Saturday, March 30, 2013

DEMAM, SHAKESPEARE DAN KOMSAS

Saya demam. Termasuk pagi tadi sehingga waktu Maghrib, sudah empat hari saya mengalami gangguan kesihatan yang banyak menghalang saya bergerak cergas. Tetapi, otak tidak mahu berehat daripada memikirkan kerja-kerja kuliah yang banyak. Juga tentunya tentang daya cipta dalam bidang penulisan kerana sesudah kembara yang lepas, perjanjian dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia untuk menghasilkan karya asli telah mengikat. Adiwarna juga tidak harus dibiarkan lama tanpa novel baru.

Entah kenapa, Sonnet 18 karya William Shakespeare yang, sebelum demam, sempat saya baca kembali daripada sebuah buku, mahu turut berkelintaran bersama-sama soal-soal utama yang harus saya selesaikan segera sebelum peperiksaan bermula. Dan kemudian, mengundang pula soal KOMSAS atau Komponen Sastera yang diajar di sekolah menengah untuk menyertainya di dalam kepala. Saya mula mengenang-ngenang zaman sekolah yang sudah jauh di belakang. Zaman saya selalu dipanggil ke depan di dalam kelas dan membaca puisi sama ada dalam bahasa ibunda atau bahasa Inggeris. Ada beberapa ingatan tentang itu yang kadang-kala bikin saya gelak. Mungkin nanti jika berkesempatan, akan dikisahkan.

Ketika di tingkatan empat, Sonnet 18 merupakan puisi yang agak terkenal dalam kalangan pelajar sekolah saya. Novel The Prisoner of Zenda karya Anthony Hope saya baca berulang kali sewaktu di tingkatan tiga kerana takjub dengan kisah pengembaraan Rudolf Rassendyll yang terpaksa bertukar tempat dengan Raja Rudolf dan kemudian membuatkan Puteri Flavia jatuh cinta kepadanya. Novel terakhir KOMSAS untuk peperiksaan SPM bertajuk The Pearl karya John Steinbeck. Watak yang paling kerap disebut-sebut ialah Coyotito, bayi yang mati ditembak tanpa sengaja oleh seorang lelaki. Mungkin disebut-sebut kerana namanya yang kedengaran manja, sesuai untuk anak kecil. Coyotito.

Sekarang, novel-novel tersebut telah berganti. Saya sempat membelek novel KOMSAS untuk tingkatan satu, karya Jules Verne's yang bertajuk Journey to the Centre of the Earth. It is a graphic novel. 10 minutes reading (or glancing?) Ulang lagi kalau mahu, 10 kali sehari pun tidak menjadi masalah.

Mudah benar budak-budak zaman sekarang. Saya mengeluh. Baiklah. Sebenarnya, ini bukan soal mudah atau susah. Tetapi, soal memupuk budaya membaca dan budaya mengkaji di Malaysia. Novel-novel komponen sastera dahulu dilihat lebih mendidik murid-murid untuk mencintai budaya membaca. Walaupun tidak berjaya sepenuhnya dalam hal budaya tersebut, sekurang-kurangnya, kami masing-masing bertungkus lumus membaca, menikmati ceritanya, dan menceritakan kembali di dalam kelas dan di atas kertas peperiksaan. Memang ada buku ringkasan. Tetapi, guru yang bijak dan mahukan anak muridnya memiliki pengalaman membaca yang tersendiri tidak menggunakan buku tersebut. Itu apa yang dilakukan oleh guru-guru bahasa Inggeris saya sewaktu di sekolah dahulu. Saya pula membaca buku ringkasan tersebut hanya pada waktu sudah hampir kepada peperiksaan percubaan sebagai rujukan kilat.

Masa berlalu terlalu pantas. Katanya, zaman teknologi. Zaman mudah dan segala-galanya di hujung jari. Tetapi, yang mudah-mudah tidak semestinya baik segala. Entah apa yang bakal dihadapi oleh bakal anak-anak saya suatu hari nanti, pun saya tidak tahu. Who knows the future?


No comments:

Post a Comment