Wednesday, February 26, 2014

POMPEII : SELAKNAT-LAKNAT MANUSIA

Pompeii agak menarik apabila difikir-fikirkan kembali selepas sedikit hampa menontonnya malam kelmarin. Seperti biasa, aku tidak akan persoalkan sinematografi kerana seperti yang aku katakan, cerita adalah nombor satu dan cerita yang akan tentukan sinematografi itu akan menjadi apa untuk difilemkan. Akan ada orang yang tidak setuju. Aku tahu dan pasti kerana itu perkara yang biasa. Terpulang. Tak ada salah
benarnya dan aku hormati hal itu. Apapun cerita dan sinematografi adalah dua benda yang tidak boleh dipisahkan. Kalau digaduhkan pun, kedua-duanya masih perlu untuk sesebuah filem.

Persoalan pertama yang ada dalam kepala ketika menonton Pompeii adalah "Kenapa wira ini dilukis sebegitu gagah tetapi masih diperhambakan dan dia rela?". Aku fikir itu tidak relevan untuk watak Milo atau The Celt lakonan Kit Harington yang sasa dan kacak. Dia boleh sahaja membunuh seluruh tentera yang ada untuk bebas seperti yang dilakukan kemudiannya. Ini sesuatu yang bagus untuk sebuah filem kerana inilah gam di kerusi penonton. Sesuatu yang bahaya juga jika ada penonton yang berasa jengkel dengan perwatakan sebegitu. 20 minit yang pertama bagaikan fungsi slide show power point. Laju dan terus kepada pokoknya yang akan diperjelaskan pada minit kedua dan ketiga.

Pompeii dibina dengan beberapa kata kunci yakni politik dan hak asasi manusia. Maka wujudlah Pompeii di tangan Paul W.S. Anderson yang masih mengekal ciri-ciri social chaos seperti yang yang berlaku dalam karyanya, Resident Evil dan Death Race. Kekalutan sosial dimulakan dengan politik yang kalut apabila permulaan kisah (selepas pembukaannya dengan imej manusia batu yang bergelimpangan dan kata-kata yang lara) adalah penghapusan bangsa. Puak Celtic yang dianggap sebagai minoriti pemberontak dihapus sama sekali dari muka bumi. Hanya Milo, yang masih kecil, selamat atas kebijaksanaannya sendiri (atau kebodohan askar-askar pemerintah). Milo menyaksikan mayat ibu dan bapanya bergantungan di pokok. Pada matanya ada suatu rasa yang berbaur; dendam dan sedih. Milo meninggalkan seluruh mayat puak Celtic tetapi kemudiannya ditangkap, dibesarkan sebagai hamba (yang gagah kerana dapat menumpaskan 4 orang lawan yang sasa dengan sekali harung) dan dibawa ke Pompeii. Maka persoalan tentang perwatakan berlegar dalam kepala.

Di Pompeii, Milo berkenalan dengan seorang hamba juga seorang gladiator bernama Atticus (Adewale Akinnuoye-Agbaje). Senator Corvus (Kiefer Sutherland) dari Rome yang bersifat syaitan datang ke Pompeii, cuba untuk bermain politik dengan berkahwin dengan Cassia (Emily Browning). Maka, ditonjolkan keadaan para pembesar yang gemar berhibur, berfoya-foya dan licik. Atticus dan Milo dibawa ke parti, dan terpaksa berdiri untuk 'diperhatikan'. Ini adalah sexual innuendo yang cukup menggambarkan selera seks golongan status quo tersebut. Perhambaan di Pompeii merangkumi segala perhambaan manusia baik dari segi tenaga, seks, malah nyawa kerana pada hari seterusnya, Atticus dan Milo akan berlawan di arena untuk pertarungan kalah mati. Lenyaplah segala maruah yang ada pada diri seorang manusia di Pompeii.

Dalam pada kebobrokan sosial itu, gunung berapi yang lama diam kembali meletuskan asap-asap kecil di lohong lavanya. Pada hari pertarungan di arena, perlawanan bertukar menjadi suatu pembunuhan hamba tetapi dimenangi oleh Atticus dan Milo yang bekerjasama apabila Atticus yang dijanjikan kemerdekaan sekiranya menang, menyedari bahawa kerajaan Rome memang munafik. Dan, pada hari tersebutlah, setelah Milo mematahkan tongkat kebesaran Rome, meludahnya, dan dia dijatuhkan hukuman bunuh, gunung berapi yang diam itu menghamburkan lava dari kawahnya. 

Keterkaitan yang cantik antara Milo dan gunung berapi adalah kedua-duanya berperwatakan senyap, kemudian meletus dan akhirnya meletup. Inilah sebab kenapa cerita harus didahulukan berbanding sinematografi. Cerita akan menentukan mise-en-scene dan membawa kepada sinematografi yang bagus kalau pembikinnya mahir tentang mise-en-scene, berdasarkan simbol dan semiotik yang ada dalam cerita. Milo dan gunung berapi pula menggambarkan gejolak jiwa golongan minoriti yang sering disalahsangkakan (Milo dipanggil sebagai 'binatang buas' sedangkan dia tidak begitu. Dia hanya seorang lelaki kacak yang gagah) dan diperhambakan (Pompeii mengeksploitasi tanah tempat tegaknya gunung berapi). Ini menjadikan perwatakannya relevan dilukis sebegitu.


Sebuah kerajaan yang korup seperti Rome dan Pompeii, menafikan kebebasan seluruh rakyat dengan mengeksploit mereka secukupnya, menyalah anggap golongan minoriti (Oh ya, Corvus tidak senang dengan jelingan rakyat Pompeii ketika melalui pasar dan Severus menyatakan bahawa rakyatnya adalah golongan minoriti yang berontak kerana rancangan kerjasama mereka) seharusnya tidak wujud langsung di muka bumi ini. Lalu, di akhir cerita, Pompeii musnah sama sekali oleh lava yang menggelegak. Tiada yang hidup di Pompeii termasuklah Milo dan Cassia, hero dan heroinnya. Hatta manusia yang cuba lari melalui pelabuhan pun ditolak oleh tsunami kembali ke Pompeii dan mati. Yang terlepas hanyalah seekor kuda putih yang comot milik Cassia. Inilah selaknat-laknat bangsa manusia yang tarafnya lebih hina daripada seekor kuda yang terkadang 'histeria' dengan gempa bumi yang sesekali menggegar sebagai suatu ingatan balasan bencana.

Babak ketika Milo ingin melepaskan Cassia sendirian dengan kudanya kerana kuda itu tidak mampu menampung berat dua orang manusia cukup mengingatkan aku kepada Jack dan Rose dalam filem Titanic ketika sekeping papan tidak mampu menampung berat mereka berdua. Malah filem Titanic juga adalah sebuah kritikan sosial. Apa yang berlaku dalam Pompeii adalah 'keadilan' kerana Milo dan Cassia mati bersama-sama ditenggelami lava sebaliknya dalam Titanic, hanya Jack yang mati dan tenggelam ke dasar laut lalu meninggalkan Rose bersendirian.

Status quo atau minoriti, di Pompeii, kematian mereka secara fizikal adalah sama tetapi secara rohaninya, golongan hamba mati dengan kemerdekaan yang penuh sedangkan pemerintah yang korup mati dengan penuh kehinaan. Cukup jelas dengan kematian Cassia dan Milo yang digambarkan penuh cinta, Atticus yang mati dengan berdarjat jika dibandingkan dengan kematian Corvus yang merayu agar tidak digari pada kereta kuda dan Proculus (Sasha Roiz) yang terpaksa merayu agar Atticus tidak membunuhnya. Corvus dan Proculus sebenarnya mati sebagai hamba.

Politik yang kalut dan kotor, kemabukan pemerintah yang perasan lebih berkuasa daripada Tuhan, juga hak manusia yang dicipta Tuhan sebagai makhluk yang merdeka memunculkan Pompeii, meskipun tidaklah begitu menarik di layar, memiliki sebuah cerita yang sebenarnya hebat.


PENGARAH: Paul W.S. Anderson.
LAKON LAYAR: Janet Scott Batchler, Lee Batchler, Paul W.S. Anderson, Michael Robert Johnson.
PELAKON: Kit Harington, Emily Browning, Adewale Akinnouye-Agbaje, Kiefer Sutherland, Jared Harris,
Carrie Anne-Moss, Jessica Lucas, Sasha Roiz.