Prof.
Dr. Nor Faridah Abdul Manaf pernah menulis dalam jurnal beliau Human Rights and National Literature: A
Comparative Study of the Experience in Malaysia, Thailand and Philippines
bahawa “The development and position of a
national literature is subjective. It depends on perceptions of those who
evaluate it”. Artikel ini membincangkan soal fungsi sastera yang
menjalankan amanah hak asasi manusia. Bahawa dunia sastera Malaysia tidak
seimbang dalam menjalankan fungsinya terhadap amanah tersebut. Sastera kita
malah sebenarnya tidak berjaya menjalankan fungsi penyatuan kaum sekalipun.
Benar. Kita selalu ada Seminar Sastera Pelbagai Kaum yang diadakan setahun
sekali. Kita bicarakan karya yang ditulis oleh penulis daripada kaum Melayu,
India, Cina, Orang Asli dan lain-lain. Sesudah itu, apakah masih sastera kita
berfungsi sebagai alat penyatuan sebagaimana karya-karya ini dibicarakan di
atas satu pentas yang sama di dalam dewan seminar? Yang meraikan sastera bahasa
Melayu masih lagi majoriti Melayu. Sastera bahasa Cina dengan kaum Cina. Sastera
bahasa India dengan kaum India. Dan Orang Asli di mana? Dari sudut hak asasi
terhadap linguistik pun, sastera Malaysia masih tidak dapat menjalankan amanah
dengan sepenuhnya.
Sesuatu
tahun akan menyaksikan akan ada sesebuah syarikat penerbitan yang akan
menakluki pasaran buku melalui jumlah terbitan dan jumlah jualan yang secara
tak langsung mewakili jumlah pembaca. Akan ada syarikat penerbitan yang
dihormati dan dikeji kemudiannya atas sebab-sebab tertentu. Pasaran ini akan
berganti-ganti kedudukannya. Saya yakin, ramai antara penulis dan penerbit
menyedari akan hal ini. Kalau ada yang berkata bahawa saya seorang penulis dan
tidak perlu ambil tahu akan hal begini, ia akan menjadi satu perkara yang
‘sangat tak dapat dibantu’. Sebab, seorang penulis perlu peka dengan keadaan
semasa bidang penerbitan. Jika tidak, dia hanya tahu rasa ‘mengandungkan’
karyanya sahaja. Dia tidak akan tahu pengalaman ‘membela’ karya tersebut.
Malah
penulis harus tahu apa sahaja yang berlaku dalam masyarakatnya. Jika tidak, dia
sendiri belum menjadi penulis yang dapat mewakili masyarakatnya. Hal ini perlu
ditanyakan kepada diri sendiri sejauh mana kita, sebagai seorang penulis sudah
mampu menjadi wakil masyarakat. Persoalan yang selalu saya tanyakan juga kepada
diri sendiri dan jawapannya saya sendiri masih belum mampu atas faktor konsistensi,
dan terjunan yang sebenar-benarnya ke dalam masyarakat saya yang sakit. Sebab
selalu ia menyentuh yang sihat dan separa sakit. Tangan saya belum sampai
sepenuhnya kepada golongan fakir miskin, gelandangan, anak-anak yatim,
remaja-remaja bermasalah, golongan minoriti dan sebagainya. Setakat membaca isu
ini di akhbar atau buku, masih belum dikira sebagai menyentuh dengan
sepenuhnya. Sebab itu ada kata-kata yang menyatakan “Yang cerdik buku, biasanya
bodoh kehidupan.” Ada penulis yang mampu, dan ada yang tidak.
Tiada
sesiapapun yang dapat menghalang untuk seseorang itu berfikir tentang anugerah
dan hadiah. Cuma, sekali lagi, tanyakan kepada diri, untuk apa menjadi seorang
penulis? Hobi? Suka-suka? Atau memang mengejar anugerah dan hadiah? Atau memang
benar ikhlas untuk mewakili masyarakat sebagai seorang pendidik atau penegak
keadilan atau setidak-tidaknya menjadi perakam. Sejauh mana pula kita berani
menentang kebobrokan? Atau kita penulis yang muluk-muluk, menyembah organisasi
atau orang-orang tertentu? Atau kita adalah penulis majoriti begitu begini yang
mengikut orang lain kerana majoriti orang berbuat begitu dan begini?
Ada
perkara yang lebih besar yang perlu untuk para penulis di Malaysia sedar selain
daripada membicarakan soal siapa Sasterawan Negara Wanita Pertama? Atau
Sasterawan Negara Bukan Melayu? Atau siapa yang menang hadiah paling banyak?
Atau mengira berapa banyak karya yang telah diterbitkan sepanjang tahun dan
menulisnya sebagai status di FB atau Twitter atau apa sahaja media sosial. Kita
masih melihat kelompok penulis yang sama dalam sastera arus perdana yang
bergerak perlahan. Jumlah penerbitan yang mencanak tidak dapat mewakili
pergerakan sastera sepenuhnya. Ia akan berbalik kepada soal kualiti karya. Mahu
atau tidak kita harus akui, kuantiti kerap juga membunuh kualiti.
Hans
Christian Anderson, penulis dari Denmark, telah menuliskan The Ugly Duckling lama dahulu. Kita pula masih mencari ‘Anak Itik
Yang Hodoh’ dalam sastera Malaysia. Itu yang sebenarnya perlu kita cari. ‘Anak itik’ yang disalahertikan kerana
hanya dia agak berbeza daripada itik-itik yang lain. Suaranya lain. Bentuknya
lain. Tetapi dia benar dengan dirinya. Oleh sebab itu, dia meninggalkan
itik-itik itu dan tahu diri bahawa dia bukan itik. Dia adalah angsa yang apabila
dewasa, menjadi cantik dan murni. Yang hidup, bukan kerana dia melobi sesiapa bahkan
tidak melobi ibu itik pun supaya menerimanya. Tidak melobi ibu itik hanya untuk
menjaga perutnya sendiri. Yang hidup bukan untuk disebut-sebut namanya tetapi
diakui kerana kebenarannya yang ikhlas. Dan soalan pesimis, kerana manusia ada bahagian itu
dalam diri, apakah penantian kita akan berhasil? Jadi, siapa ‘Anak Itik Yang
Hodoh’ dalam kolam sastera kita?