Monday, March 25, 2013

BUDAYA MENGHARGAI DI KOTA LONDON

Saya belek gambar-gambar ketika mengembara di Kota London dek dihenyak rasa rindu terhadap budayanya dan keluarga kembara. Sehingga adik ipar saya yang masih segar matanya saat jam sudah menginjakkan waktu ke pukul 3.30 pagi, bertanya "Kenapa Kak Eja banyak kali mengeluh?" Saya sebenarnya tidak sedar langsung bahawa saya sudah banyak kali mengeluh.

"Kak Eja rindu London." Lalu saya mula membanding-bandingkan antara London dan Kuala Lumpur.
"Di sana, tak ada mat rempit. Budaya menghargai jati diri sangat jelas pada bangunan-bangunannya. Di Kuala Lumpur, satu bangunan yang ada dalam kepala Kak Eja yang ada sifat-sifat budaya Melayu cumalah Hotel Royal Chulan. Dari jauh dah nampak ukiran atapnya." Muzium belakang kira sebab di Malaysia, mentang-mentang namanya muzium, maka barulah jati diri bangsa ditonjolkan.

Saya bukanlah berniat mengagungkan negara orang berbanding tanah air dan tidaklah menolak bahawa negara orang juga memiliki masalah sendiri. Tetapi, apabila bercakap tentang pengamatan, tentang sesuatu yang seharusnya kita menjadi lebih daripada orang putih, tidak dapat tidak, kebenaran memang menjadi pahit untuk ditelan sebulat-bulatnya.

Antara budaya menghargai paling mudah yang kita tidak miliki di Malaysia adalah menghargai seseorang yang berjasa yang dinyatakan oleh Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan dalam kolum beliau dalam Berita Harian bulan lepas yang saya lupa tarikhnya. Di Kota London, budaya memberi penghargaan dan mengenang-ngenang sangat menebal. Saya ceritakan sahaja melalui gambar.

Ingat-ingatan untuk Sir James Barrie, novelis dan dramatis



George Krastioti, pejuang yang hilang


Ingatan terhadap Puteri Diana di Kensington Garden


 Bangunan ini berhampiran dengan salah satu kolej University of London iaitu School of Oriental and African Studies. Ralat : Plat kelabu  segi empat  tepat  adalah permohonan maaf  atas kesilapan ketika membina bangunan ini. Plat segi tiga di bawahnya pula adalah anugerah untuk bangunan tersebut dari pihak yang lain.

Ingatan terhadap Benjamin Franklin berhampiran Parliament Street, London.

Nama-nama yang terkorban dalam kebakaran di London pada tahun 1666 di St. Paul Cathedral.


Adik kembara saya dan ingatan terhadap Randolph Caldecott, artis dan pengilustrasi buku di Great Russell Street bertentangan British Museum.

Ada banyak lagi penghargaan yang saya rakam melalui gambar. Cukuplah setakat ini sebagai bukti bahawa budaya menghargai sangat menebal di Kota London. Tidak kira siapa, arkitek, artis, ahli politik, orang-orang yang hilang bahkan penggiat sastera yang seolah-olah tiada harga di Malaysia, diberi tanda ingatan di Kota London.

No comments:

Post a Comment