Friday, May 10, 2013

DARI MANA DATANGNYA BUKU?


Ada orang tanya, saya suka beli buku di mana? Ada juga yang tanya, dari mana saya dapatkan buku-buku? Ada juga yang kata "Kau ni, jumpa saja bukunya." Saya ceritakan sedikit sebanyak tentang saya dan kekasih hati, buku. Setakat yang ingat.


(1) Biasanya saya suka beli buku di MPH di Mid Valley, Popular di Wangsa Walk, Kinokuniya di KLCC dan BookXcess di AmCorp Mall. Tapi, kalau nampak buku yang menarik, di gerai tepi jalan pun saya beli.

(2) Hadiah daripada penulis. Biasanya saya tukar dengan buku saya sendiri.


(3) Hadiah daripada keluarga, terutamanya suami dan kawan-kawan. Mereka tahu saya gila buku. Hadiah perkahwinan pun saya ada dapat hadiah buku.

(4) Melancong atau mengembara. Walaupun ke Cameron Highlands yang banyak jual sayur-mayur, buah-buahan dan bunga-bungaan, saya tetap buru buku. Contoh, antologi cerpen Cerita Malam Pertama karya Lutfi Ishak, saya beli dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands. Saya percaya, orang yang mencari sahaja yang akan menemui apa yang dicarinya.

(5) Editor yang akan 'melepaskan' buku-buku beliau. Bahagian ini saya suka sebab saya boleh selongkar kotak buku beliau sesuka hati. Tapi, lepas tu, kenalah kemas sendiri.

(6) Ada satu cara lagi. Tanya : Nak lagi tak buku ni? Ada lebih? Kalau ada, nak beli. Ada yang berjaya saya beli. Ada yang berjaya dapat percuma. Bergantung pada untung nasib. Dan tengok juga siapa orang yang kita tanya itu. Kalau dah tak ada, reda dan pasrah.





Antara hadiah buku yang saya dapat: Buah tangan dari Bologna Children's Book Fair 2013 (BCBF). Saya difahamkan, sebelum ini, BCBF mengeluarkan direktori sahaja. Tetapi edisi ulang tahun yang ke-50 pada tahun ini, buku istimewa yang mengandungi esei/artikel mengenai sejarah BCBF dan keistimewaan buku kanak-kanak, telah diterbitkan. Buku ini mempunyai banyak gambar yang cantik dan comel.



--- Dua tabiat yang saya tak dapat kikis dari kecil :

(1) Berlama-lamaan di kedai buku. Lama-lama di kedai buku juga boleh memberi penemuan buku-buku lain yang mungkin kita tak cari dan tak pernah tahu kewujudannya. Antara kedai buku yang saya suka berlama-lamaan, Kinokuniya KLCC dan MPH Mid Valley. Sorga dunia!

(2) Kedekut buku. Sebab waktu budak dulu, buku selalu hilang bila bagi pinjam pada kawan. Jadi, masih paranoid.


(3) Sanggup ikat perut untuk buku tanpa banyak merungut atau menyoal. Sejak sekolah, pada waktu kawan-kawan kumpul duit untuk beli top up telefon bimbit atau ke kafe siber, saya 'perabih' duit untuk buku. Waktu kawan-kawan dah ada akaun Friendster, saya masih tak punya satu pun. Saya tenggelam dengan buku. Akaun Friendster saya wujud pada hujung waktu Friendster hendak pupus. Kawan baik saya sendiri mengejek. Tapi, ya, saya peduli apa?


Tapi, saya cumalah seorang penggila buku. Belum sampai tahap ahli buku. Rasanya, sampai mati pun saya tak dapat nak capai tahap tersebut. Apa-apapun, baca sajalah! Yang penting, ilmu dan keseronokan mendapat pengalaman luar biasa daripada sesebuah buku itu dapat kita nikmati.


---- Kata-kata seorang kawan pustakawan ketika sekolah : Kadang-kadang, berkawan dengan buku lebih baik. Buku tak pernah menyakitkan hati.


2 comments: