Monday, March 25, 2013

KISAH BAS NOMBOR 7 DI OXFORD STREET

Suatu malam di Kota London, saya menemani salah seorang adik kembara, Shamsul Amin ke Oxford Street. Hasrat beliau mahu ke pusat membeli-belah Primark untuk membeli beberapa helai kemeja T dan beg kain bergambar bas merah yang sangat terkenal di sana. Usai beliau membeli-belah, kami pun menyeberangi jalan kerana saya terpandangkan butik Top Shop. Saja-saja, mahu melihat-lihat kerana saya memang begini. Tidak gemar membeli-belah tetapi kalau ternampak kedai buku, keadaan di sekeliling jadi kabur. Cuma kedai buku sahaja yang akan ada pada pandangan mata.

Kami pun menunggu bas tanpa berfikir panjang bahawa kami haruslah kembali ke seberang jalan di hadapan Primark untuk mendapatkan bas bernombor 7 pulang ke Queensway. Maka, dengan yakinnya kami masuk ke dalam perut bas yang juga bernombor 7 di perhentian bas berhampiran butik Top Shop tersebut.

Saya dan Shamsul Amin mengambil tempat duduk di barisan kedua di sebelah kiri bas. Tiba-tiba, kami terbau haruman yang sungguh menyenangkan dan mula berbicara tentangnya.

"Wanginya perempuan ni." Ujar saya yang sukakan bau minyak wangi perempuan berambut hitam dan ikal bertocang satu itu.
"Bau buah ni kan?" Tebak Shamsul.
"Eh, bau bunga ni..."
"Ye ke? Macam bau buah."
"Wangi macam ni bau bunga."
"Entahlah. Tapi wangilah." Balas Shamsul Amin.

Tiba-tiba saya melihat bas tidak menghala ke Queensway tetapi ke Bond Street, ke Oxford Circus.

"Eh? Tak menghala ke Queensway ni."
"Ye ke Kak Eja? Macam mana ni?"

Perempuan yang wangi itu tadi berpaling...

"Nak ke Queensway ya? Bayswater? Bas nombor 7 juga tapi belah sana."
"Eh? Melayu? Malaysia?" Respon kami hampir serentak.

Saya segera mengesan kulit sawo matangnya dan melihat bibirnya yang merah bergincu itu tersenyum. Perempuan itu mengangguk.

"Terima kasih..." Kami pun bangun. Tersipu-sipu.

Sebaik sahaja turun dari bas tersebut saya dan Shamsul tergelak.

"Nasib baik tak mengumpat benda buruk kan?"



P/S : Tahniah Shamsul Amin atas kejayaan mendapat 5A dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM peringkat kebangsaan.


6 comments:

  1. Hehe, saya hampir-hampir nak cakap yang tak elok, tetapi teringat kata-kata Kak Teh (Zaharah Othman) pagi sebelumnya, "orang sini kadang-kadang faham cakap Malaysia!"

    Alhamdulillah, kalau tak mesti dah kena baling kasut dengan kakak tu. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Shamsul Amin : Itu yang kalau berjalan dalam Whiteleys ada orang tegur "Khabar baik!" Kita dah pening nak jawab apa. Keh3

      Delete
  2. Kalau terlajak naik bas nombor 7 yang menghala ke Queensway tu, pasti akan sampai ke rumah Kak Teh! Rumah kak teh penghujung jalan laluan bas no: 7. Tapi , bila pula nak tulis kisah tersalah naik picadilly line pulak? hehe!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Teh : Haha... Itu satu cerita juga tu. Adoi... Yakin je masuk Picaddily Line dengan Shamsul. Nanti kalau 'balik' London, kami lajak dengan bas nombor 7 tu ke rumah Kak Teh. ;)

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Kak Teh : Haha... Itu satu cerita juga tu. Adoi... Yakin je masuk Picaddily Line dengan Shamsul. Nanti kalau 'balik' London, kami lajak dengan bas nombor 7 tu ke rumah Kak Teh. ;)

    ReplyDelete