MASA untuk kemaskini blog agak terhad kini. Sibuk. Dunia memang selalu menyibukkan kita. Tidak kiralah siapa kita, apa jawatan kita, atau bagaimana taraf hidup kita. Apa-apapun saya selalu berfikir, apakah yang ingin saya kongsi di blog ini. Ya, saham akhirat pun boleh dicari dengan berblog kalau mahu. Jadi, saya teringatkan sesuatu ilmu yang saya dapat secara tak langsung dari seorang sahabat sewaktu di UIA. Betapa benar kalau kita berkawan dengan orang yang berilmu, sedikit pun kita akan mendapat cahaya ilmunya itu.
Sewaktu di UIA, sahabat saya dari jurusan Islamic Revealed Knowledge (Jurusan Ilmu Wahyu) pernah menyampaikan pesanan pensyarahnya di kuliah. Kami berdua sedang berehat-rehat di biliknya waktu itu dan pesanan yang dikongsi beliau lima tahun lalu itu saya ingat sampai sekarang dan saya ingin kongsikan pula kepada semua yang sudah berkahwin dan bakal berkahwin.
GERBANG CINTA - Sayidah Mu'izzah - AKRILIK DI ATS KANVAS - 2010 |
"Dalam rumahtangga, akan ada hari yang mana kita akan rasa sangat menyampah dengan pasangan kita.
Hanya agama sahaja menjadi penyelamatnya."
Setiap hari, adalah hari memeriksa diri sendiri.
Di manakah kita? Apakah kita? Siapakah kita?
Apatah lagi setelah berumahtangga dan hidup berdua dalam alam cinta yang sebenar. Masing-masing harus berganding bahu menakhodai sebuah bahtera ke beberapa destinasi persinggahan sebelum tiba di pelabuhan abadi. Mungkin pelabuhan abadi itu sudah hampir. Mungkin masih, jaraknya 20 tahun lagi pelayaran. Lalu, sepanjang pelayaran itulah, dekat atau jauh, kita dan pasangan akan sentiasa harus berganding bahu melihat arah tuju
bahtera itu. Kita akan bergaduh, bertekak, bermesra, bergurau, bersaing dengan pasangan pelayaran kita. Kita juga akan ada rasa suka, duka, gembira, sedih, kecewa, terharu dengan pasangan kita itu.
Maka, ia memerlukan lebih pemeriksaan diri masing-masing kerana cinta ini, dalam alam rumahtangga, sentiasa dan sangat menuntut kesabaran yang teguh. Kerana cinta dalam rumahtangga adalah sebuah realiti yang bukan manis sahaja yang harus diterima seperti halnya bertekak dan bergurau itu.
Maka, untuk memastikan kesabaran itu, agama Allah lah jawapannya.
--- Semoga sahabat saya itu memperoleh pahala yang besar atas perkongsiannya, juga mendapat kehidupan yang baik dan diredai Allah. Amin ya Rabb!