Thursday, April 11, 2013

FISH AND CHIPS 'MENTAH' DI KOTA LONDON

Dua hari lepas, saya teringinkan Fish and Chips walaupun dua hari sebelum itu saya sudah makan Fish and Chips di Crazy Potato, Berjaya Times Square bersama-sama suami dan seorang sahabat penulis. Ini semua gara-gara Fatin Wahab, sahabat sekelas saya yang bercerita tentang Mahattan Fish Market di Wangsa Walk Mall. Jadi, saya 'mengarut' sedikit pada suami, Hafiz Latiff  (kali ini menyebut namanya sebab beliau kata saya sorok suami dalam blog kerana asyik sebut suami saya, suami saya). Saya minta beliau bawa saya ke Manhattan Fish Market.

Sebenarnya, saya rindukan Fish and Chips di London. Kali pertama menikmatinya adalah di Halal Restaurant di Queensway berdekatan dengan tempat penginapan saya di Hotel Holiday Villa di Leinster Garden. Pekerja di restoran ini adalah orang-orang Arab. Saya agak, pemiliknya juga orang Arab. Di Kota London sebenarnya tak susah untuk cari makanan halal. Terdapat juga restoran orang-orang Melayu seperti Tukdin Flavours of Malaysia di Craven Road. Sangat dekat dengan Bayswater Road. Juga Makan Cafe di Portobello Road.

Berbalik kepada topik Fish and Chip di Kota London, rasanya sangat sedap. The fish was very juicy. Ikannya segar seolah-olah baru keluar dari Sungai Thames di Kota London itu. Kalau dilihat Sungai Thames yang dingin, terasa bagaikan makan ikan yang baru sahaja diangkat pada mata kail pemancing, yang mentah tetapi sangat sedap. Sila tolak bau hanyir dalam fikiran anda. Fikirkan ianya sedap. Baiklah. Payah sebenarnya untuk gambarkan kesegaran ikan tersebut. Tajuk entri ini pun cuma propaganda. Tetapi, cukuplah mungkin, saya katakan bahawa ikannya sangat-sangat segar. Hidangannya juga tampak 'bermaya'. Maksudnya, tidaklah pucat dan membosankan. Jejari kentang gorengnya juga sangat banyak dan agak tebal. Tak terlarat hendak habiskan. Saya fikir, itu mungkin jumlah hidangan seorang Inggeris. Atau mungkin seorang Arab.

Harga Fish and Chips di Halal Restaurant sekitar 7 pound ke 8 pound. Kalau ditukarkan kepada Ringgit Malaysia, harganya ialah RM 35 ke RM40 sepinggan. Tetapi, apabila mengembara, jangan fikir lagi tentang duit Malaysia. Kalau tidak, kita tidak akan tergamak mahu makan. Sebenarnya, 8 pound itu sudah murah.


Halal Restaurant adalah antara kedai makan yang sering menjadi tempat saya menikmati makan malam. Art Cafe di sebelahnya pula merupakan tempat terakhir saya menikmati hidangan tengah hari di Kota London. Gambar ini diambil pada hari pertama saya dan rakan-rakan tiba di Kota London. Sosok yang berjalan ke arah kanan, paling hadapan, ialah Encik Wan Ahmad Hulaimi, ayah Kembara kami.

Jika hendak dibandingkan dengan Fish and Chips di Malaysia, memang tidak dapat untuk setarakan rasanya. Apapun, dek sudah berada di Malaysia, telan sahajalah gaya Malaysia. Atau saya masih belum jumpa restoran yang betul, mungkin. Baiklah, kalau ke Kota London, jangan lupa nikmati Fish and Chips di sana. Itu hidangan wajib!


* Tiada gambar Fish and Chips sebab saya tidak gemar ambil gambar makanan. 


4 comments:

  1. Yang penting, ada satu kelucuan yang sentiasa diingat. Persetujuan untuk makan Fish and Chips oleh tujuh orang tetapi yang memesan hanya satu. Bagaimana jadi begitu? Rambang mata dek menu yang menyelerakan? Haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wan Haniff,

      Kelucuan di UK bukan satu. Faham-fahamlah. Hahaha.
      Oh, Kak Eja sangat terliurkan Fish and Chip Gina. Esok malamnya, Kak Eja dan Sam ke Halal dan pesan hidangan tu. Memang sangat banyak pilihan hidangan sampai berpusing-pusing menu dari muka depan ke muka belakang, kemudian ke depan balik, lepas tu ke belakang lagi. Huhuhu.

      Delete
  2. Betapa benar! Rasa Fish and Chips di Kota London sangat autentik (mungkin kerana originnya memang di London) dan tidak tertandingkan dengan Fish and Chips di Malaysia. Rasanya tidak sama sama sekali. Dapatlah rasa secubit dua, itupun setelah 'mengecek' hidangan orang. Bak kata Wan Hanif, yang menyetujui 7 orang tetapi tetapi yang memesan cuma seorang. Ha, macam mana tu? :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Makanan rujinya, Sam. Ingat tak jejari kentang yang kita tak dapat habiskan dengan hasrat mahu membungkusnya pulang? Alih-alih mamat Arab tu angkut semua ke dalam sinki. Hadeih!

      Delete