Thursday, May 30, 2013

BAHASA MELAYU DI TENGAH-TENGAH METROPOLITAN

Seharusnya, kisah pada kali ini, ada gambar. Malangnya, tiada. Tetapi, saya mahu juga ceritakan kisah ini.

Saya terlewat sebulan untuk pembaharuan lesen syarikat LEGASI OAKHEART. Maka, hari ini, sebelum bertambah jadi dua bulan kelewatan, sebelum Jun memunculkan wajah di lawang tahun 2013, saya dan suami ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (selepas ini SSM) bersebelahan KL Sentral, untuk memperbaharui lesen; termasuk lesen syarikat suami, AL HAFIZ CONSULTANTS.

Walaupun pejabat SSM masih di bangunan bersebelahan bangunan KL Sentral, pejabatnya sudah berpindah tempat ke ruang pejabat di sebelah pejabat lamanya. Jadi, kalau ada yang mahu ke SSM untuk mendaftarkan syarikat atau memperbaharui lesen, sila panjangkan langkah anda dari lobi lama ke bahagian sebelah bangunan yang sama.

Masuk sahaja lif, saya terus 'Wah!' sebab suara robot perempuan cakap "Naik ke atas. Naik ke atas." --- Cuma... Naik... Memang ke atas kan? Ada pula naik tapi ke bawah? Nak bagi jadi sedap, mungkin.


Robot itu bertutur dalam Bahasa Melayu! Dan, punat-punat pada lif tersebut ayat-ayatnya, dalam bahasa Melayu dan bahasa TUNGGAL di situ. Inilah sebab mengapa kisah ini perlu ada gambar. Saya rasa tersangat ralat sebab tiada kamera pada waktu itu.

Nampak perkara ini mungkin kecil untuk diperkatakan atau dikagumi. Tapi apalah erti hidup di negara sendiri, kalau negara sendiri ini menggunakan bahasa negara yang pernah menjajahnya? Dan, siap berbangga-bangga dengan bahasa itu? Saya tidak menolak untuk mempelajari bahasa asing. Belajarlah, kerana setiap bahasa itu Tuhan yang ciptakan. Saya sendiri kadang-kadang menggunakan bahasa Inggeris dan kadang-kadang cuba-cuba bertutur (sangat) sedikit dalam bahasa Mandarin dengan kawan-kawan berbangsa Cina. Tetapi, tidaklah perlu untuk menukar diri sendiri sepenuhnya menjadi seorang 'penjajah'. --- Tak payah duduk Malaysia lah kalau gitu. Encik Wan a.k.a Awang Goneng pun boleh pekat cakap Terengganu lagi walaupun 33 tahun menetap di London! Isteri beliau, Kak Teh a.k.a Puan Zaharah Othman pun cakap slanga Kedah pekat. Apa ceritanya?

Saya melihat Allah menciptakan bahasa untuk manusia, sebagai suatu jambatan perkenalan sesama bangsa dan bukan untuk meruntuhkan bangsa itu sendiri. Dan bahasa itulah juga diciptakan sebagai ujian paling getir daripada Allah untuk sesebuah bangsa dalam memperkukuhkan identitinya. Maka, siapakah antara kalian yang benar kuat dalam mengimani bahasa bangsa sendiri?

Saya berbangga dengan SSM!  Di tengah-tengah metropolitan, ketika kebanyakan bangunan, namanya terus memperkayakan bahasa penjajah, dan jalan-jalan ditukar nama juga dalam bahasa penjajah sepenuhnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, masih kekal dengan identiti bangsa Malaysia --- Walaupun, ada dwibahasa juga pada nama syarikat (saya dan SSM sendiri), sekurang-kurangnya, bahasa Melayu masihlah wujud pada namanya. --- Suami saya, saya tak tahu kenapa beliau gunakan bahasa Inggeris penuh untuk syarikat rundingan kewangan beliau. Silalah tanya beliau sendiri. Tapi, saya fikir, waktu beliau hendak mulakan perniagaan, beliau tersangat muda, jadi kurang kesedaran.

Oleh sebab itu, sesiapa yang memang ada, sudah ada atau baru sebentar tadi ada, kesedaran terhadap tanggungjawabnya dalam memelihara dan memulihara diri sendiri sebagai bangsa yang ada bahasa sendiri, bahasa Melayu, terus, kuatkan iman anda!

Baiklah!


Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.



*Patut, pada beg kain Dewan Bahasa dan Pustaka, bukan setakat tulis, 'Masalah berbahasa Melayu?' tapi kena letak juga, 'Masihkah malu berbahasa sendiri?'. Orang yang malu dengan diri sendiri biasanya orang yang tiada keyakinan diri. Harap maklum dan mohon terasa.

No comments:

Post a Comment