Sunday, May 5, 2013

DARI PBAKL 2013 DENGAN CINTA

Ada banyak perkara yang saya ingin kongsikan tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL 2013). Tapi, sekarang, saya fikir, lebih baik untuk berkongsi kisah melalui gambar sementelah saya sendiri berasa letih fizikal sepanjang seminggu PBAKL 2013.



Wafa Awla,salah seorang penulis LEGASI OAKHEART dan Encik Khair Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Tiada Encik Khair, maka, tiadalah naskhah Cantuman Mimpi dan Retrospeksi di gerai ITBM di PBAKL 2013. Terima kasih Encik Khair!



Kerendahan hati Sasterawan Negara ke-12, Dato Baha Zain. Apabila saya dan suami menghampiri beliau, beliau bangun dan menjemput kami duduk di kerusi yang beliau sedang duduk. Sewaktu kami mahu ambil gambar, beliau berkata kepada saya "Eh, tak apa! Duduklah." sebab saya segan, sasterawan negara berikan tempat duduknya kepada saya, penulis baru lagi muda. Selain daripada Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Dato' Baha Zain juga merupakan sasterawan negara yang turut memiliki naskhah Cantuman Mimpi dan Retrospeksi. Beliau juga meminta tandatangan kami yang entah sesiapa pun kalau hendak dibandingkan dengan taraf Sasterawan Negara Malaysia yang beliau sandang. Terima kasih atas sokongan terhadap kami, penulis muda di Legasi Oakheart!


Encik Armin Azhari, bekas editor majalah Pelita Bahasa, Tunas Cipta dan Dewan Ekonomi yang membeli buku-buku Legasi Oakheart sejak buku yang pertama iaitu Antologi Puisi ELEGAN. Terima kasih Encik Armin!


Kak Teh (Puan Zaharah Othman) dan Encik Wan (Encik Wan Ahmad Hulaimi a.k.a Awang Goneng) balik Malaysia! Yeay! Kak Teh dan Encik Wan sudah 33 tahun bermastautin di Kota London. Merekalah ibu dan ayah kembara kami 10 bersaudara di Kota London.


Dapat tandatangan Encik Wan lagi. Kali ini untuk buku Growing Up in Trengganu. Sewaktu di London, beliau sudah tandatangani buku A Map of Trengganu.


Kami, Legasi Oakheart buat gerai ITBM macam pasar borong jual Cantuman Mimpi dan Retrospeksi.Kebiasaannya kami memang buat begini, ikut rentak jual para petugas ITBM di PBAKL. Mereka jerit, kami pun jerit. Mereka laung, kami pun laung. Kadang-kadang, tak payah jerit atau laung, kami diberi mikrofon. Seronok!

LEGASI OAKHEART, penulis-penulis muda yang diberi ruang di SOFA PUTIH ITBM untuk Gebang Naskhah Legasi Oakheart.Gebang Naskhah akan menemui anda di beberapa tempat lagi selepas ini. Gambar ketika agenda SOFA PUTIH akan dikongsikan di blog LEGASI OAKHEART.


Mesyuarat di SOFA PUTIH ITBM. LEGASI OAKHEART memang suka macam ni. Bengkel ikut dan kat mana-mana, atas lantai depan bank, mesyuarat pun ikut suka hati kat ruang SOFA PUTIH ITBM. Bergelimpang pun kami okey je.


Paling puas hati, CANTUMAN MIMPI adalah hot item di gerai ITBM sejak memegang tempat kedua paling laris. Stok pun semakin sikit dan bakinya akan dibawa ke Pesta Buku Selangor nanti. Puas hati kerana CANTUMAN MIMPI baru sahaja 2 minggu diterbitkan. Alhamdulillah...


RETROSPEKSI, agak lambat jadi TOP 10, tapi, alhamdulillah... Kurang-kurang TOP 10 juga. Ramai cakap, sukakan puisi-puisi dalam RETROSPEKSI sebab mudah difahami.


ANTI REALITI juga agak perlahan jualannya. Tapi, dengar-dengar komen daripada pembaca, mereka suka puisi-puisi ANTI REALITI sebab mudah difahami dan rasa jujur. Sama seperti halnya kepada pembaca RETROSPEKSI.


PERKARA YANG TERAKHIR DAN TAK ADA GAMBAR : PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2013 DITAMATKAN AWAL SEHARI ATAS SEBAB PILIHAN RAYA UMUM KE-13.

Apa-apapun, PBAKL 2013, diakhiri dengan perasaan puas hati dan gembira! Mungkin ia sekadar kejayaan peribadi, tapi inilah sejalur perjalanan hidup saya. Terima kasih, kepada semua yang menyokong LEGASI OAKHEART, ITBM yang sudi menjalinkan kerjasama dengan kami, para pembeli dan pembaca naskhah-naskhah CANTUMAN MIMPI, RETROSPEKSI dan ANTI REALITI, nama-nama mereka tak dapat saya sebutkan semuanya. Yang paling utama, terima kasih Tuhan!


No comments:

Post a Comment