hubungan. Mereka berdua mengalami kemalangan di angkasa lepas bersama-sama renjer-renjer yang lain, sewaktu dalam perjalanan ke Ipthos dan terpaksa mendarat di bumi, iaitu planet berbahaya yang tidak boleh didarati oleh mana-mana manusia. Hal ini disebabkan oleh kemusnahan alam sekitar dan serangan makhluk asing yang disebut sebagai Ursa, seribu tahun lalu.Serangan ini juga telah meletakkan rasa bersalah dalam diri Kitai kerana dia, yang sewaktu itu masih kecil, tidak dapat menyelamatkan kakaknya, Senshi (Zoe Kravitz) yang mati dibunuh Ursa.

Di bumi, beberapa insiden yang berlaku melihatkan sebahagian daripada proses ke arah kematangan Kitai sebagai seorang remaja lelaki. Cerita berakhir apabila Kitai berjaya membunuh seekor Ursa, dan Raige diselamatkan oleh orang-orang Nova Prime.

After Earth sebuah filem sains fiksyen (Si-Fi) yang mengusir manusia jauh dari bumi atas sebab tangan manusia itu sendiri. Dan ya, orang putih memang sangat suka mewujudkan makhluk asing dan serangannya. Saya melihat, kalau pun tiada serangan makhluk asing terhadap bumi, cerita ini boleh bergerak dengan unsur didaktik (pengajaran) yang ringkas bahawa bumi tidak mahu menerima manusia lagi setelah kerosakan-kemusnahan-kedajalan yang dilakukan terhadap alam sekitar. Maka, mereka terpaksa berpindah ke Nova Prime. Kalau mahu menepati genre Si-Fi, tak perlukan makhluk asing pun, cerita boleh bergerak atas kisah sains kerana alam sekitar itu sebahagian daripada sains. Pada pandangan saya, ciptaan makhluk asing sangat klise untuk kisah Si-Fi. Membazirkan teknologi CGI saja. Oh ya, seperti biasa, Shyamalan tidak lari daripada imejan-imejan kelabu dan suramnya dalam sesebuah filem.

Watak Senshi , saya lihat, wujud sebagai alasan untuk Kitai menjadi seorang renjer dalam misi menghapuskan Ursa. Saya katakan 'alasan', kerana kematiannya tidak dinampakkan sebagai satu sebab yang kukuh untuk Kitai menjadi matang sebagai seorang lelaki. Filem ini boleh berdiri sendiri tanpa Senshi. Paling kelakar, dalam mimpi Kitai sewaktu hanyut di atas rakit, Senshi datang 'mengejutkannya' dan apabila Kitai berdegil, Senshi sekali lagi 'mengejutkan' Kitai dengan wajah hantu. Ini saya gelak. Persis cerita hantu Thailand, tiba-tiba saja buruk, itu yang saya bisikkan kepada suami.

Emosi bapa-anak antara Kitai dan Raige juga tidak ditonjolkan dengan berkesan. Saya fikir, ini bukan salah anak-beranak Smith kerana saya pernah menonton filem lakonan mereka berdua dalam filem Pursuit of Happyness, memang bezanya total. Raige dengan wajah 'hati kering' tidak memberi impak emosi kepada penonton yang biasanya diletakkan dalam jiwa dan harapan seorang bapa kepada anaknya. Kalau pun mahu mengajar anak, cara 'bertuan-berkadet' memang tidak sesuai. Ia bukan sahaja meletakkan jarak antara Kitai dan bapanya, malah secara tidak langsung, memberi jarak juga kepada penonton dengan watak-watak yang berkonflik ini yakni, penonton tidak terkesan dengan watak-watak tersebut. Di sinilah sebab-musabab mengapa Senshi tidak diperlukan. Emosi yang harus dibawa dalam filem ini adalah emosi seorang anak lelaki yang mahu membuktikan sesuatu kepada ayahnya. Sayang seribu kali sayang, hubungan ini tidak diletakkan sepenuhnya dalam filem ini.

Pengakhiran filem tidak memberi impak apa-apa untuk seorang manusia yang seharusnya ada motivasi dalam diri. Raige selamat. Kitai, selamat dan, dialognya paling membunuh semangat "I wanna work with mum". I was like, what?I wanna work with WHO? After everything happened, you sell your man just like that? Oh my God! Okey, ibunya lakonan Sophie Okonedo merupakan seorang pekerja di bahagian turbin dan tidak mengalami apa-apa cabaran bencana sehebat bekerja dalam operasi. Siap boleh pakai gaun ala-ala bridesmaid, untuk pergi kerja. Filem KIL yang nak bunuh diri pun boleh bagi semangat nak teruskan hidup di hujung cerita, cerita Si-Fi yang nampak hebat dalam trailer ini 'melembikkan' seorang remaja lelaki yang kononnya sudah bertemu kematangan selepas misinya di bumi? Ini sangat menyakitkan hati saya sebagai seorang penonton. 

Jadi, apa yang cuba nak disampaikan dalam filem ini? Saya keluar panggung, lalala, macam tak tengok wayang pun sebelumnya. Saya tak pasti, berapa lama cerita ini diperam untuk dikaji atau disunting sebelum melalui proses penggambaran. Saya cuma pasti, filem ini sebenarnya boleh pergi lebih jauh kerana ideanya cukup cantik. Ya, saya tertawan dengan ideanya. Malah, ketika seekor burung hering yang cuba membalas jasa Kitai juga merupakan suatu perlambangan bahawa bumi ini sebenarnya memang diciptakan dengan rasa kasih dan sayang. Hanya manusia yang suka memusnahkan tempat tinggalnya sendiri. Ini juga idea yang cantik

Ada satu dialog juga yang lekat dihati dalam filem ini iaitu kata-kata Raige sebagai dongeng sebelum tidur untuk Kitai :


The danger is real. 
But the fear is a choice...

Dialog di atas dilihat (kononnya) sebagai motivasi (yang sebenarnya boleh ambil daripada poster pun), tetapi tak ke mana. Cuma saya keluarkan dialog ini kerana mahu atau tidak, apa yang dikatakan Raige itu betul dan harus saya akuinya.

Filem ini saya kategorikan sebagai BOLEHLAH KALAU NAK TONTON. Hanya atas tiket ideanya yang cantik tetapi tidak kesampaian dalam filem. 

After Earth. Cerita yang boleh dipuji dari segi idea. Tetapi dari sudut wayang gambar, minta ampun, M. Night Shyamalan gagal lagi. 


Tuesday, June 4, 2013

KIL : EROS, THANATOS DAN PSIKO-MOTIVASI


Terima kasih Encik Google


Saya tepuk tangan dan menghela nafas lepas-lepas usai menonton filem KIL arahan Nik Amir Mustapha. Itu perkara wajib yang biasa berlaku apabila saya berpuas hati dengan sesebuah filem. Dan, apa yang ditulis di bawah ini, semuanya menurut selera peribadi.

Minit-minit awal dalam filem KIL sudah menonjolkan premis ceritanya. Saya suka pengenalannya kerana ia ringkas dan padat. Memperkenalkan watak dan tujuan hidup watak yang terus menampakkan konflik. Tiada perkataan langsung yang terbit dari mulut watak utamanya yang dijayakan dengan cemerlang oleh Redza Minhat. Tetapi penonton mampu mengerti dengan mudah kerana saya terdengar beberapa suara di dalam panggung yang berbunyi "Oooo... Dia nak bunuh diri." Inilah wayang gambar yang sebenar pada pandangan saya.

Minit-minit awal itu memunculkan Thanatos atau kecenderungan ke arah kematian yang dipercayai oleh Sigmund Freud sebagai suatu kuasa libido yang ada di dalam diri seseorang manusia. Thananatos merupakan gabungan kata Thana (gerak) dan Natos (mati). Maka, kisah ini bergerak melalui watak Akil yang memiliki 'gerak mati' ini sehingga sanggup mengupah sebuah syarikat yang bernama Living Action Bureau atau LAB untuk membunuhnya. Namanya, LAB, saya fahamkan sendiri bahawa hidup ini sebenarnya sebuah makmal. Kita bereksperimen dan dieksperimenkan setiap hari.

Mainan psikologi yang diperankan oleh Redza Minhat sangat berkesan. Wajahnya yang sepi, kesesalan, emosi yang kurang stabil dimunculkan semulajadi pada riak wajah Redza berikutan rasa bersalahnya terhadap ibu dan adiknya yang telah mati akibat kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian Akil ketika memandu. Thanatos juga ada dalam diri beberapa individu yang lain dalam KIL seperti seorang remaja perempuan yang putus cinta, seorang pengarah yang kehilangan isteri dan anak juga seorang lelaki yang entah kenapa mahu mati. Mungkin putus cinta juga.

Kemunculan Zara, lakonan Christina Suzanne, mengubah segala-galanya. Di sini, Thanatos sudah bertembung Destrudo, iaitu unsur libido yang mudah bertolak-ansur menurut Freud. Lalu, berlakulah bibit-bibit cinta yang sederhana tetapi berkesan di jiwa penonton kerana saya terdengar ada antara penonton dalam panggung berbisik-bisik dengan rakan-rakan "Comelnya 'diorang'..." Namun, Zara juga ditampilkan dengan sifat misteri. Gambar, lilin, dan beg tangan milik Zara memberi persepsi awal bahawa Zara sebenarnya bekerja dengan LAB dan ditugaskan untuk membunuh Akil. 

Destrudo perlahan-lahan mengambil alih watak Akil sehingga Akil berubah fikiran. Dia ingin membatalkan kontrak dengan LAB yang sudah ditugaskan untuk membunuhnya. Tetapi, terma dan syarat LAB tidak mengizinkan kontrak itu dibatalkan. Maka, mahu atau tidak, Akil harus menerima hakikat bahawa dia akan mati dibunuh atau ditermakan oleh perunding LAB, Encik Harun (Harun Salim Bachik) sebagai euthanasia.
Penonton-penonton di belakang saya bertanya sesama mereka, "Boleh ke?" Sekadar pengetahuan saya, euthanasia adalah perbuatan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang di Malaysia apatah lagi di sisi agama Islam kerana mengambil nyawa seseorang bukanlah hak manusia ke atas manusia jika tidak menepati hukum-hukum agama yang menghalalkan darah seorang manusia di tangan seorang manusia. Jika maklumat perundangan saya silap, harap ada yang menegur kerana saya menyatakannya setakat mana ilmu yang (tak habis) saya kutip sewaktu menjadi pelajar undang-undang suatu masa dahulu.

Saya suka susunan plot dalam filem ini. Ia memberi persoalan dan jawapan dengan cara yang mudah tetapi bijak kerana ada twist yang ringan, sesuai untuk penonton-penonton muda yang tidak mahukan cerita yang berat. Sebagai contoh, perbualan Akil dengan ibunya memberitahu penonton bahawa Akil mempunyai seorang ibu dan adik lelaki yang tinggal serumah dengannya tetapi jarang pulang. Akil juga sudah lama tidak pulang ke kampung. Kemudian, Akil menegur adiknya di dalam bilik tidur dan seterusnya, penonton mendapat jawapan bahawa adiknya sebenarnya tidak wujud secara hakiki tetapi secara khayali kerana adiknya itu sudah pun meninggal dunia. Kalau mahu bikin kisah ringan dan bijak, KIL menepati selera peribadi saya.

Saya  sebagai penonton, memiliki harapan sendiri terhadap KIL sebenarnya. Saya mengharapkan kematian yang diwara-warakan di dalam filem ini sebenarnya suatu permainan untuk memberi kehidupan kepada Akil. Tanggapan saya terhadap Akil di akhir kisah tidak pula saya letakkan sama ada hidup atau mati. Terpulang. Cuma kalau Akil mati, biarlah dia mati dengan berdarjat. Namun, dalam masa yang sama, saya juga sangat mengharapkan bahawa kematian itu hanya suatu taktik permainan motivasi. Saya gembira kerana harapan saya untuk melihat KIL sebagai sebuah filem psiko-motivasi telah dipenuhi. --- Saya tak kira orang nak cakap apa, saya nak juga klasifikasikan KIL sebagai psiko-motivasi.

LAB merupakan sebuah syarikat yang memberi kehidupan baru kepada manusia yang tidak lagi ingin hidup. Ahli-ahlinya merupakan insan-insan yang dikatakan Encik Harun sebagai orang-orang yang memiliki passion to live. Ghairah terhadap hidup dan kehidupan. Nah, Eros telah menarik picu pistol untuk memberi gerakan ke arah kehidupan. Encik Halim datang ke rumah Akil dan menggunakan pistol permainan untuk membunuhnya. Okey, ini assault kalau ikut undang-undang Tort. Walaupun kita menggunakan pistol mainan, apabila mangsa berasa takut, itu sudah dikira sebagai gangguan dan tukang acu pistol mainan itu boleh didakwa di mahkamah. Malaysia jangan cerita. Tak ramai yang tahu tentang hal ini. Kalau tahu pun, ia mungkin 'diperelehkan' kerana tampak mudah.

Pengakhiran yang gembira dan comel (lagi). Eros sebagai 'gerak hidup' mengambil alih keadaan dan menabur kasih yang jelas setelah Thanatos diundurkan oleh Destrudo. Menariknya dalam KIL, Thanatos muncul melalui perpisahan-perpisahan cinta yang berlaku kepada watak-watak yang ingin bunuh diri. Akil, menemukan cinta Zara dalam hidupnya. Dan, apa lagi yang menggerakkan hidup kalau tidak cinta?

Okey, cukuplah menikmati selera peribadi saya. Sesiapa yang belum tonton KIL, filem ini masih ditayangkan di pawagam dan ingat, hayat filem di Malaysia dalam pawagam, cuma seminggu.


* Dalam hidup, cuma satu DVD filem Melayu yang aku beli original --- BUNOHAN. KIL akan jadi yang kedua.

Monday, June 3, 2013

PASU DARIPADA SAHARIL HASRIN SANIN


Sibuk lagi. Memanglah dunia ini banyak kesibukannya. Kali ini saya sibuk menulis. Kerja yang sangat menyenangkan hati.

Ya, saya sibuk lagi. Jadi saya terfikir untuk kongsikan ini:


PASU
Saharil Hasrin Sanin

Emak apa khabar sekarang? Lama betul adik tak jumpa emak. Ayah sudah bertahun-tahun masuk penjara. Mereka akan gantung dia esok. Ayah kata dia tak sengaja, kadang-kadang dia ikut hati, dia ingat dia pukul tak kuat. Tak tahulah pasu boleh pecah, tak tahu nak jadi macam ni. Ayah minta maaf, dia menyesal. Dia sayang pada emak. Adik harap marah emak sudah reda sebab, sebenarnya adik sudah bersetuju mereka tanam ayah sebelah emak nanti.

LAGI CERPEN-CERPEN UNDERGROUND
SAHARIL HASRIN SANIN
FAISAL TEHRANI
2002 





* Saya terbatu seketika membaca pengakhiran kisahnya. Dan terima kasih Encik Google untuk gambarnya. Saya mengalami kemalasan nak tangkap gambar buku saya. Jangan tiru kemalasan ini.