Aku beritahu Sherry al-Hadad "Kak Sherry. Saya dah tonton Kolumpo! Saya suka!"
Dia gelak kemudian membalas " Oh, jangan percaya itu ya. Lakonan semata-mata. Jangan terpengaruh."
Ya, aku suka Kolumpo. Filem-filem pendek yang berpadu di bawah jenama Kolumpo ini memang merangsang fikiran. Itu perkara pertama yang aku kesan. Sebelum jauh aku menaip, aku harus minta maaf kerana aku lupa tajuk ketiga-tiga filem tersebut kerana aku ke panggung untuk filem itu sebagai seorang penonton. Bukan seperti sebelumnya aku ke panggung untuk bertugas menulis ulasan. Aku memang berniat untuk ke sana sebagai seorang penonton tanpa perlu mencatat dalam gelap.
Filem PERTAMA, arahan Bront Palare, bermula dengan ketibaan Rahul (Azad Jazmin) dari India di KLIA. Kemudiannya, Rahul bertemu dengan seorang pemandu 'teksi' (Sabri Yunus) yang menipu wangnya sebanyak RM250 setelah mereka tiba di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Aku suka dialog Sabri Yunus "...after this you can see building-building-building sebuilding-buildingnya." Sinis! Aku suka dengan kesinisan itu walaupun aku benci betul dengan watak tersebut kerana sampai hati menipu manusia yang naif sungguh air mukanya. Jadi, aku kira Sabri Yunus berjaya dengan watak tersebut.
Malang bertimpa-timpa, Rahul yang datang secara halal, menjadi pendatang haram apabila syarikat yang kononnya menawarkan pekerjaan telah ditutup, ditipu oleh seorang tauke kedai mamak, dirampas pasportnya, dipotong upahnya sehingga tiada upah langsung dan disumbat pula ke dalam sebuah rumah yang tersangat sempit dan daif bersama-sama pendatang-pendatang lain yang hampir 20 orang kesemuanya. Aku suka lukisan wajah-wajah pendatang pada kentang yang menjadi makanan mereka sehari-hari. Aku sedih dan rasa berdosa apabila melihat pendatang-pendatang itu makan nasi putih berlaukkan kari dan kentang semata-mata. Aku gelak apabila pendatang-pendatang tersebut mandi, 'berfalsafah', dan saling menuduh. Aku fikir itu keadaan politik kita sekarang dan, ya, keadaan masyarakat kita juga sebenarnya.
Aku suka mise-en-scene yang ada dalam filem tersebut. Aku tertanya pada waktu menonton "Aku fikir aku suka frame filem ini. Siapa D.O.P dia eh?" Aku suka penggunaan 'kentang-kentang berwajah' yang berterabur sewaktu diserbu polis. Kentang itulah mereka kerana 30 tahun mereka di Kuala Lumpur, kentang itulah yang menjadi darah daging mereka. Aku suka apabila Azad Jazmin dikejar oleh Azhan Rani, kemudian terlanggar Farid Kamil yang melihat lokasi penggambaran bersama-sama Sara Ali dan Sara Ali memarahi Farid Kamil "Ni siapa sebenarnya direktor ni? Inilah masalah kalau pelakon nak jadi pengarah!" Aku gelak kerana aku fikir, ini 'jawapan' daripada Bront Palare kerana dia seorang pelakon yang mengarahkan filem tersebut. Sebelum orang lain menuduh, Bront sudah meletakkan tuduhan daripada dirinya kepada dirinya sendiri. Aku tahu, ada orang bising tentang filem yang diarahkan oleh pelakon. Pada aku, tiada masalah dengan hal pelakon menjadi pengarah. Industri filem Malaysia ada ramai pelakon yang menjadi pengarah. Siap ada auteurisme!
Penghujung filem tersebut, ada imej burung-burung merpati dalam bingkai. Kalau itu dilambangkan sebagai kebebasan, aku kira itu klise. Tapi aku suka imej kapal terbang yang diambil penuh dari bawah. Oh, cubalah lihat sayap kapal terbang itu. Aku lebih rasakan kebebasan pada imej tersebut.
Secara keseluruhannya, filem ini di tangan Bront Palare yang 'menjelma' sebagai seorang pengarah, memberi cukup perspektif yang positif untuk aku menunggu filem arahan beliau yang seterusnya.
FILEM KEDUA, arahan Rozi Izma juga memiliki sentuhannya tersendiri. Kisah seorang perempuan berbangsa Cina yang berusia, tidak berkahwin, memiliki seorang ibu yang selalu berusaha mencarikan jodoh untuknya dan dia selalu mengelak untuk menjawab panggilan telefon ibunya itu. Gina (Nell Ng) kemudian bertemu Nek Wok (Ruminah Sidek). Aku tak perlu perkatakan lakonan Ruminah Sidek. Bagi aku beliau cukup hebat untuk watak-watak apapun. Apabila berlakon, aku langsung lupa beliau adalah Ruminah Sidek dan aku kira, diri beliau juga 'hilang' dalam watak yang dibawa. Nek Wok, seorang perempuan tua yang mengidap Anterograde Amnesia yakni gagal menyimpan memori baru akibat sesebuah kejadian yang traumatik tetapi masih menyimpan memori sebelum kejadian tersebut. Hal di sini adalah hal rumah yang digadaikan untuk pembangunan tetapi pembangunan tersebut tergendala kerana bekas tapak rumah Nek Wok 'gersang-segersang-gersangnya' walaupun ada serumpun tebu dipinggir kawasan. Aku fikir, ini imej untuk peribahasa seperti 'menanam tebu di pinggir bibir'.
Tipisnya, filem ini mengenai seorang anak perempuan yang ada masalah dengan jodoh dan ibunya berusaha kuat mencarikannya jodoh. Kemudian, Nek Wok muncul sebagai bayangan ibunya dan memberikan keinsafan agar Gina tidak lagi 'menderhaka'. Halus! Aku tepuk tangan juga untuk filem ini kerana berjaya mengkritik 'pembangunan' Kuala Lumpur yang suka 'menanam tebu di pinggir bibir', kejam dan traumatik. Segala-galanya ada pada Nek Wok tetapi terima kasih juga untuk Gina yang membawa kebaikan di penghujung cerita.
FILEM KETIGA, aku suka sebab ada Sharifah Amani. Watak yang dibawanya kali ini, selain daripada cameo dalam filem pertama, cukup misteri. Seorang perempuan yang bernama Siti Nur Hayy, yang jatuh entah dari planet mana tiba-tiba meminta Hafidd (Amirul Ariff) menemaninya yang baru putus cinta pada tengah malam. Aku cakap "Perempuan ini gila! Kalau aku, tak akan semudah itu mendekati lelaki, mengajaknya bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur." Yeah, inilah Siti Nur Hay yang tidak menghukum orang. Aku menerimanya walaupun gila. Bukan kerana dia Sharifah Amani tetapi sebab dia Siti Nur Hayy yang tidak menghukum itu.
Hafidd, seorang pemuda yang mencari kebaikan. Tetapi dalam mencari kebaikan itu, dia mudah menghukum orang. Melihat itu salah dan ini salah. Jadi kebenaran dan kebaikan pada manusia sebenarnya apa dan di mana? Tetapi, dalam masa yang sama, Hafidd sering membela dirinya dengan soalan-soalan "Salahkah aku jika aku tidak pandai main bola? Salahkah aku tidak suka bergaduh? Salahkah aku begitu dan begini?" Itu ironi yang biasa ada dalam diri kebanyakan kita; kita selalu betul, orang lain selalu salah.
Siti Nur Hayy datang menunjukkan bahawa sebagai seorang manusia yang tidak tahu hati budi manusia lain, dan semestinya manusia lain tidak mudah mengenali hati budi kita, tugas menghukum itu bukan kerja kita. Siti Nur Hayy membawa Hafidd mengenali peniaga steamboat berbangsa Cina, membeli steamboat itu dan makan dengan selamba. Hafidd menjeling. Menurut kefahaman aku, jelingan itu disebabkan oleh bangsa peniaga tersebut. Nah, filem ini adalah ujian psikologi penonton itu sendiri. Cuba fikir balik, ketika menonton filem ini, apa yang difikir tentang peniaga tersebut? Mesti ada yang kata, hei, orang Islam tak boleh makan makanan orang Cina! Aku, pada awalnya begitu. Oh, psikologiku sebagai seorang Melayu-Islam-Malaysia tipikal! Memang jika ikut hukum halal-haram, bimbang ada unsur-unsur syubhah. Tetapi, minta ampun. Aku berdosa kerana buruk sangka terlalu cepat. Mana tahu, peniaga Cina itu Cina-Islam? Ada kita tanya; pak cik Muslim? Siti Nur Hayy tidak bertanya kerana pertama, dia mesra dengan Kuala Lumpur. Kedua, dia adalah medium ujian psikologi itu. Terima kasih! Aku tidak lulus ujian pertama.
Kemudian, mereka bertemu Sherry (Sherry al-Hadad) yang mabuk di bahu jalan. Aku gelak melihat Sherry al-Hadad kerana aku kenal beliau sebagai tutor aku yang serius dengan kerja 'tutoring' untuk latihan Randai. Kali pertama aku melihat beliau berlakon pun adalah dalam filem pendek Puntong terbitan syarikat aku adik-beradik; Legasi Oakheart dengan Produksi Bawah Tanah dan wataknya masih watak yang serius. Kali ini, aku lihat wataknya lucu. Ada sesuatu dengan watak lucu ini. Hafidd memandang serong terhadap Sherry yang mabuk dan dia menegaskan kepada Siti Nur Hayy bahawa dia tidak mahu teman wanita yang tidak senonoh begitu. Baginya, tidak senonoh itu tidak baik. Siti Nur Hay terus memulangkan buah paku keras dengan pertanyaan " Habis, kita ni baik sangat?" Ya, kita ni baik sangat?
Siti Nur Hay kemudiannya membawa Hafidd bertemu Nurul Atikah Bin Abdul Rahman yang berdandan, berbaju merah, bersuara garau dan menunggu pelanggan di perhentian bas. Dengan perawakannya yang begitu; wah, pelacur bapuk! Aku kata dalam hati. Nurul Atikah sedih kerana tiada pelanggan. Siti Nur Hayy memberi pendapat bahawa Nurul Atikah harus menukar rambut palsunya. Sebelum itu, Siti Nur Hayy sempat bercanda bahawa Hafidd adalah pelanggan baru. Tetapi apabila Nurul Atikah cuba mendekati Hafidd, Siti Nur Hayy cepat-cepat membetulkan keadaan. Sebelum meminta diri, Nurul Atikah meminta Siti Nur Hayy berjanji untuk menemaninya membeli rambut palsu baru. Aku terkena dengan ujian ini. Nurul Atikah bin Abdul Rahman bukan pelacur bapuk! Dia tauke rambut palsu. Mainan psikologi pada baju merah dan perlakuan, memang menunjukkan dia pelacur bapuk. Seharusnya aku tidak terus menghukum dia sebagai seorang pelacur. Tapi, aku manusia. Tak akan sempurna dan tak akan tidak ada tanggapan pertama.
Aku tepuk tangan apabila Siti Nur Hayy bercakap tentang wanita sebagai teman hidup dengan kiasan rusuk kiri. Hafidd tidak faham maksud rusuk kiri tersebut. Siti Nur Hay, membuka cardigan, menolak Hafidd dan berkata " Dia ni tak pergi sekolah agamalah!". Aku gelak dan tepuk tangan. Sinis! Sinis! Aku fikir, ini khas untuk orang-orang agama yang berasa dirinya suci-suci-suci-sesuci-sucinya. Aku puas hati kerana pada pihak aku yang hanya bertudung biasa, berselendang biasa yang pernah dipandang atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah ketika kali pertama menghadiri usrah oleh ustazah-ustazah yang bertudung labuh, dan ada yang siap berpurdah. Aku rasa dihina di khalayak begitu. Okey, aku shut down untuk kumpulan itu. Aku juga pernah disela sebagai seorang yang sekular kerana mempelajari undang-undang Barat sewaktu di UIA dulu oleh orang yang kuat sangatlah agamanya sedangkan aku juga belajar undang-undang Islam. Dan, aku juga pernah disela kerana tidak sukakan novel Islami yang penuh dengan tempelan ayat-ayat al-Quran, yang meletakkan watak protagonis sebagai malaikat dan watak antagonis sebagai ibu iblis dan dakwahnya keras. Lalu, penyela itu berkata bahawa mungkin aku bukan orang jemaah. Hah, nak berjemaah macam mana kalau sudah atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah begitu? Ini pengalaman aku yang diingatkan oleh Siti Nur Hayy. Memang, psikologi aku diuji secukup-cukupnya dalam filem arahan Sheikh Munasar ini.
Secara keseluruhannya, filem ini filem yang membawa mini naratif. Bukan sahaja mini naratif dalam 'diri' Kuala Lumpur, malah mini naratif dalam diri kita sendiri. Dan, aku ingat-ingat kembali, ini adalah filem Malaysia paling baik yang aku tonton pada tahun ini. Terima kasih, Kolumpo!