Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Wednesday, February 26, 2014

POMPEII : SELAKNAT-LAKNAT MANUSIA

Pompeii agak menarik apabila difikir-fikirkan kembali selepas sedikit hampa menontonnya malam kelmarin. Seperti biasa, aku tidak akan persoalkan sinematografi kerana seperti yang aku katakan, cerita adalah nombor satu dan cerita yang akan tentukan sinematografi itu akan menjadi apa untuk difilemkan. Akan ada orang yang tidak setuju. Aku tahu dan pasti kerana itu perkara yang biasa. Terpulang. Tak ada salah
benarnya dan aku hormati hal itu. Apapun cerita dan sinematografi adalah dua benda yang tidak boleh dipisahkan. Kalau digaduhkan pun, kedua-duanya masih perlu untuk sesebuah filem.

Persoalan pertama yang ada dalam kepala ketika menonton Pompeii adalah "Kenapa wira ini dilukis sebegitu gagah tetapi masih diperhambakan dan dia rela?". Aku fikir itu tidak relevan untuk watak Milo atau The Celt lakonan Kit Harington yang sasa dan kacak. Dia boleh sahaja membunuh seluruh tentera yang ada untuk bebas seperti yang dilakukan kemudiannya. Ini sesuatu yang bagus untuk sebuah filem kerana inilah gam di kerusi penonton. Sesuatu yang bahaya juga jika ada penonton yang berasa jengkel dengan perwatakan sebegitu. 20 minit yang pertama bagaikan fungsi slide show power point. Laju dan terus kepada pokoknya yang akan diperjelaskan pada minit kedua dan ketiga.

Pompeii dibina dengan beberapa kata kunci yakni politik dan hak asasi manusia. Maka wujudlah Pompeii di tangan Paul W.S. Anderson yang masih mengekal ciri-ciri social chaos seperti yang yang berlaku dalam karyanya, Resident Evil dan Death Race. Kekalutan sosial dimulakan dengan politik yang kalut apabila permulaan kisah (selepas pembukaannya dengan imej manusia batu yang bergelimpangan dan kata-kata yang lara) adalah penghapusan bangsa. Puak Celtic yang dianggap sebagai minoriti pemberontak dihapus sama sekali dari muka bumi. Hanya Milo, yang masih kecil, selamat atas kebijaksanaannya sendiri (atau kebodohan askar-askar pemerintah). Milo menyaksikan mayat ibu dan bapanya bergantungan di pokok. Pada matanya ada suatu rasa yang berbaur; dendam dan sedih. Milo meninggalkan seluruh mayat puak Celtic tetapi kemudiannya ditangkap, dibesarkan sebagai hamba (yang gagah kerana dapat menumpaskan 4 orang lawan yang sasa dengan sekali harung) dan dibawa ke Pompeii. Maka persoalan tentang perwatakan berlegar dalam kepala.

Di Pompeii, Milo berkenalan dengan seorang hamba juga seorang gladiator bernama Atticus (Adewale Akinnuoye-Agbaje). Senator Corvus (Kiefer Sutherland) dari Rome yang bersifat syaitan datang ke Pompeii, cuba untuk bermain politik dengan berkahwin dengan Cassia (Emily Browning). Maka, ditonjolkan keadaan para pembesar yang gemar berhibur, berfoya-foya dan licik. Atticus dan Milo dibawa ke parti, dan terpaksa berdiri untuk 'diperhatikan'. Ini adalah sexual innuendo yang cukup menggambarkan selera seks golongan status quo tersebut. Perhambaan di Pompeii merangkumi segala perhambaan manusia baik dari segi tenaga, seks, malah nyawa kerana pada hari seterusnya, Atticus dan Milo akan berlawan di arena untuk pertarungan kalah mati. Lenyaplah segala maruah yang ada pada diri seorang manusia di Pompeii.

Dalam pada kebobrokan sosial itu, gunung berapi yang lama diam kembali meletuskan asap-asap kecil di lohong lavanya. Pada hari pertarungan di arena, perlawanan bertukar menjadi suatu pembunuhan hamba tetapi dimenangi oleh Atticus dan Milo yang bekerjasama apabila Atticus yang dijanjikan kemerdekaan sekiranya menang, menyedari bahawa kerajaan Rome memang munafik. Dan, pada hari tersebutlah, setelah Milo mematahkan tongkat kebesaran Rome, meludahnya, dan dia dijatuhkan hukuman bunuh, gunung berapi yang diam itu menghamburkan lava dari kawahnya. 

Keterkaitan yang cantik antara Milo dan gunung berapi adalah kedua-duanya berperwatakan senyap, kemudian meletus dan akhirnya meletup. Inilah sebab kenapa cerita harus didahulukan berbanding sinematografi. Cerita akan menentukan mise-en-scene dan membawa kepada sinematografi yang bagus kalau pembikinnya mahir tentang mise-en-scene, berdasarkan simbol dan semiotik yang ada dalam cerita. Milo dan gunung berapi pula menggambarkan gejolak jiwa golongan minoriti yang sering disalahsangkakan (Milo dipanggil sebagai 'binatang buas' sedangkan dia tidak begitu. Dia hanya seorang lelaki kacak yang gagah) dan diperhambakan (Pompeii mengeksploitasi tanah tempat tegaknya gunung berapi). Ini menjadikan perwatakannya relevan dilukis sebegitu.


Sebuah kerajaan yang korup seperti Rome dan Pompeii, menafikan kebebasan seluruh rakyat dengan mengeksploit mereka secukupnya, menyalah anggap golongan minoriti (Oh ya, Corvus tidak senang dengan jelingan rakyat Pompeii ketika melalui pasar dan Severus menyatakan bahawa rakyatnya adalah golongan minoriti yang berontak kerana rancangan kerjasama mereka) seharusnya tidak wujud langsung di muka bumi ini. Lalu, di akhir cerita, Pompeii musnah sama sekali oleh lava yang menggelegak. Tiada yang hidup di Pompeii termasuklah Milo dan Cassia, hero dan heroinnya. Hatta manusia yang cuba lari melalui pelabuhan pun ditolak oleh tsunami kembali ke Pompeii dan mati. Yang terlepas hanyalah seekor kuda putih yang comot milik Cassia. Inilah selaknat-laknat bangsa manusia yang tarafnya lebih hina daripada seekor kuda yang terkadang 'histeria' dengan gempa bumi yang sesekali menggegar sebagai suatu ingatan balasan bencana.

Babak ketika Milo ingin melepaskan Cassia sendirian dengan kudanya kerana kuda itu tidak mampu menampung berat dua orang manusia cukup mengingatkan aku kepada Jack dan Rose dalam filem Titanic ketika sekeping papan tidak mampu menampung berat mereka berdua. Malah filem Titanic juga adalah sebuah kritikan sosial. Apa yang berlaku dalam Pompeii adalah 'keadilan' kerana Milo dan Cassia mati bersama-sama ditenggelami lava sebaliknya dalam Titanic, hanya Jack yang mati dan tenggelam ke dasar laut lalu meninggalkan Rose bersendirian.

Status quo atau minoriti, di Pompeii, kematian mereka secara fizikal adalah sama tetapi secara rohaninya, golongan hamba mati dengan kemerdekaan yang penuh sedangkan pemerintah yang korup mati dengan penuh kehinaan. Cukup jelas dengan kematian Cassia dan Milo yang digambarkan penuh cinta, Atticus yang mati dengan berdarjat jika dibandingkan dengan kematian Corvus yang merayu agar tidak digari pada kereta kuda dan Proculus (Sasha Roiz) yang terpaksa merayu agar Atticus tidak membunuhnya. Corvus dan Proculus sebenarnya mati sebagai hamba.

Politik yang kalut dan kotor, kemabukan pemerintah yang perasan lebih berkuasa daripada Tuhan, juga hak manusia yang dicipta Tuhan sebagai makhluk yang merdeka memunculkan Pompeii, meskipun tidaklah begitu menarik di layar, memiliki sebuah cerita yang sebenarnya hebat.


PENGARAH: Paul W.S. Anderson.
LAKON LAYAR: Janet Scott Batchler, Lee Batchler, Paul W.S. Anderson, Michael Robert Johnson.
PELAKON: Kit Harington, Emily Browning, Adewale Akinnouye-Agbaje, Kiefer Sutherland, Jared Harris,
Carrie Anne-Moss, Jessica Lucas, Sasha Roiz.

Thursday, January 16, 2014

THE SECRET LIFE OF WALTER MITTY: RAHASIA PALING SENYAP

Seperti biasa, aku tidak akan sentuh tentang sinematografi. Itu teknik. Di Malaysia, dalam industri filem, orang mendahulukan teknik berbanding falsafah ataupun hikmah dan aku tidak mahu terjebak meskipun tanpa sinematografi, apalah ertinya juga sebuah filem.

Aku lebih mencintai subteks dan simbol yang bergerak dalam sesebuah filem. Dan bagi aku, filem harus seperti Sudoku. Mencabar teknik sekaligus mencabar minda. Skills and brain. Kedua-duanya harus saling melengkapi.

The Secret Life of Walter Mitty, cerita yang ringkas tetapi masih menjadikan aku sebagai seorang penonton yang harus membawa otak ke dalam panggung. Sinematografinya, secara ringkas, kerana aku tak mahu terjebak, aku petik sahaja kata-kata Sean O'Connell (Sean Penn) , kurang lebih : Benda yang cantik, tidak perlu untuk cuba menarik perhatian.

Walter Mitty (Ben Stiller) , meletakkan seorang lelaki yang sedikit berusia dengan mimpi-mimpinya. Berangan, kata orang kita. Dream, kata orang putih. Mimpi, secara terusnya. Setiap manusia pasti memiliki mimpi, sama ada mahu menafikan atau mengiyakan, yeah, kita semua hidup di dalam mimpi. Masa itu seperti mimpi. Semalam seperti mimpi. Sekarang juga seperti mimpi yang dengan penuh kesedaran, untuk hari esok, ia tidak lagi wujud. Dan hari esok juga adalah mimpi. Tulat dan masa depan, apatah lagi. Lalu, itu manusia yang bernama Walter Mitty, bermimpi dan bermimpi. Segala-galanya hebat dan terkadang tak terjangkau dek akal.

Filem ini memiliki asas psikologi yang cantik. Mimpi tentang cinta menjadi pembukaan kisah hidup Mitty di mata kita. Memang manusia lahir atas dasar cinta. Cinta yang suci. Cinta yang palsu. Cinta yang ragu-ragu. Itulah asas hidup. Mitty lahir dengan cinta yang ragu-ragu.  Dia ragu-ragu untu mendapatkan cinta Cheryl (Kristen Wiig), lalu mencintai perempuan itu dari jauh dan cuba mendapatkannya juga dari jauh yakni menerusi agen pencari jodoh di internet. Itu premis cerita ini. Dia ingin mendapatkan cinta dalam hidup.

Realiti bagi Mitty hanya kerjanya yang memproses gambar-gambar yang dibidik oleh Sean O'Connell sebagai sampul majalah LIFE. Aku merasakan sesuatu tentang kerja Mitty kerana Mitty adalah orang yang bertanggungjawab untuk membawa karya-karya Sean ke muka masyarakat. Oleh itu, kerjanya harus hati-hati dan teliti. Dalam bidang perbukuan, aku fikir tanggungjawab sebagai seorang editor adalah 'menjaga' karya sehingga selamat tiba kepada masyarakat. Itu yang aku rasa sebagai seorang penulis bebas dan editor majalah LEGASI. Tangan editor mampu melindung dan membinasakan karya orang lain.

Mitty tidak pernah melepaskan mimpi. Mimpinya selalu bersama-sama Cheryl dan selalu dibangunkan dengan penuh kehebatan. Mimpi itu akhirnya perlahan-lahan sampai di tangan Tuhan melalui negatif filem bernombor 25 yang dikirimkan oleh Sean. Mitty kehilangan negatif filem tersebut dan negatif itu merupakan penentuan sama ada dia masih bekerja di syarikat yang menerbitkan majalah LIFE ataupun dipecat. Hal ini demikian kerana, Sean, menerusi telegramnya mengatakan bahawa negatif itu merupakan mahakaryanya untuk sampul majalah LIFE terbitan terakhir sementelah majalah tersebut akan ditukarkan daripada buku yang sebenar kepada buku atas talian. Tetapi, yang dikirim Sean adalah negatif lain dan sebuah dompet. Akibat daripada pertukaran itu, ramai pekerja di pelbagai jabatan yang mengusahakan majalah LIFE, bakal dipecat. Ini kehidupan semasa. Zaman sedang cuba untu menjadikan e-book sebagai suatu kegilaan.Teknologi bakal mengganti manusia. Atau sebenarnya teknologi memang sudah menggantikan manusia. Kita boleh melihat kegilaan USA dan Jepun mengusahakan robot seks yang di luar fitrah itu. Kehidupan kemanusiaan telah berubah menjadi parah dan semakin tidak dihargai. Subteks ini untuk sebuah kehidupan adalah sangat cantik.

Mitty kemudiannya terpaksa 'keluar' mencari Sean untuk mendapatkan Negatif 25. Sean seorang jurugambar nomad. Alamatnya tidak tetap. Identitinya sangat misteri. Oleh sebab itu, Mitty akhirnya memiliki alasan untuk mendekati Cheryl kerana terpaksa mendapatkan bantuan Cheryl bagi menjejaki Sean. Mitty tidak lagi jauh daripada Cheryl. Tanpa dia sedar, Tuhan mula mengabulkan mimpinya.


Beberapa keping gambar yang dicuci oleh Mitty daripada negatif filem yang dikirim oleh Sean, menjadi petunjuk. Negatif 25 dan Sean O' Connell memaksa Mitty untuk ke Greenland dan Iceland, tempat-tempat yang tidak pernah dikunjunginya. Malah tempat-tempat itu mengembalikan diri Mitty yang sebenarnya yakni, sewaktu muda, Mitty seorang skaterboy yang sangat berbakat dan menjuarai beberapa kejohanan. The truth is, he's a rugged man. Mitty merentas laut dan melawan jerung. Mendaki gunung dan menuruni lembah. Mengharung salji dan liar kehidupan luar daripada normalnya. Berbeza dengan karakternya sebelum keluar dari Los Angeles. Namun, kesusahan itu tidak membawa Mitty kepada Sean secara berdepan. Lalu, lewat SMS teman pejabat yang bakal dipecat jika pengarahnya tidak menemui Mitty memaksa Mitty untuk pulang ke LA.

Kepulangannya mendatangkan kekecewaan. Mitty dipecat kerana gagal memproses negatif 25. Kekecewaan berganda apabila Mitty mendapati bekas suami Cheryl ada di rumah wanita itu. Dan, kekecewannya juga adalah disebabkan oleh kegagalan menemui Sean. Kekecewaan itu membuatkan Mitty membuang dompet yang dihadiahkan oleh Sean ke dalam tong sampah. Dia kemudiannya duduk meneliti sekeping gambar dan tiba-tiba, dia mendapati imej gambar yang dikirim Sean itu menyamai imej gurisan yang terdapat pada piano peninggalan mendiang bapanya. Cantik! Piano yang sewal cerita diusung ke hulu ke hilir memberi fungsinya yang mantap. Inilah yang dikatakan sebagai the Ordeal! Tiada pembaziran dan ia membawa Mitty kembali kepada usaha menyelesaikan misteri tentang Sean dan negatif 25.

Mitty terbang ke Afghanistan dan merentas Banjaran Himalaya dan menemui Sean di sana. Malang sekali apabila Sean memberitahu bahawa negatif 25 itu berada di dalam dompet pemberiannya yang telah dibuang oleh Mitty. Mitty, sekali lagi, pulang ke LA tanpa negatif 25.

Piano yang bukan sekadar prop terpaksa dijual kerana masalah kewangan keluarga. Dan, tadaaa! Ibu Mitty yang prihatin telah mengutip dompet pemberian Sean daripada tong sampah. Suatu elemen suspen diterapkan dengan kreatif dan berkesan. Mitty telah menyerahkan negatif 25 untuk majalah LIFE isu terakhir tanpa melihat imejnya. Aku jadi tertunggu-tunggu, bimbang dan tertanya-tanya apakah memang aku tidak akan dapat melihat imej tersebut?

Mitty kemudiannya ke pejabat LIFE sekali lagi untuk menguruskan hal pemecatannya dan dia terserempak dengan Cheryl dan perempuan itu menerangkan bahawa dia dan bekas suaminya tidak akan berbaik semula. Mitty dan Cheryl mula berjalan menuju ke pusat bandar. Hari itu adalah hari majalah LIFE terbitan terakhir dipasarkan. Aku mula teruja untuk melihat mahakarya Sean O' Connor. Bravo! Mahakaryanya adalah gambar Mitty yang sedang meneliti gambar-gambar yang telah dibidik oleh Sean. Mitty sebagai seorang manusia adalah sebuah mahakarya.

Mahakarya Tuhan adalah manusia. Manusia dicipta untuk hidup. Dan untuk hidup, rahsianya adalah mimpi. Dengan mimpi, kita mengembara ke setiap pelosok kehebatan diri yang mahu kita lakukan dan menjadikannya tidak hanya terpendam sebagai keinginan tetapi turut berombak dalam fikiran. Lalu mimpi menjadi zahir sehingga kita rasakan ianya masih mimpi setelah kita melaksanakannya. Kita selalu fikir, kita tidak mampu sedangkan kemampuan kita terkadang hanya tidak menyentuh rasa yakin diri malah melebihi kepercayaan sendiri. Dan, selalu kita tidak sedar. Mimpi adalah doa paling senyap. Diam-diam, ia pergi kepada Tuhan. Kadang-kadang, yang tak terjangkau di fikiran pun mampu makbul sebagai kenyataan.

Mitty adalah mahakarya. Kita?
Versi 1947


PENGARAH: Ben Stiller
LAKON LAYAR: Steve Conrad
PELAKON: Ben Stiller, Kristen Wiig, Shirley Maclaine, Adam Scott, Katherine Hahn, Sean Penn.
ADAPTASI: The Secret Life of Walter Mitty oleh James Thurber (1939)

Wednesday, December 18, 2013

KOLUMPO: MINI NARATIF YANG BRAVO!

Aku beritahu Sherry al-Hadad "Kak Sherry. Saya dah tonton Kolumpo! Saya suka!"

Dia gelak kemudian membalas " Oh, jangan percaya itu ya. Lakonan semata-mata. Jangan terpengaruh."

Ya, aku suka Kolumpo. Filem-filem pendek yang berpadu di bawah jenama Kolumpo ini memang merangsang fikiran. Itu perkara pertama yang aku kesan. Sebelum jauh aku menaip, aku harus minta maaf kerana aku lupa tajuk ketiga-tiga filem tersebut kerana aku ke panggung untuk filem itu sebagai seorang penonton. Bukan seperti sebelumnya aku ke panggung untuk bertugas menulis ulasan. Aku memang berniat untuk ke sana sebagai seorang penonton tanpa perlu mencatat dalam gelap.

Filem PERTAMA, arahan Bront Palare, bermula dengan ketibaan Rahul (Azad Jazmin) dari India di KLIA. Kemudiannya, Rahul bertemu dengan seorang pemandu 'teksi' (Sabri Yunus) yang menipu wangnya sebanyak RM250 setelah mereka tiba di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Aku suka dialog Sabri Yunus "...after this you can see building-building-building sebuilding-buildingnya." Sinis! Aku suka dengan kesinisan itu walaupun aku benci betul dengan watak tersebut kerana sampai hati menipu manusia yang naif sungguh air mukanya. Jadi, aku kira Sabri Yunus berjaya dengan watak tersebut.

Malang bertimpa-timpa, Rahul yang datang secara halal, menjadi pendatang haram apabila syarikat yang kononnya menawarkan pekerjaan telah ditutup, ditipu oleh seorang tauke kedai mamak, dirampas pasportnya, dipotong upahnya sehingga tiada upah langsung dan disumbat pula ke dalam sebuah rumah yang tersangat sempit dan daif bersama-sama pendatang-pendatang lain yang hampir 20 orang kesemuanya. Aku suka lukisan wajah-wajah pendatang pada kentang yang menjadi makanan mereka sehari-hari. Aku sedih dan rasa berdosa apabila melihat pendatang-pendatang itu makan nasi putih berlaukkan kari dan kentang semata-mata. Aku gelak apabila pendatang-pendatang tersebut mandi, 'berfalsafah', dan saling menuduh. Aku fikir itu keadaan politik kita sekarang dan, ya, keadaan masyarakat kita juga sebenarnya.

Aku suka mise-en-scene yang ada dalam filem tersebut. Aku tertanya pada waktu menonton "Aku fikir aku suka frame filem ini. Siapa D.O.P dia eh?" Aku suka penggunaan 'kentang-kentang berwajah' yang berterabur sewaktu diserbu polis. Kentang itulah mereka kerana 30 tahun mereka di Kuala Lumpur, kentang itulah yang menjadi darah daging mereka. Aku suka apabila Azad Jazmin dikejar oleh Azhan Rani, kemudian terlanggar Farid Kamil yang melihat lokasi penggambaran bersama-sama Sara Ali dan Sara Ali memarahi Farid Kamil "Ni siapa sebenarnya direktor ni? Inilah masalah kalau pelakon nak jadi pengarah!" Aku gelak kerana aku fikir, ini 'jawapan' daripada Bront Palare kerana dia seorang pelakon yang mengarahkan filem tersebut. Sebelum orang lain menuduh, Bront sudah meletakkan tuduhan daripada dirinya kepada dirinya sendiri. Aku tahu, ada orang bising tentang filem yang diarahkan oleh pelakon. Pada aku, tiada masalah dengan hal pelakon menjadi pengarah. Industri filem Malaysia ada ramai pelakon yang menjadi pengarah. Siap ada auteurisme!

Penghujung filem tersebut, ada imej burung-burung merpati dalam bingkai. Kalau itu dilambangkan sebagai kebebasan, aku kira itu klise. Tapi aku suka imej kapal terbang yang diambil penuh dari bawah. Oh, cubalah lihat sayap kapal terbang itu. Aku lebih rasakan kebebasan pada imej tersebut.

Secara keseluruhannya, filem ini di tangan Bront Palare yang 'menjelma' sebagai seorang pengarah, memberi cukup perspektif yang positif untuk aku menunggu filem arahan beliau yang seterusnya.


FILEM KEDUA, arahan Rozi Izma juga memiliki sentuhannya tersendiri. Kisah seorang perempuan berbangsa Cina yang berusia, tidak berkahwin, memiliki seorang ibu yang selalu berusaha mencarikan jodoh untuknya dan dia selalu mengelak untuk menjawab panggilan telefon ibunya itu. Gina (Nell Ng) kemudian bertemu  Nek Wok (Ruminah Sidek). Aku tak perlu perkatakan lakonan Ruminah Sidek. Bagi aku beliau cukup hebat untuk watak-watak apapun. Apabila berlakon, aku langsung lupa beliau adalah Ruminah Sidek dan aku kira, diri beliau juga 'hilang' dalam watak yang dibawa. Nek Wok, seorang perempuan tua yang mengidap Anterograde Amnesia yakni gagal menyimpan memori baru akibat sesebuah kejadian yang traumatik tetapi masih menyimpan memori sebelum kejadian tersebut. Hal di sini adalah hal rumah yang digadaikan untuk pembangunan tetapi pembangunan tersebut tergendala kerana bekas tapak rumah Nek Wok 'gersang-segersang-gersangnya' walaupun ada serumpun tebu dipinggir kawasan. Aku fikir, ini imej untuk peribahasa seperti 'menanam tebu di pinggir bibir'.

Tipisnya, filem ini mengenai seorang anak perempuan yang ada masalah dengan jodoh dan ibunya berusaha kuat mencarikannya jodoh. Kemudian, Nek Wok muncul sebagai bayangan ibunya dan memberikan keinsafan agar Gina tidak lagi 'menderhaka'. Halus! Aku tepuk tangan juga untuk filem ini kerana berjaya mengkritik 'pembangunan' Kuala Lumpur yang suka 'menanam tebu di pinggir bibir', kejam dan traumatik. Segala-galanya ada pada Nek Wok tetapi terima kasih juga untuk Gina yang membawa kebaikan di penghujung cerita.

FILEM KETIGA, aku suka sebab ada Sharifah Amani. Watak yang dibawanya kali ini, selain daripada cameo dalam filem pertama, cukup misteri. Seorang perempuan yang bernama Siti Nur Hayy, yang jatuh entah dari planet mana tiba-tiba meminta Hafidd (Amirul Ariff) menemaninya yang baru putus cinta pada tengah malam. Aku cakap "Perempuan ini gila! Kalau aku, tak akan semudah itu mendekati lelaki, mengajaknya bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur." Yeah, inilah Siti Nur Hay yang tidak menghukum orang. Aku menerimanya walaupun gila. Bukan kerana dia Sharifah Amani tetapi sebab dia Siti Nur Hayy yang tidak menghukum itu. 

Hafidd, seorang pemuda yang mencari kebaikan. Tetapi dalam mencari kebaikan itu, dia mudah menghukum orang. Melihat itu salah dan ini salah. Jadi kebenaran dan kebaikan pada manusia sebenarnya apa dan di mana? Tetapi, dalam masa yang sama, Hafidd sering membela dirinya dengan soalan-soalan "Salahkah aku jika aku tidak pandai main bola? Salahkah aku tidak suka bergaduh? Salahkah aku begitu dan begini?" Itu ironi yang biasa ada dalam diri kebanyakan kita; kita selalu betul, orang lain selalu salah.



Siti Nur Hayy datang menunjukkan bahawa sebagai seorang manusia yang tidak tahu hati budi manusia lain, dan semestinya manusia lain tidak mudah mengenali hati budi kita, tugas menghukum itu bukan kerja kita. Siti Nur Hayy membawa Hafidd mengenali peniaga steamboat berbangsa Cina, membeli steamboat itu dan makan dengan selamba. Hafidd menjeling. Menurut kefahaman aku, jelingan itu disebabkan oleh bangsa peniaga tersebut. Nah, filem ini adalah ujian psikologi penonton itu sendiri. Cuba fikir balik, ketika menonton filem ini, apa yang difikir tentang peniaga tersebut? Mesti ada yang kata, hei, orang Islam tak boleh makan makanan orang Cina! Aku, pada awalnya begitu. Oh, psikologiku sebagai seorang Melayu-Islam-Malaysia tipikal! Memang jika ikut hukum halal-haram, bimbang ada unsur-unsur syubhah. Tetapi, minta ampun. Aku berdosa kerana buruk sangka terlalu cepat. Mana tahu, peniaga Cina itu Cina-Islam? Ada kita tanya; pak cik Muslim? Siti Nur Hayy tidak bertanya kerana pertama, dia mesra dengan Kuala Lumpur. Kedua, dia adalah medium ujian psikologi itu. Terima kasih! Aku tidak lulus ujian pertama.

Kemudian, mereka bertemu Sherry (Sherry al-Hadad) yang mabuk di bahu jalan. Aku gelak melihat Sherry al-Hadad kerana aku kenal beliau sebagai tutor aku yang serius dengan kerja 'tutoring' untuk latihan Randai. Kali pertama aku melihat beliau berlakon pun adalah dalam filem pendek Puntong terbitan syarikat aku adik-beradik; Legasi Oakheart dengan Produksi Bawah Tanah dan wataknya masih watak yang serius. Kali ini, aku lihat wataknya lucu. Ada sesuatu dengan watak lucu ini. Hafidd memandang serong terhadap Sherry yang mabuk dan dia menegaskan kepada Siti Nur Hayy bahawa dia tidak mahu teman wanita yang tidak senonoh begitu. Baginya, tidak senonoh itu tidak baik. Siti Nur Hay terus memulangkan buah paku keras dengan pertanyaan " Habis, kita ni baik sangat?" Ya, kita ni baik sangat?

Siti Nur Hay kemudiannya membawa Hafidd bertemu Nurul Atikah Bin Abdul Rahman yang berdandan, berbaju merah, bersuara garau dan menunggu pelanggan di perhentian bas. Dengan perawakannya yang begitu; wah, pelacur bapuk! Aku kata dalam hati. Nurul Atikah sedih kerana tiada pelanggan. Siti Nur Hayy memberi pendapat bahawa Nurul Atikah harus menukar rambut palsunya. Sebelum itu, Siti Nur Hayy sempat bercanda bahawa Hafidd adalah pelanggan baru. Tetapi apabila Nurul Atikah cuba mendekati Hafidd, Siti Nur Hayy cepat-cepat membetulkan keadaan. Sebelum meminta diri, Nurul Atikah meminta Siti Nur Hayy berjanji untuk menemaninya membeli rambut palsu baru. Aku terkena dengan ujian ini. Nurul Atikah bin Abdul Rahman bukan pelacur bapuk! Dia tauke rambut palsu. Mainan psikologi pada baju merah dan perlakuan, memang menunjukkan dia pelacur bapuk. Seharusnya aku tidak terus menghukum dia sebagai seorang pelacur. Tapi, aku manusia. Tak akan sempurna dan tak akan tidak ada tanggapan pertama. 

Aku tepuk tangan apabila Siti Nur Hayy bercakap tentang wanita sebagai teman hidup dengan kiasan rusuk kiri. Hafidd tidak faham maksud rusuk kiri tersebut. Siti Nur Hay, membuka cardigan, menolak Hafidd dan berkata " Dia ni tak pergi sekolah agamalah!". Aku gelak dan tepuk tangan. Sinis! Sinis! Aku fikir, ini khas untuk orang-orang agama yang berasa dirinya suci-suci-suci-sesuci-sucinya. Aku puas hati kerana pada pihak aku yang hanya bertudung biasa, berselendang biasa yang pernah dipandang atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah ketika kali pertama menghadiri usrah oleh ustazah-ustazah yang bertudung labuh, dan ada yang siap berpurdah. Aku rasa dihina di khalayak begitu. Okey, aku shut down untuk kumpulan itu. Aku juga pernah disela sebagai seorang yang sekular kerana mempelajari undang-undang Barat sewaktu di UIA dulu oleh orang yang kuat sangatlah agamanya sedangkan aku juga belajar undang-undang Islam. Dan, aku juga pernah disela kerana tidak sukakan novel Islami yang penuh dengan tempelan ayat-ayat al-Quran, yang meletakkan watak protagonis sebagai malaikat dan watak antagonis sebagai ibu iblis dan dakwahnya keras. Lalu, penyela itu berkata bahawa mungkin aku bukan orang jemaah. Hah, nak berjemaah macam mana kalau sudah atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah begitu? Ini pengalaman aku yang diingatkan oleh Siti Nur Hayy. Memang, psikologi aku diuji secukup-cukupnya dalam filem arahan Sheikh Munasar ini.

Secara keseluruhannya, filem ini filem yang membawa mini naratif. Bukan sahaja mini naratif dalam 'diri' Kuala Lumpur, malah mini naratif dalam diri kita sendiri. Dan, aku ingat-ingat kembali, ini adalah filem Malaysia paling baik yang aku tonton pada tahun ini. Terima kasih, Kolumpo!




Monday, December 9, 2013

FROZEN: CINTA PEMERINTAH, KEKASIH DAN KELUARGA

Filem animasi muzikal ini terinspirasi oleh kisah The Snow Queen. Aku dapat lihat itu sebab inspirasinya ada pada watak ELSA yang lahir dengan magis ais pada kedua-dua belah tangannya. Cuma Snow Queen berperwatakan jahat. ELSA kemudiannya dikurung di dalam bilik sendiri setelah mencederakan adiknya, ANNA secara tidak sengaja.

Aku suka dengan falsafah yang dibawa dalam filem ini melalui minda,hati dan kuasa. Aku lupa nama bomoh trol itu tapi aku ingat intipati kata-katanya selepas ANNA dicederakan buat kali pertama. Katanya kurang lebih, ingatan dalam minda boleh dihilangkan tetapi isi hati tidak, sambil bomoh trol itu menghilangkan ingatan ANNA tentang magis yang ada pada ELSA. Jadi membesarlah ELSA keseorangan dengan ketakutan terhadap kuasanya sendiri. Oleh hal yang demikian, ANNA membesar dengan sangkaan bahawa ELSA memulaukannya.

ELSA kemudiannya ditabalkan sebagai seorang ratu setelah ayahanda dan bondanya mangkat. Titik plot pertamanya apabila ELSA memarahi ANNA yang ingin mengahwini PUTERA HANS yang baru satu malam dikenalinya. ELSA dengan tidak sengaja telah membekukan seluruh Arendelle dengan kemarahannya tanpa sengaja. Aku fikir, inilah sedikit perwatakan Snow Queen yang diletakkan dalam diri ELSA. ELSA kemudiannya melarikan diri ke kawasan pergunungan dan membina sebuah istana ais dengan kuasanya. ANNA pula berusaha mencari ELSA dan meninggalkan Arendelle di bawah pemerhatian PUTERA HANS. Sewaktu mencari ELSA, ANNA berkenalan dengan seorang pemuda yang kerjanya menjual ais,KRISTOFF dan rusanya, SVEN. Dan aku paling suka lagu LET IT GO. Permulaan lagunya sudah buat aku tertarik dan aku bisik kepada suami di sebelah "Sedap permulaan lagunya. Dengar." Muziknya kedengaran matang meskipun untuk sebuah filem animasi. Pada aku itu sesuatu yang bagus kerana muzik juga merupakan suatu medium pembelajaran ke arah kematangan.

Pertemuan ANNA dan ELSA telah menyebabkan ANNA diserang oleh ELSA sekali lagi tepat di jantung. Nah, bermula dengan serangan itu, penonton dibawa kepada suatu jalinan tentang hati dan kuasa. Kuasa ELSA yang perlahan-lahan membekukan jantung ANNA sehingga adiknya itu menuju maut, aku lihat sebagai suatu satira horace yang cantik yakni seorang pemerintah menggunakan kuasanya tanpa kawalan kemudian membunuh seluruh negaranya termasuk ahli keluarga sendiri sedangkan pada asalnya pemerintah itu dilahirkan sebagai seorang yang murni. Hal ini sama sahaja berlaku dalam kisah-kisah Shakespeare seperti Macbeth dan Hamlet  yang tersepit antara dua belah jiwa yang ada dalam diri. Juga sama takdirnya dengan Oedipus yang dikarang oleh Sophocles yang lahir dengan takdir yang tak dapat dielakkan sedangkan Oedipus bukanlah seorang yang jahat. Lapisan begini buat aku turut teringatkan satira tentang politik dalam The Gulliver's Travel oleh Jonathan Swift. Dan ELSA boleh sahaja bertukar menjadi Snow Queen kalau tidak ditangkap setelah pengsan ketika menyerang askar-askar yang datang ke istana aisnya. Aku terus terfikir, agaknya pemerintah yang mana mabuk kuasa harus 'dipengsan' sebelum jadi gila kuasa.

ANNA yang menjadi mangsa kuasa tanpa kawalan itu pula hanya dapat diselamatkan oleh kuasa cinta sejati. Yeah, kerap kali kita dengar cinta adalah kuasa paling-paling-paling besar di dunia. Kalau tidak kerana cinta, Tuhan pun akan biarkan manusia mati kelaparan. Tetapi itu tidak pula berlaku kerana Tuhan itu penuh cinta.

Cinta dalam filem ini memiliki twist  yang cantik sebab aku mati-mati ingat cinta KRISTOFF yang akan menyelamatkan ANNA setelah dikhianati oleh PUTERA HANS yang hanya mahu mengambil alih kuasa pemerintahan Arendelle. Ini satu lagi lambang manusia mabuk kuasa selain daripada DUKE OF WESELTON. ANNA yang beku ketika cuba menyelamatkan ELSA daripada dibunuh oleh PUTERA HANS dihidupkan dengan pelukan ELSA. Solusinya adalah cinta dan dalam filem ini cinta lelaki-perempuan diangkat dengan ringan tidak seperti kisah-kisah cinta puteri-puteri Disney seperti Cinderella, Snow White, Rapunzel, Sleeping Beauty yang masyhur itu.  Pertama, cinta seorang pemerintah kepada rakyatnya akan menyelamatkan seluruh negara. Kedua, cinta yang sederhana antara lelaki-perempuan dengan bukti pengorbanan yang kadang-kadang kita buta untuk menilainya. Ketiga, cinta antara keluarga.

Aku juga sukakan bit filem ini. Laju dan tepat. Oh ya, aku juga sukakan OLAF, si orang salji. Ya, OLAF, Some People Are Worth Melting For but as KRISTOFF said, sometime; Reindeer(s) are Better Than People. Rusa tak mabuk kuasa atau busuk hati. - Lagu pun sinis!

--- Teringin nak tonton yang dalam bahasa Melayu.

Friday, September 6, 2013

TANDA PUTERA : TANPA MAZHAB POLITIK, KIBLAT KAUM JUGA AKUR ATAU NAFI TENTANG SEJARAH

Saya tahu, saya perlu catatkan sesuatu tentang filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, sebuah filem hebat dan besar nilainya pada hemat saya. Dan, selagi saya tahu apa yang saya patut lakukan, saya yakin, saya perlu lakukannya. Terpulang apa mazhab politik kalian yang sedang membaca catatan ini, atau bangsa apakah kalian, ingat, saya menulis catatan ini dalam keadaan tak bermazhabkan mana-mana parti politik atau berkiblatkan mana-mana kaum juga akur atau nafi tentang sejarah. Kalau masih ada yang mahu menghentam, memang tiada bahasalah yang dapat memahamkannya. Semoga ada malaikat yang sudi turun menenangkan fikir.

Filem ini penuh dengan kontroversi. Berkali-kali ditunda tayangannya. Orang kata, filem ini filem rasis. Filem ini filem sejarah. Filem ini filem agenda politik. Saya ketepikan hal-hal itu sewaktu menonton filem ini. Ya, filem ini mampu berdiri sendiri sebagai sebuah filem yang besar maknanya, tidak kira ada atau tiada klasifikasi yang orang-orang letakkan dalam perkara ini. Filem bukanlah sekadar untuk dikritik setelah tayangannya. Atau sekadar melihat mise-en-scene yang ada dalam bingkainya untuk mencari apa yang dikatakan kegagalan epik atau mentafsir semiotik.

Kita juga perlu tahu, sebesar manakah pembawaan dan sedalam manakah erti sesebuah filem itu dalam industri filem Malaysia yang tidak besar mana sehingga berbaloi untuk membawanya kepada pergaduhan, atau putus persaudaraan di laman media sosial. Tetapi filem ini mudah dalam besar pembawaan dan kedalaman maknanya. Kontorversi pun tidak akan dapat mencacatkan kedua-dua elemen ini.

Hati seorang pemimpin, pernahkah kita cuba untuk selami? Sesekali kita tolak kecemburuan atau sangka buruk kita terhadap seorang pemimpin. Kata George Bernard Shaw, orang yang tidak sukakan pangkat adalah orang yang cemburu dengan pangkat itu. Sesekali tolak. Walaupun mungkin kemampuan untuk menolaknya hanya sekali seumur hidup.

Kita fikirlah, bagaimana seorang pemimpin itu bimbang akan rakyat jelatanya yang tidak lahir hanya daripada asal satu bangsa. Kalau seorang pemimpin mahu lari daripada kekacauan ini, ya, boleh sahaja pemimpin itu melarikan diri. Buat apa fikir tentang rakyat kalau diri berkuasa benar untuk meninggalkan tanah air dan hidup senang-lenang di luar negara? Dan kalau kita adalah pemimpin, adakah kita akan menjadi yang lebih baik? Menjadi pemimpin keluarga pun sudah banyak dugaannya sehingga ada orang tidak mampu menanganinya dengan bijaksana.

"Dari mana datang kebencian ini. Kita perlu redakan."

Ini antara dialog Tun Abdul Razak ketika peristiwa perkauman berleluasa. Hal yang berlaku dalam filem ini pernah diceritakan kepada saya oleh salah seorang guru skrip drama pentas saya berbangsa Melayu. Ketika isu perkauman merusuh negara, bukanlah semua orang Cina itu membenci Melayu dan tidaklah semua orang Melayu itu membenci orang Cina. Cikgu saya itu, pernah disorokkan di loteng rumah oleh kawan-kawan beliau yang berbangsa Cina agar tidak ditemui dan dibunuh. Inilah juga yang dilakukan oleh beberapa watak rakyat biasa dalam filem ini yakni Johan (Melayu), Kara (India) dan Alan (Cina); masing-masing cuba untuk saling melindungi.

Sayang, kepincangan sudah mula bertunas lagi di negara ini sekarang setelah berpuluh-puluh tahun dahulu, pohon-pohonnya sudah ditebang dan tanah-tanahnya sudah dilapangkan untuk membina sebuah negara perpaduan. Setelah 56 tahun kemerdekaan kita capai, akar-akar ini masih hidup di dalam tanah Malaysia dan cuba disuburkan oleh sesetengah pihak. Memang, kita tidak pernah mampu untuk menyamakan seluruh fikiran dan pemikiran orang. Seperti mana ironinya, kita selalu ingin orang lain bersetuju dengan kita sedangkan kita sendiri berat untuk bersetuju dengan orang lain. Jadi, timbullah isu bahawa filem ini filem perkauman - malah ada yang menyatakan filem ini ekstrim perkauman.

Oh, saya gelak. Manakah perkaumannya kalau orang Cina dan orang Melayu bersatu hati untuk berlakon dalam filem ini? Oh, lucu... Tiada kerja sangatkah orang yang menimbulkan isu ini? Oh, lucu... lucu sekali (Sampai sekarang hati saya dicuit-cuit) Bukan seorang dua, pelakon Cina yang menjayakan filem ini. Douglas Lim, Alan Yun, Chew Kin Wah, dan segerombolan orang Cina telah menjayakan filem ini bersama-sama pelakon-pelakon Melayu.

Bergadai nyawa untuk sebuah persahabatan. Pengorbanan dalam persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail juga merupakan sebuah persaudaraan yang tidak ternilaikan.  Kalau anda seorang insan, anda tahulah maknanya. Atau, mungkin juga anda ramai kawan, dan semuanya boleh dipercayai? Terpulang.

Pertembungan dua mata antara Alan dan Johan memiliki spark tersendiri. Alan berlalu apabila bertembung mata dengan Johan. Wajah mereka berdua, wajah serba-salah kerana keadaan memangsakan persahabatan mereka. Hal ini turut berlaku terhadap hubungan Zarah dan Kara yang menjadi serba tidak kena. Keadaan 'pertembungan' kita hari ini lebih teruk. Ada antara kita bukan setakat bermusuh antara kaum malah sesama kaum, paling teruk antara keluarga sendiri hanya kerana fahaman politik yang berbeza. Spark kita adalah permusuhan dan bukan keadaan serba-salah untuk mengekalkan persaudaraan.

Mesej yang mudah, filem Tanda Putera ini mengangkat isu perpaduan. Itu yang lebih besar daripada isu 13 Mei tidak kiralah ada yang mahu katakan ia fitnah ataupun fakta, hakikatnya ia telah pun tercatat dalam sejarah negara kita. Kalau tidak berlaku pun 13 Mei itu untuk dijadikan pengajaran, kita masih lagi memerlukan perpaduan sehingga kiamat tiba. Selepas itu barulah nafsu-nafsi yang langsung tidak dapat dielakkan. Perpaduan yang cuba menjadi mesej dalam filem ini lebih besar dan bermakna daripada klasifikasi sejarahnya, agenda politik, mise-en-scene, nilai artistiknya, skripnya, fizikalnya, ceceh dan cemuh orang,  atau apa-apa sahaja.

Saya tahu, ada yang tidak bersetuju dengan catatan ini. Saya tahu. Cuma, sekali lagi, ingat, saya menulis catatan ini tanpa mazhab politik dan kiblat kaum juga akur atau nafi tentang sejarah.
Dan, sewaktu menonton filem ini, 'bacalah' ia melalui diri insan sedalam-dalamnya yang ada dalam diri kalian. Kerana cinta Tuhan terhadap perdamaian tidak pernah berubah.



Friday, June 7, 2013

AFTER EARTH : LAGI SENTUHAN SHYAMALAN YANG TIDAK MENJADI





Seperti biasa, setiap kali menonton filem, saya selalu meletakkan harapan bahawa apabila saya keluar dari panggung, saya akan mendapat 'sesuatu' sama ada filem tersebut merupakan sebuah filem yang ringan mahupun berat. Saya tidak mendapat perasaan ini setelah menonton After Earth arahan M. Night Shyamalan.

Saya berikan sedikit ceritanya. Kitai, lakonan Jaden Smith dan Jeneral Cypher Raige (Will Smith) merupakan anak dan bapa yang mengalami kerenggangan hubungan. Mereka berdua mengalami kemalangan di angkasa lepas bersama-sama renjer-renjer yang lain, sewaktu dalam perjalanan ke Ipthos dan terpaksa mendarat di bumi, iaitu planet berbahaya yang tidak boleh didarati oleh mana-mana manusia. Hal ini disebabkan oleh kemusnahan alam sekitar dan serangan makhluk asing yang disebut sebagai Ursa, seribu tahun lalu.Serangan ini juga telah meletakkan rasa bersalah dalam diri Kitai kerana dia, yang sewaktu itu masih kecil, tidak dapat menyelamatkan kakaknya, Senshi (Zoe Kravitz) yang mati dibunuh Ursa.

Di bumi, beberapa insiden yang berlaku melihatkan sebahagian daripada proses ke arah kematangan Kitai sebagai seorang remaja lelaki. Cerita berakhir apabila Kitai berjaya membunuh seekor Ursa, dan Raige diselamatkan oleh orang-orang Nova Prime.

After Earth sebuah filem sains fiksyen (Si-Fi) yang mengusir manusia jauh dari bumi atas sebab tangan manusia itu sendiri. Dan ya, orang putih memang sangat suka mewujudkan makhluk asing dan serangannya. Saya melihat, kalau pun tiada serangan makhluk asing terhadap bumi, cerita ini boleh bergerak dengan unsur didaktik (pengajaran) yang ringkas bahawa bumi tidak mahu menerima manusia lagi setelah kerosakan-kemusnahan-kedajalan yang dilakukan terhadap alam sekitar. Maka, mereka terpaksa berpindah ke Nova Prime. Kalau mahu menepati genre Si-Fi, tak perlukan makhluk asing pun, cerita boleh bergerak atas kisah sains kerana alam sekitar itu sebahagian daripada sains. Pada pandangan saya, ciptaan makhluk asing sangat klise untuk kisah Si-Fi. Membazirkan teknologi CGI saja. Oh ya, seperti biasa, Shyamalan tidak lari daripada imejan-imejan kelabu dan suramnya dalam sesebuah filem.

Watak Senshi , saya lihat, wujud sebagai alasan untuk Kitai menjadi seorang renjer dalam misi menghapuskan Ursa. Saya katakan 'alasan', kerana kematiannya tidak dinampakkan sebagai satu sebab yang kukuh untuk Kitai menjadi matang sebagai seorang lelaki. Filem ini boleh berdiri sendiri tanpa Senshi. Paling kelakar, dalam mimpi Kitai sewaktu hanyut di atas rakit, Senshi datang 'mengejutkannya' dan apabila Kitai berdegil, Senshi sekali lagi 'mengejutkan' Kitai dengan wajah hantu. Ini saya gelak. Persis cerita hantu Thailand, tiba-tiba saja buruk, itu yang saya bisikkan kepada suami.

Emosi bapa-anak antara Kitai dan Raige juga tidak ditonjolkan dengan berkesan. Saya fikir, ini bukan salah anak-beranak Smith kerana saya pernah menonton filem lakonan mereka berdua dalam filem Pursuit of Happyness, memang bezanya total. Raige dengan wajah 'hati kering' tidak memberi impak emosi kepada penonton yang biasanya diletakkan dalam jiwa dan harapan seorang bapa kepada anaknya. Kalau pun mahu mengajar anak, cara 'bertuan-berkadet' memang tidak sesuai. Ia bukan sahaja meletakkan jarak antara Kitai dan bapanya, malah secara tidak langsung, memberi jarak juga kepada penonton dengan watak-watak yang berkonflik ini yakni, penonton tidak terkesan dengan watak-watak tersebut. Di sinilah sebab-musabab mengapa Senshi tidak diperlukan. Emosi yang harus dibawa dalam filem ini adalah emosi seorang anak lelaki yang mahu membuktikan sesuatu kepada ayahnya. Sayang seribu kali sayang, hubungan ini tidak diletakkan sepenuhnya dalam filem ini.

Pengakhiran filem tidak memberi impak apa-apa untuk seorang manusia yang seharusnya ada motivasi dalam diri. Raige selamat. Kitai, selamat dan, dialognya paling membunuh semangat "I wanna work with mum". I was like, what?I wanna work with WHO? After everything happened, you sell your man just like that? Oh my God! Okey, ibunya lakonan Sophie Okonedo merupakan seorang pekerja di bahagian turbin dan tidak mengalami apa-apa cabaran bencana sehebat bekerja dalam operasi. Siap boleh pakai gaun ala-ala bridesmaid, untuk pergi kerja. Filem KIL yang nak bunuh diri pun boleh bagi semangat nak teruskan hidup di hujung cerita, cerita Si-Fi yang nampak hebat dalam trailer ini 'melembikkan' seorang remaja lelaki yang kononnya sudah bertemu kematangan selepas misinya di bumi? Ini sangat menyakitkan hati saya sebagai seorang penonton. 

Jadi, apa yang cuba nak disampaikan dalam filem ini? Saya keluar panggung, lalala, macam tak tengok wayang pun sebelumnya. Saya tak pasti, berapa lama cerita ini diperam untuk dikaji atau disunting sebelum melalui proses penggambaran. Saya cuma pasti, filem ini sebenarnya boleh pergi lebih jauh kerana ideanya cukup cantik. Ya, saya tertawan dengan ideanya. Malah, ketika seekor burung hering yang cuba membalas jasa Kitai juga merupakan suatu perlambangan bahawa bumi ini sebenarnya memang diciptakan dengan rasa kasih dan sayang. Hanya manusia yang suka memusnahkan tempat tinggalnya sendiri. Ini juga idea yang cantik

Ada satu dialog juga yang lekat dihati dalam filem ini iaitu kata-kata Raige sebagai dongeng sebelum tidur untuk Kitai :


The danger is real. 
But the fear is a choice...

Dialog di atas dilihat (kononnya) sebagai motivasi (yang sebenarnya boleh ambil daripada poster pun), tetapi tak ke mana. Cuma saya keluarkan dialog ini kerana mahu atau tidak, apa yang dikatakan Raige itu betul dan harus saya akuinya.

Filem ini saya kategorikan sebagai BOLEHLAH KALAU NAK TONTON. Hanya atas tiket ideanya yang cantik tetapi tidak kesampaian dalam filem. 

After Earth. Cerita yang boleh dipuji dari segi idea. Tetapi dari sudut wayang gambar, minta ampun, M. Night Shyamalan gagal lagi. 


Tuesday, June 4, 2013

KIL : EROS, THANATOS DAN PSIKO-MOTIVASI


Terima kasih Encik Google


Saya tepuk tangan dan menghela nafas lepas-lepas usai menonton filem KIL arahan Nik Amir Mustapha. Itu perkara wajib yang biasa berlaku apabila saya berpuas hati dengan sesebuah filem. Dan, apa yang ditulis di bawah ini, semuanya menurut selera peribadi.

Minit-minit awal dalam filem KIL sudah menonjolkan premis ceritanya. Saya suka pengenalannya kerana ia ringkas dan padat. Memperkenalkan watak dan tujuan hidup watak yang terus menampakkan konflik. Tiada perkataan langsung yang terbit dari mulut watak utamanya yang dijayakan dengan cemerlang oleh Redza Minhat. Tetapi penonton mampu mengerti dengan mudah kerana saya terdengar beberapa suara di dalam panggung yang berbunyi "Oooo... Dia nak bunuh diri." Inilah wayang gambar yang sebenar pada pandangan saya.

Minit-minit awal itu memunculkan Thanatos atau kecenderungan ke arah kematian yang dipercayai oleh Sigmund Freud sebagai suatu kuasa libido yang ada di dalam diri seseorang manusia. Thananatos merupakan gabungan kata Thana (gerak) dan Natos (mati). Maka, kisah ini bergerak melalui watak Akil yang memiliki 'gerak mati' ini sehingga sanggup mengupah sebuah syarikat yang bernama Living Action Bureau atau LAB untuk membunuhnya. Namanya, LAB, saya fahamkan sendiri bahawa hidup ini sebenarnya sebuah makmal. Kita bereksperimen dan dieksperimenkan setiap hari.

Mainan psikologi yang diperankan oleh Redza Minhat sangat berkesan. Wajahnya yang sepi, kesesalan, emosi yang kurang stabil dimunculkan semulajadi pada riak wajah Redza berikutan rasa bersalahnya terhadap ibu dan adiknya yang telah mati akibat kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian Akil ketika memandu. Thanatos juga ada dalam diri beberapa individu yang lain dalam KIL seperti seorang remaja perempuan yang putus cinta, seorang pengarah yang kehilangan isteri dan anak juga seorang lelaki yang entah kenapa mahu mati. Mungkin putus cinta juga.

Kemunculan Zara, lakonan Christina Suzanne, mengubah segala-galanya. Di sini, Thanatos sudah bertembung Destrudo, iaitu unsur libido yang mudah bertolak-ansur menurut Freud. Lalu, berlakulah bibit-bibit cinta yang sederhana tetapi berkesan di jiwa penonton kerana saya terdengar ada antara penonton dalam panggung berbisik-bisik dengan rakan-rakan "Comelnya 'diorang'..." Namun, Zara juga ditampilkan dengan sifat misteri. Gambar, lilin, dan beg tangan milik Zara memberi persepsi awal bahawa Zara sebenarnya bekerja dengan LAB dan ditugaskan untuk membunuh Akil. 

Destrudo perlahan-lahan mengambil alih watak Akil sehingga Akil berubah fikiran. Dia ingin membatalkan kontrak dengan LAB yang sudah ditugaskan untuk membunuhnya. Tetapi, terma dan syarat LAB tidak mengizinkan kontrak itu dibatalkan. Maka, mahu atau tidak, Akil harus menerima hakikat bahawa dia akan mati dibunuh atau ditermakan oleh perunding LAB, Encik Harun (Harun Salim Bachik) sebagai euthanasia.
Penonton-penonton di belakang saya bertanya sesama mereka, "Boleh ke?" Sekadar pengetahuan saya, euthanasia adalah perbuatan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang di Malaysia apatah lagi di sisi agama Islam kerana mengambil nyawa seseorang bukanlah hak manusia ke atas manusia jika tidak menepati hukum-hukum agama yang menghalalkan darah seorang manusia di tangan seorang manusia. Jika maklumat perundangan saya silap, harap ada yang menegur kerana saya menyatakannya setakat mana ilmu yang (tak habis) saya kutip sewaktu menjadi pelajar undang-undang suatu masa dahulu.

Saya suka susunan plot dalam filem ini. Ia memberi persoalan dan jawapan dengan cara yang mudah tetapi bijak kerana ada twist yang ringan, sesuai untuk penonton-penonton muda yang tidak mahukan cerita yang berat. Sebagai contoh, perbualan Akil dengan ibunya memberitahu penonton bahawa Akil mempunyai seorang ibu dan adik lelaki yang tinggal serumah dengannya tetapi jarang pulang. Akil juga sudah lama tidak pulang ke kampung. Kemudian, Akil menegur adiknya di dalam bilik tidur dan seterusnya, penonton mendapat jawapan bahawa adiknya sebenarnya tidak wujud secara hakiki tetapi secara khayali kerana adiknya itu sudah pun meninggal dunia. Kalau mahu bikin kisah ringan dan bijak, KIL menepati selera peribadi saya.

Saya  sebagai penonton, memiliki harapan sendiri terhadap KIL sebenarnya. Saya mengharapkan kematian yang diwara-warakan di dalam filem ini sebenarnya suatu permainan untuk memberi kehidupan kepada Akil. Tanggapan saya terhadap Akil di akhir kisah tidak pula saya letakkan sama ada hidup atau mati. Terpulang. Cuma kalau Akil mati, biarlah dia mati dengan berdarjat. Namun, dalam masa yang sama, saya juga sangat mengharapkan bahawa kematian itu hanya suatu taktik permainan motivasi. Saya gembira kerana harapan saya untuk melihat KIL sebagai sebuah filem psiko-motivasi telah dipenuhi. --- Saya tak kira orang nak cakap apa, saya nak juga klasifikasikan KIL sebagai psiko-motivasi.

LAB merupakan sebuah syarikat yang memberi kehidupan baru kepada manusia yang tidak lagi ingin hidup. Ahli-ahlinya merupakan insan-insan yang dikatakan Encik Harun sebagai orang-orang yang memiliki passion to live. Ghairah terhadap hidup dan kehidupan. Nah, Eros telah menarik picu pistol untuk memberi gerakan ke arah kehidupan. Encik Halim datang ke rumah Akil dan menggunakan pistol permainan untuk membunuhnya. Okey, ini assault kalau ikut undang-undang Tort. Walaupun kita menggunakan pistol mainan, apabila mangsa berasa takut, itu sudah dikira sebagai gangguan dan tukang acu pistol mainan itu boleh didakwa di mahkamah. Malaysia jangan cerita. Tak ramai yang tahu tentang hal ini. Kalau tahu pun, ia mungkin 'diperelehkan' kerana tampak mudah.

Pengakhiran yang gembira dan comel (lagi). Eros sebagai 'gerak hidup' mengambil alih keadaan dan menabur kasih yang jelas setelah Thanatos diundurkan oleh Destrudo. Menariknya dalam KIL, Thanatos muncul melalui perpisahan-perpisahan cinta yang berlaku kepada watak-watak yang ingin bunuh diri. Akil, menemukan cinta Zara dalam hidupnya. Dan, apa lagi yang menggerakkan hidup kalau tidak cinta?

Okey, cukuplah menikmati selera peribadi saya. Sesiapa yang belum tonton KIL, filem ini masih ditayangkan di pawagam dan ingat, hayat filem di Malaysia dalam pawagam, cuma seminggu.


* Dalam hidup, cuma satu DVD filem Melayu yang aku beli original --- BUNOHAN. KIL akan jadi yang kedua.

Friday, May 3, 2013

HABIBIE DAN AINUN

30 APRIL 2013. Itu harinya, kali pertama saya menonton Habibie dan Ainun di Dewan Kuliah Utama ASWARA bersama-sama suami. Habibie dan Ainun sebuah filem Indonesia yang saya kira sangat cemerlang dalam meletakkan unsur kasih-sayang dalam rumahtangga. Ya, kerana kasih-sayang dalam rumahtangga itu tidak akan pernah mudah, maka, Habibie dan Ainun digarap dengan jayanya. Dan sebenarnya, ini bukan hanya kisah cinta atau kisah rumahtangga semata.

Habibie dan Ainun arahan Faozan Rizal merupakan sebuah filem biografi yang menceritakan romantisme antara Presiden Indonesia yang ke-3 iaitu Bacharudin Jusof Habibie (B.J Habibie) dan isterinya, Allahyarhamah Ainun Habibie. Peranan sebagai Habibie dibawa dengan jayanya oleh Reza Rahardian manakala watak Ainun dibawa dengan cemerlang oleh Bunga Citra Lestari.

Reza Rahardian menguasai watak Habibie baik dalam menonjolkan ketokohan seorang presiden yang sentiasa mempercayai daya mampu rakyat Indonesia untuk lebih jauh ke hadapan. Emosi dan pergerakan tubuh dalam perubahan usia Habibie juga berjaya dikuasai oleh Reza sehingga kita dapat merasakan bahawa yang ditonjolkan pada layar itulah B.J Habibie yang sebenarnya. Saya sangat kagum bagaimana Reza berkebolehan mengekalkan postur tubuh Habibie yang sedikit bongkok dengan langkahnya yang diketarkan usia yang sudah lanjut. Ah, segala-galanya nampak benar!

Bunga Citra Lestari juga memberi perasaan yang sama seperti melihat Reza sebagai Habibie. Lakonan Bunga dilihat begitu semulajadi, melalui perubahan waktu, waktu-waktu cinta, waktu-waktu berperang dengan diri sebagai isteri seorang lelaki dan isteri seorang presiden, juga waktu-waktu berperang dengan hayat yang semakin menipis. Seorang Ainun, tidak mudah kisahnya sebagai isteri kepada seorang presiden. Dugaan Habibie adalah dugaan untuk dirinya juga. Tuduhan korup, sehingga rumah yang didiami mereka sebelum Habibie menjadi presiden juga dimangsakan politik turut terkena tempiasnya pada Ainun. Tidak mudah juga bagi seorang Ainun, yang dikatakan mengimani visi dan mimpi Habibie untuk Indonesia yang menuntutnya menjadi wanita yang selalu berusaha berperang dengan barah serviksnya yang begitu sukar untuk sembuh. Ainun percaya bahawa dia harus kuat untuk terus 'mengimani' Habibie dalam memulihkan Indonesia yang dilanda tragedi-tragedi lewat rusuhan Reformasi, seperti Tragedi Lampung dan Semanggi, pergolakan Timor Timur juga pertempuran etnik dan agama iaitu Islam dan Kristian.

Selain kekuatan para pelakonnya, filem ini juga memainkan mise-en-scene dengan baik. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada waktu Ainun sudah tidak lagi dapat diselamatkan, burung-burung merpati di sebuah kawasan di Jerman tempat mereka bercinta sesudah bernikah, tiba-tiba berterbangan ke angkasa, melambangkan Ainun, cinta pandang pertama Habibie sudah pergi meninggalkannya. Sebelumnya juga, di Jerman, sepasang suami isteri yang sudah tua yang duduk tidak jauh daripada Habibie dan Ainun melambangkan perkahwinan yang kekal ke hujung usia.

Kisah ini meletakkan rasa perjuangan yang sangat mendalam. Ya, Indonesia, filemnya dicemburui kerana kekuatannya yang satu ini, selain seni berceritanya yang luar biasa, walaupun filemnya hanya tentang sekumpulan anak-anak yang bermimpi untuk berpendidikan seperti yang ditonjolkan dalam filem Laskar Pelangi (2008). Atau seperti filem kekeluargaan, Ibunda (1986), yang begitu ringkas kisahnya tetapi dialognya begitu terkesan dengan babak-babak muzikalnya membawa makna-makna sindiran halus dan tajam.

Ainun Habibie akhirnya meninggal dunia pada 48 tahun usia perkahwinannya dengan Habibie lantaran barahnya yang sudah merebak di dalam tubuh. Dan di penghujung cerita, kami para penonton memberikan tepukan untuk filem ini. Saya jarang memberi tepukan untuk sesebuah filem. Tetapi Habibie dan Ainun mendapatnya dan saya kira, filem ini sangat layak mendapat tepukan daripada para penonton.

Ada beberapa perkara yang berkelintaran dalam fikiran sewaktu saya menonton filem ini :

(1) Wanita-wanita yang bersuamikan lelaki politik manakah di Malaysia ini yang sebegini pengorbanannya, yang 'mengimani' visi dan keyakinan suami terhadap rakyat sendiri?

(2) Bila lagi Malaysia akan berhenti meraikan filem-filem cinta yang tiada makna seperti Ombak Rindu?Atau kisah murah rempitan, gengsterime juga perempuan-perempuan jalang?
 
(3) Kasihan pada pelakon-pelakon yang bagus di Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh dibawa lebih jauh ke depan tetapi terpaksa berlakon dalam filem-filem tak bermaruah dan merencatkan bakat. Dan sekarang sudah ada filem hampir porno.

(4) Apakah saya sekuat Ainun untuk 'mengimani' suami sepanjang kehidupan kami?  Dan apakah kami sekuat Habibie dan Ainun dalam 'mengimani' mimpi kami? (Ini kesan paling dalam pada saya.)


Dan, kini, kalau ditanya, manusia biasa mana yang saya mahu seperti itu cinta saya, saya akan menjawab, Habibie dan Ainun yang sentiasa ada untuk sesama mereka sehingga mimpi berdua pun menjadi satu.