Friday, September 6, 2013

TANDA PUTERA : TANPA MAZHAB POLITIK, KIBLAT KAUM JUGA AKUR ATAU NAFI TENTANG SEJARAH

Saya tahu, saya perlu catatkan sesuatu tentang filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, sebuah filem hebat dan besar nilainya pada hemat saya. Dan, selagi saya tahu apa yang saya patut lakukan, saya yakin, saya perlu lakukannya. Terpulang apa mazhab politik kalian yang sedang membaca catatan ini, atau bangsa apakah kalian, ingat, saya menulis catatan ini dalam keadaan tak bermazhabkan mana-mana parti politik atau berkiblatkan mana-mana kaum juga akur atau nafi tentang sejarah. Kalau masih ada yang mahu menghentam, memang tiada bahasalah yang dapat memahamkannya. Semoga ada malaikat yang sudi turun menenangkan fikir.

Filem ini penuh dengan kontroversi. Berkali-kali ditunda tayangannya. Orang kata, filem ini filem rasis. Filem ini filem sejarah. Filem ini filem agenda politik. Saya ketepikan hal-hal itu sewaktu menonton filem ini. Ya, filem ini mampu berdiri sendiri sebagai sebuah filem yang besar maknanya, tidak kira ada atau tiada klasifikasi yang orang-orang letakkan dalam perkara ini. Filem bukanlah sekadar untuk dikritik setelah tayangannya. Atau sekadar melihat mise-en-scene yang ada dalam bingkainya untuk mencari apa yang dikatakan kegagalan epik atau mentafsir semiotik.

Kita juga perlu tahu, sebesar manakah pembawaan dan sedalam manakah erti sesebuah filem itu dalam industri filem Malaysia yang tidak besar mana sehingga berbaloi untuk membawanya kepada pergaduhan, atau putus persaudaraan di laman media sosial. Tetapi filem ini mudah dalam besar pembawaan dan kedalaman maknanya. Kontorversi pun tidak akan dapat mencacatkan kedua-dua elemen ini.

Hati seorang pemimpin, pernahkah kita cuba untuk selami? Sesekali kita tolak kecemburuan atau sangka buruk kita terhadap seorang pemimpin. Kata George Bernard Shaw, orang yang tidak sukakan pangkat adalah orang yang cemburu dengan pangkat itu. Sesekali tolak. Walaupun mungkin kemampuan untuk menolaknya hanya sekali seumur hidup.

Kita fikirlah, bagaimana seorang pemimpin itu bimbang akan rakyat jelatanya yang tidak lahir hanya daripada asal satu bangsa. Kalau seorang pemimpin mahu lari daripada kekacauan ini, ya, boleh sahaja pemimpin itu melarikan diri. Buat apa fikir tentang rakyat kalau diri berkuasa benar untuk meninggalkan tanah air dan hidup senang-lenang di luar negara? Dan kalau kita adalah pemimpin, adakah kita akan menjadi yang lebih baik? Menjadi pemimpin keluarga pun sudah banyak dugaannya sehingga ada orang tidak mampu menanganinya dengan bijaksana.

"Dari mana datang kebencian ini. Kita perlu redakan."

Ini antara dialog Tun Abdul Razak ketika peristiwa perkauman berleluasa. Hal yang berlaku dalam filem ini pernah diceritakan kepada saya oleh salah seorang guru skrip drama pentas saya berbangsa Melayu. Ketika isu perkauman merusuh negara, bukanlah semua orang Cina itu membenci Melayu dan tidaklah semua orang Melayu itu membenci orang Cina. Cikgu saya itu, pernah disorokkan di loteng rumah oleh kawan-kawan beliau yang berbangsa Cina agar tidak ditemui dan dibunuh. Inilah juga yang dilakukan oleh beberapa watak rakyat biasa dalam filem ini yakni Johan (Melayu), Kara (India) dan Alan (Cina); masing-masing cuba untuk saling melindungi.

Sayang, kepincangan sudah mula bertunas lagi di negara ini sekarang setelah berpuluh-puluh tahun dahulu, pohon-pohonnya sudah ditebang dan tanah-tanahnya sudah dilapangkan untuk membina sebuah negara perpaduan. Setelah 56 tahun kemerdekaan kita capai, akar-akar ini masih hidup di dalam tanah Malaysia dan cuba disuburkan oleh sesetengah pihak. Memang, kita tidak pernah mampu untuk menyamakan seluruh fikiran dan pemikiran orang. Seperti mana ironinya, kita selalu ingin orang lain bersetuju dengan kita sedangkan kita sendiri berat untuk bersetuju dengan orang lain. Jadi, timbullah isu bahawa filem ini filem perkauman - malah ada yang menyatakan filem ini ekstrim perkauman.

Oh, saya gelak. Manakah perkaumannya kalau orang Cina dan orang Melayu bersatu hati untuk berlakon dalam filem ini? Oh, lucu... Tiada kerja sangatkah orang yang menimbulkan isu ini? Oh, lucu... lucu sekali (Sampai sekarang hati saya dicuit-cuit) Bukan seorang dua, pelakon Cina yang menjayakan filem ini. Douglas Lim, Alan Yun, Chew Kin Wah, dan segerombolan orang Cina telah menjayakan filem ini bersama-sama pelakon-pelakon Melayu.

Bergadai nyawa untuk sebuah persahabatan. Pengorbanan dalam persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail juga merupakan sebuah persaudaraan yang tidak ternilaikan.  Kalau anda seorang insan, anda tahulah maknanya. Atau, mungkin juga anda ramai kawan, dan semuanya boleh dipercayai? Terpulang.

Pertembungan dua mata antara Alan dan Johan memiliki spark tersendiri. Alan berlalu apabila bertembung mata dengan Johan. Wajah mereka berdua, wajah serba-salah kerana keadaan memangsakan persahabatan mereka. Hal ini turut berlaku terhadap hubungan Zarah dan Kara yang menjadi serba tidak kena. Keadaan 'pertembungan' kita hari ini lebih teruk. Ada antara kita bukan setakat bermusuh antara kaum malah sesama kaum, paling teruk antara keluarga sendiri hanya kerana fahaman politik yang berbeza. Spark kita adalah permusuhan dan bukan keadaan serba-salah untuk mengekalkan persaudaraan.

Mesej yang mudah, filem Tanda Putera ini mengangkat isu perpaduan. Itu yang lebih besar daripada isu 13 Mei tidak kiralah ada yang mahu katakan ia fitnah ataupun fakta, hakikatnya ia telah pun tercatat dalam sejarah negara kita. Kalau tidak berlaku pun 13 Mei itu untuk dijadikan pengajaran, kita masih lagi memerlukan perpaduan sehingga kiamat tiba. Selepas itu barulah nafsu-nafsi yang langsung tidak dapat dielakkan. Perpaduan yang cuba menjadi mesej dalam filem ini lebih besar dan bermakna daripada klasifikasi sejarahnya, agenda politik, mise-en-scene, nilai artistiknya, skripnya, fizikalnya, ceceh dan cemuh orang,  atau apa-apa sahaja.

Saya tahu, ada yang tidak bersetuju dengan catatan ini. Saya tahu. Cuma, sekali lagi, ingat, saya menulis catatan ini tanpa mazhab politik dan kiblat kaum juga akur atau nafi tentang sejarah.
Dan, sewaktu menonton filem ini, 'bacalah' ia melalui diri insan sedalam-dalamnya yang ada dalam diri kalian. Kerana cinta Tuhan terhadap perdamaian tidak pernah berubah.



No comments:

Post a Comment