Monday, May 5, 2014

OLIVIA BINFIELD : TAK PERNAH TERLIHAT DI MALAYSIA

Aku 'terjumpa' Olivia Binfield secara tidak sengaja. Sejak awal tahun ini, selain mengikuti hasil-hasil seni di Instagram aku terlalu gemar melihat prodigi baru di Youtube terutamanya kanak-kanak. Dan di Youtube, aku kenal Olivia yang berumur 7 tahun. Beliau membaca puisi yang ditulis sendiri dalam rancangan Britain's Got Talent, berjudul Endangered Animal dan di lehernya terbelit seekor ular yang gemuk dan besar , bernama Lucy.

Aku tepuk tangan seorang diri mendengar mesej yang disampaikan oleh si kecil ini. Puisinya penuh mesej yang pintar dan global. Sinikal dan dekat sekali dengan realiti. Juga jarang sekali disedari oleh anak-anak seusianya di Malaysia. Bahkan orang dewasa juga masih ada yang menulis puisi yang tidak universal, syok sendiri, dan hanya dia sahaja yang faham. Tidak pernah aku lihat atau dengar kanak-kanak seusia ini di Malaysia membaca puisi yang sebegitu; dikarang sendiri dengan pemikiran yang matang dan dipuisikan dengan berkesan. Aku terfikir, mungkin juga ibu atau bapanya yang membantu Olivia menulis puisi sebagus itu. Aku tepuk tangan sekali lagi. Jika benar, ternyata ibu dan bapanya sangat mengenali potensi Olivia. Tidak ada salahnya jika Olivia dibantu. Memang kanak-kanak, bakatnya memerlukan bantuan dan sokongan ibu dan bapa.

Berbeza sekali jika di Malaysia,kebanyakan ibu bapa tidak menyokong anak-anak yang mahu menulis puisi. Apatah lagi kalau anak-anak yang memilih ke bidang sastera itu memang dianggap pelajar kelas bawahan. Pelajar kelas atasan adalah pelajar kelas sains. Minta maaf, itu perangai dungu di Malaysia yang entah bila akan dibebat.

Aku terus teringat akan sekumpulan anak-anak kecil di National Gallery lewat kembaraku di Kota London. Mereka serombongan menghadap lukisan pelukis-pelukis terkenal dunia di sana sambil mendengar dengan khusyuk sekali penerangan tentang lukisan tersebut. Serius, aku yang berdiri tidak jauh dari mereka terpempan seketika melihat keadaan itu. Dan aku terus rasa malu apabila memikirkan keadaan di Malaysia.

Olivia Binfield, meskipun bukan asalnya dari tanah airku, aku bangga melihatnya. Namun sejauh mana pula aku mampu berbangga kerana beliau bukan rakyatku sendiri. Malah yang dipuisikan itu bukan bahasa kebangsaanku. Dan sejauh mana pula aku dapat berasa kagum kerana dalam masa yang sama aku terpaksa menghadap kekeliruan bangsa sendiri dalam meletakkan sastera yang memiliki seluruh jati diri.

Kini Olivia berusia 10 tahun, mengikut kiraan aku. Masih menulis puisi. Dan masih memperjuangkan apa yang dipercayainya. Perjuangannya global dan rohaniah (kerana jarang yang sedar, bahawa mengasihani binatang juga adalah sebahagian daripada amanah oleh Tuhan. Ingat rukuk sujud atas sejadah saja amanah Tuhan?). 

Olivia, di tangannya ada perjuangan. Semoga terus berkilauan sinarnya.





*Olivia Binfield juga memiliki sebuah laman sesawang yang menyiarkan puisi-puisinya. 
Boleh klik di sini Olivia Binfield