Tuesday, October 15, 2013
SATU LAGI RINDU
Antara kenangan yang saya ingat sewaktu menetap di Makkah, kali pertama ke Masjidil Haram, saya tersilap faham dengan seorang pak cik Indonesia. Katanya, jangan tinggalkan kasut di hadapan pintu masuk masjid. Saya yang masih kecil, faham hal yang sebaliknya. Jadi, saya tanggalkan kasut dan tinggalkan di pintu masuk.
Ayah yang kemudiannya tersedar bahawa saya berjalan kaki ayam terus tanya "Mana kasut?" Saya jawab "Tinggal. Ada Pak Cik suruh tinggal." Ayah pandang Ummi. (Okey, nasib baik tak kena marah)
Keluar dari masjid, ayah gendong saya di atas bahunya. Kami pun menyusuri gerai-gerai untuk mencari selipar. Saya masih ingat, ayah gantikan kasut putih saya (yang bapa saudara saya belikan dan kasut itu sama paten dengan kasutnya) dengan selipar jepun warna hijau yang kemudiannya entah kenapa menjadi kesayangan saya sedangkan selipar tersebut hanya selipar jepun.
Yeah, pengalaman pertama melihat Masjidil Haram, serasa cahaya putihnya masuk memenuhi rongga mata. Tidak silau tetapi terasa bahagia. Saya senyum sambil menuding-nuding ke arah menaranya. Dan saya masih rasakannya.
Masih juga saya ingat hampir saban hari ada sahaja orang-orang yang tinggal berhampiran rumah kami menyedekahkan kurma kepada kami sekeluarga. Paling saya ingat, ada juga yang memberikan kurma dalam tin (seakan tin minyak masak) yang dibelah dua.
Masih adakah rumah kami di Zahir? Rumah kami di tingkat bawah. Berpintu besi warna biru. Ada dua bilik. Sebuah bilik utama tempat kami sekeluarga tidur. Bilik kedua adalah bilik ayah. Tempat ayah mengulangkaji pelajarannya. Lampu belajar ayah mengeluarkan cahaya putih. Dan ada butang untuk cahaya merah. Ada dua pintu untuk kami ke bilik utama. Pintu pertama menemukan kami dengan kaki lima, menuju ke bilik utama di hujungnya. Di sebelah kiri kami, bilik air dan dapur.
Kami jarang keluar siang. Saya tidak ingat kenapa. Saya, Ummi dan Adik Aie (Adik lelaki pertama saya) memerap di rumah. Dalam keselesaan pendingin hawa. Tapi saya dapat agak, keadaan di luar panas dan berdebu. Cuma ayah yang keluar menuntut ilmu di Ummul Qura'. Biasanya kami keluar malam. Selalunya kami ke Bin Dawood atau Bin Dabush. Tempat kami sekeluarga membeli barangan rumah. Entah betul ejaannya atau tidak saya tidak pasti. Dan saya dikhabarkan salah satu daripadanya sudah musnah dalam kebakaran. Kami ke sana, membeli barang dan paling saya suka adalah tempat barangan tenusu. Saya akan merengek "Nak laban! Nak laban!" Susu masam. Pada mulanya saya tidak menggemarinya. Tapi lama-kelamaan itulah yang paling saya suka. Dan, sampai sekarang kalau saya ke bahagian tenusu, saya selalu teringatkan ayah. Ayah memang selalu beli susu segar untuk kami sampai sekarang.
Usai membeli-belah, kami akan ke bahagian luar. Saya lupa sama ada di Bin Dawood atau Bin Dabush. Bahagian itu seperti sebuah taman pesta. Lengkap dengan kereta api. Mini Roller Coster. Kereta langgar. Yeah, kereta langgar menjadi kegemaran saya dan adik lelaki saya yang pertama. Dan selepas bermain, kami akan pulang dalam angin malam yang sangat sejuk dan kadangkala agak kencang. Kencang mengibar jubah hitam dan tudung hitam saya dan ummi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comelnya pengalaman ni! Teringat cerita Kak Eja, "nak jadi singa.. nak jadi singa..". Haha
ReplyDeleteAhah, Sam!
DeleteMasih ingat ya cerita tu? Hahaha. Kelakar. Budak-budak bukan tahu apa yang dicakapnya. Haha
Seronoknya. Insyaallah, rindu akan berpanjangan sehingga kaki menjejak tanah suci sebagai tetamu Allah yang mencari keredaan sepenuh hati. Amin.
ReplyDeleteInsya-Allah Wanep... Ameen ya Rabb! =)
Delete