Tuesday, April 9, 2013

BEAUTIFUL CREATURES & DUNIA SASTERA V. TWILIGHT

Saya baru sahaja mendapatkan kembali meja pertapaan saya. Sebelumnya, meja ini penuh dengan buku. Sepanjang berada di London dan memborong buku di sana, suami saya di Malaysia juga turut memborong buku. Ada juga buku-buku yang beliau dapat, hadiah daripada rakan-rakan penulis. Kepala pening. Tempat untuk buku sudah jadi sangat terhad sehingga ada buku-buku yang terpaksa disusun di atas lantai. Kasihan pula melihat buku-buku tersebut. Saya masih menunggu waktu untuk mengemaskini susun letak buku di rak. Harap-harap, dapatlah ruang untuk buku-buku yang 'bergelandangan' itu.

London + Malaysia



Baiklah. Kita lupakan sebentar soal buku yang tiada ruang. Saya pasti bukan saya dan suami sahaja yang menghadapi masalah ini. Pernah dengar filem bertajuk Beautiful Creatures yang ditayangkan sekitar bulan Februari 2013? Pernah menontonnya? Filem tersebut merupakan filem adaptasi daripada novel Beautiful Creatures tulisan Kami Garcia dan Margaret Stohl. Sewaktu saya menonton filem ini bersama-sama suami, saya sempat berbisik kepada beliau "Penulis novel ni adalah orang yang belajar sastera. Paling tidak peminat sastera." Sebab-musabab?

1. Dalam filem ini, ada disebut tentang novel To Kill A Mockingbird karya Harper Lee yang memenangi Hadiah Pulitzer pada tahun 1961. Novel ini dijadikan teks wajib mata pelajaran bahasa Inggeris, bacaan para pelajar Jackson High tempat belajar watak-watak utama Beautiful Creatures iaitu Ethan Wates dan Lena Duchannes.

2. Ayah Ethan Wates merupakan seorang novelis dan Ethan Wates pernah dimarahi oleh ayahnya kerana membaca novel yang belum siap disunting. (Maklumat daripada pembacaan saya setakat ini)

3. Ethan Wates telah membaca To Kill A Mockingbird sebelum dia dan rakan-rakannya diarahkan untuk membaca novel tersebut.

4. Lena Duchannes telah berulang kali membaca To Kill A Mockingbird.

5. Lena Duchannes merupakan gadis yang membaca karya-karya Charles Bukowski, seorang pengarang German-American. Saya masih ingat perbualan sederhana mesra antara Lena dan Ethan.

Ethan : Bukowski? Is he good?
Lena  : Define good.

6. Lena Duchannes merupakan seorang penyalin puisi yang tegar. Dia menggunakan kelebihannya yang menyebabkan dia layak digelar 'Beautiful Creature' pada fikiran saya, dengan menyalin puisi-puisi tersebut di ruang udara. Hanya Ethan yang pernah melihat salinan-salinan tersebut bersinar-sinar bagai bintang di malam kelam, di ruang kamar tidur Lena. Ketika itu, saya dengan takjubnya di dalam panggung bersuara  "Waaaaaaah!" I wish I am gifted like her. Salin puisi banyak-banyak. Bersinar-sinar di mana-mana saja.

Sebab-musabab di atas diambil daripada filem melainkan yang bernombor 2. Sekarang saya sedang menyelitkan novel Beautiful Creatures di sela bacaan ilmiah dan novel sastera wajib baca untuk kuliah. I'm truly sorry, my beloved lecturers. Saya sedar, saya semacam tidak 'sadar' diri bahawa tugasan kuliah tersangat banyak. Tetapi, saya tak dapat menahan diri daripada hanya menjeling-jeling novel tersebut. Saya terpaksa baca untuk meredakan kepanasan otak mencerna pelbagai teori sastera dan psikologi juga menyelesaikan masalah saya yang terhegeh-hegeh menyiapkan tugasan drama TV dan drama pentas. Apapun, saya cuba untuk buat yang terbaik. - Sebab susah-payah terangkan keadaan : Selasa minggu lepas pensyarah saya mengaku baca blog ini.

Kembali kepada topik, tebakan saya bahawa penulis novel Beautiful Creatures merupakan penulis yang belajar sastera, disokong oleh profil penulis di belakang novel tersebut. Margaret Stohl merupakan pemegang Ijazah Sarjana Bahasa Inggeris dari Stanford dan pernah berguru dengan mendiang George Macbeth, seorang penyair dan novelis Scotland, dalam Penulisan Kreatif di University of East Anglia, Norwich, England. Beliau bergabung ilham dengan Kami Garcia seorang guru juga seorang pakar dan pencinta buku yang membimbing sebuah kumpulan pencinta buku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Garcia juga digambarkan sebagai seorang yang superstitious (saya tidak dapat mencari perkataan yang lebih sesuai berbanding 'gemar kepada perkara tahyul'. Gemar bertahyul? Atau 'gemar berkhayal'? Setiap orang pun suka berkhayal. Tidak? Tak baik tipu!) Dan saya fikir, perwatakan inilah yang menjayakan lagi pembinaan watak dalam novel ini.

Dalam gambar di atas, buku-buku yang 'terkedang' itulah siri Beautiful Creatures yang disusun tidak mengikut urutan yang betul. Sebabnya, di sebelah kanan, Beautiful Redemption dan Beautiful Creatures dibeli di Popular Bookstore, Wangsa Walk Mall, Malaysia dan MPH Midvalley, Malaysia. Di sebelah kiri, Beautiful Darkness dan Beautiful Chaos saya beli di Waterstones, Gower Street, London. Di tengah-tengah pula, Beautiful Darkness, suami saya ambil daripada pesanan di MPH Midvalley yang saya lupa batalkan.

Seharusnya novel-novel ini disusun sebegini : Beautiful Creatures, Beautiful Darkness, Beautiful Chaos, Beautiful Redemption.

Oh ya! Saya fikir hero dan heroin dalam Beautiful Creatures lebih bijaksana dan memberi kesimpulan yang lebih bernas bahawa erti cinta adalah lebih daripada cinta hero dan heroin (dan hero yang lagi satu?) yang hanya bersegi-segi dari siri pertama sehingga siri akhirnya. Maaf peminat Twilight. Apapun, saya masih kagum dengan Stephanie Meyer berikutan ilham yang menurut beliau dalam buku biografinya, Stephanie Meyer : Queen of Twilight, datang dalam mimpi. Sekurang-kurangnya beliau sudah ada sesuatu. Saya, masih mencari.


1 comment:

  1. assalamualaikum. Beautiful creatures nie ada tak yang dalam bahasa melayu? saya tengok kat Google ada yang bahasa indonesia. saya semakin minat novel. tapi english saya masih tak fasih lagi. ada ta ye?

    ReplyDelete