Saturday, April 13, 2013

HADIAH DARI KOTA LONDON

Encik Wan Ahmad Hulaimi atau Awang Goneng (Encik Wan)
Antara hadiah yang saya dapat di Kota London ialah buku A Map of Trengganu ditulis oleh Awang Goneng atau nama sebenar beliau Wan Ahmad Hulaimi. Encik Wan Ahmad Hulaimi yang kami saudara Kembara panggil Encik Wan merupakan mentor Kembara Penulis Muda ke United Kingdom pada 9 Mac 2013 hingga 19 Mac 2013 anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan PENA. Beliau juga ayah kami di Kota London . Isteri Encik Wan, Puan Zaharah Othman, kami panggil Kak Teh, merupakan ibu kami di sana.

"Eh, Awang Goneng!"
Itu kali pertama saya dengar nama Awang Goneng daripada salah seorang sahabat sekuliah ketika saya masih seorang pelajar di Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws, UIAM iaitu Azree Ariffin. Azree juga merupakan sahabat penulis saya dan senior saya di Minggu Penulis Remaja anjuran DBP. Agakan saya, itu berlaku sekitar tahun 2008 atau 2009. Kami berdua baca nama Awang Goneng pada poster sebuah program yang menjemput Encik Wan ke UIA di kafe IRKHS. Memang tak disangka, 5 tahun selepas itu, saya bertemu juga dengan pemilik nama pena Awang Goneng ini.

A Map of Trengganu merupakan kisah-kisah Encik Wan ketika membesar di negeri kelahiran beliau, Terengganu. Saya akan tersengih-sengih apabila membaca buku ini kerana Terengganu juga merupakan negeri kelahiran saya, tempat saya membesar dan saya faham loghat Terengganu, walaupun loghat pekatnya tidak dapat saya mengerti dan hal ini menyebabkan saya sering dipanggil Terengganu Murtad oleh sesetengah rakan dan guru di sekolah dahulu. Itu ada kisahnya sendiri yang akan saya kongsikan pada waktu yang lain. Agak aneh juga apabila membaca loghat Terengganu yang berada di celah-celah sekumpulan perkataan bahasa Inggeris.

Puan Zaharah Othman (Kak Teh)
Buku ini sebenarnya, hadiah daripada Kak Teh, pada hari terakhir di Kota London. Pada waktu itu, saya sudah kehabisan wang. Saya terpaksa jujur dengan Kak Teh bahawa saya tiada duit untuk bayar buku tersebut dan saya akan beli buku itu di Malaysia nanti. Sedikit kecewa sebenarnya apabila memikirkan bahawa saya tidak akan dapat tandatangan Encik Wan jika saya beli buku ini di tanah air.

"Eh, tak pa lah. Ambil je." Kata-kata Kak Teh buat saya terkedu seketika sebab saya sebenarnya tidak berapa gemar ambil buku penulis tanpa membayarnya, kerana saya tahu nilai sebuah karya yang bagus walaupun tidak dapat dibayar dengan wang, wang jugalah punca rezeki seorang penulis meski seseorang penulis itu memiliki pekerjaan lain. Pengecualian cuma dalam situasi apabila sesebuah buku itu bertukar tangan melalui sistem barter dengan buku saya atau buku tersebut 'ditabalkan' sebagai hadiah hari lahir saya.

"Tak apalah, Kak Teh. Nanti Eja cari di Malaysia." Kak Teh pula tetap menghulurkan buku tersebut. Saya jadi serba-salah. Tapi wajah Kak Teh yang nampaknya memang hendak berikan buku tersebut, membuatkan saya ambil juga buku itu sambil menimbang-tara tentang tandatangan mahal Encik Wan yang entah bila lagi akan dapat diturunkan pada naskhah ini. Jarak antara London dan Kuala Lumpur bukan macam Golok dan Pengkalan Kubor! Kayoh sapang pung buleh sapa! (Hah, siapa faham?)

Akhirnya, saya ambil juga pemberian Kak Teh. Segan sebenarnya. Tapi, dalam masa yang sama bersyukur kerana buku ini adalah rezeki yang Allah beri kepada saya pada 19 Mac 2013 itu.

To Eja Hafiz, with the writer's compliments. PS So good to have you as one of my 'Kembara' children - Wan Hulaimi ; Awang Goneng, 19 March 2013  




Balik ke Malaysia, saya beli sebuah lagi buku Encik Wan, Growing Up in Trengganu, buku susulan A Map of Trengganu. Dan, ya, seperti dalam gambar di bawah, ada sebuah lagi buku A Map of Trengganu. Saya belikan untuk adik perempuan saya yang menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-15 lewat 1 April lalu. Saya berani belikan beliau buku ini kerana adik saya itu seorang pembaca tegar juga. Saya mengharapkan sesuatu daripada adik saya apabila membelikan beliau buku tersebut tetapi harapan itu merahsiakan dirinya walaupun pada diri saya sendiri. Atau... mungkinkah juga mainan nostalgia?


Dibeli di Popular Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju. Sekarang ada potongan harga 20% untuk ahli.


*Oh, ya! Saya dengan bangga mahu katakan di sini, Encik Wan ialah 'super-duper' senior saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Doh nok wak gane dop? 

1 comment:

  1. Bestnya dapat pemberian yang tak diduga. Saya tumpang gembira. Harap suatu hari nanti saya pun dapat berjumpa dengan Awang Goneng. FYI, sy merupakan bkas plajar SS juga. SPM '12.

    ReplyDelete