Wednesday, April 24, 2013

KOPRATASA SINA OMMM...

Instrumen muzik yang pertama saya main ialah gitar. Itu lama dulu. Gitar di rumah dah tak bersentuh. Lagi pun tak berapa mahir 'menggoreng'nya.

Instrumen kedua, Gedumbak salah satu alat membranofon dalam ensembel Wayang Kulit. Di rumah, tiada alat muzik ini. Jadi, saya hanya memukul Gedumbak di ASWARA. Awalnya, payah untuk mengingati mnemoniknya. Cap, dong, ting. Cap, dong, ting. Selalu salah buka dan salah tutup bukaan di bahagian bawahnya yang menentukan nada bunyi yang dimainkan. Sampai satu tahap, saya fikir, saya memang tiada bakat bermain alat muzik.

Tapi, Gedumbak bukan alat muzik semata selain kewajibannya untuk pemarkahan. Di penghujung semester, bukan bunyi Gedumbak sahaja yang menguasai jiwa. Serunai, Canang, Geduk, Gong, Kesi dan Kayu Kesah jadi sebati nada-nadanya. Sudah tak perlu terlalu bergantung pada nota. Cuma dengar gabungan bunyi instrumen, gerak hati sudah dapat kuasai gerak tangan memukul Gedumbak.

Antara lagu yang kami pelajari ialah Lagu Bertabuh, yang kebiasaannya kami mainkan di awal cerita. Lagu Perang untuk mengiringi watak pergi berperang dengan ucaptama Ha Hip! Lagu Pak Dogol biasanya untuk watak Pak Dogol, Kusina Empat Saudara dengan Wak Long, Samad dan Said. Ucaptamanya berbunyi Kopratasa Sina Om... 
Lagu Plen pula mengiringi perjalanan watak dengan ucaptama Ha Plen! Lagu Hulubalang mengiringi perjalanan watak dengan ucaptama Hum Chap! Lagu Maharisi ialah lagu penutup sesudah tok dalang mengucapkan terima kasih dan mohon maaf kepada penonton. Itu semua lagu asas dalam persembahan Wayang Kulit.

Selasa lalu, 23 April 2013, hari terakhir kelas Wayang Kulit. Rasa tidak puas belajar. Saya tahu, apa yang saya belajar dalam kelas cuma asas. Bukan mudah untuk pelajari muzik tradisional. Bukan mudah.

Saya berasa sangat bertuah apabila memikirkan, kalau tidak di ASWARA, mungkin sampai mati pun, mungkin, saya tidak akan dapat belajar muzik tradisional Melayu yang sudah hampir pupus. Saya berbisik kepada sahabat di sebelah sewaktu kelas "Kak Eja bangga masuk ASWARA. Dapat belajar Wayang Kulit."

Semester depan, saya akan belajar Randai secara praktikal. Randai ialah tarian tradisional Minangkabau yang sangat dalam falsafahnya. Semester ini saya cuma belajar Randai hanya secara teori.

Apa-apapun, saya bahagia di ASWARA.
Terima kasih Tuhan kerana memberi kekuatan untuk menukar haluan hidup setahun yang lalu. Sesudah bergulat dengan dunia pelajar undang-undang, saya temui hidup saya yang sebenar kini.


Di balik kelir. Di belakang Adiguru Wayang Kulit yang mesra kami panggil Pak Nasir


*Watak-watak Wayang Kulit yang saya suka ialah Pak Dogol dan Wak Long. Riuh kami kalau watak-watak ini masuk cerita.

No comments:

Post a Comment